Murid SMK Seri Desa didedahkan teknologi pertanian hijau melalui hidroponik solar

SDGSDG4SDG7SDG12SDG13

📝 Ringkasan

Program Hidroponik Solar di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Desa diadakan untuk memberi pendedahan kepada warga sekolah mengenai penggunaan teknologi hijau dalam pertanian moden. Program ini melibatkan kerjasama antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan sekolah tersebut. Murid-murid sekolah tersebut telah mempelajari kaedah pengendalian sistem hidroponik dan menyemai biji benih sayuran menggunakan media semaian yang sesuai. Mereka juga telah memahami konsep saintifik melalui aktiviti yang lebih praktikal dan menarik.

TANJONG KARANG, 30 Okt. – Program Hidroponik Solar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Desa, Tanjong Karang memberi pendedahan kepada warga sekolah mengenai penggunaan teknologi hijau dalam pertanian moden, sekali gus menggalakkan pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pendekatan amali.

Program tanggungjawab sosial universiti (USR) itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Kelestarian Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM Kuala Lumpur dengan kerjasama Jawatankuasa Kelestarian SPACE UTM pada 30 Oktober 2026.

Menerusi pendekatan pembelajaran secara langsung, program berkenaan menyalurkan kepakaran universiti dalam bidang kejuruteraan sistem pertanian moden berasaskan tenaga boleh baharu kepada warga pendidik dan murid di Tanjong Karang. Inisiatif itu turut membuka ruang kepada murid untuk menghubungkan pengetahuan teori yang dipelajari di dalam bilik darjah dengan aplikasi teknologi dalam kehidupan sebenar.

Majlis perasmian program dihadiri Pengetua SMK Seri Desa, Dr. Hazirah Amran, bersama Ketua Panitia Sains, Ainil Mardiyah Ishak, barisan guru, pembantu makmal, staf sokongan serta 13 murid Tingkatan Tiga.

Turut hadir ialah Pengurus Hijau (Green Manager) SPACE UTM, Ts. Dr. Salina Sadeli, bersama sukarelawan dalam kalangan mahasiswa dan staf universiti serta Pengerusi JPKK Kampung Sungai Kajang, Hasim Ismail. Kehadiran wakil komuniti itu mencerminkan sokongan terhadap kerjasama antara universiti, institusi pendidikan dan masyarakat setempat.

Peserta mengikuti taklimat mengenai kelestarian alam sekitar dan penggunaan tenaga boleh baharu

Sesi perkongsian ilmu dimulakan dengan taklimat oleh pegawai UTM, Ts. Mohd Hazri Ishak, dengan bantuan Muhammad Khairuddin Mohd Karim. Taklimat itu memberi penekanan terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar, Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), amalan gaya hidup rendah karbon serta cabaran keterjaminan makanan pada peringkat global.

Peserta turut diperkenalkan kepada prinsip operasi sistem hidroponik teknik aliran nutrien cetek (Nutrient Film Technique, NFT) yang menggunakan tenaga solar dan beroperasi secara kendiri tanpa bergantung pada bekalan elektrik daripada bangunan sekolah.

Seterusnya, murid dan guru mengikuti latihan amali di kawasan perkarangan kantin sekolah untuk mempelajari kaedah pengendalian sistem hidroponik. Antara aktiviti yang dijalankan termasuk penyediaan larutan nutrien baja AB mengikut sukatan yang sesuai dengan menggunakan meter kekonduksian elektrik (Electrical Conductivity, EC) bagi mengukur kepekatan larutan.

Peserta juga mempelajari teknik menyemai biji benih sawi dan kangkung menggunakan media semaian yang sesuai. Selain itu, latihan turut merangkumi kemahiran penyelenggaraan asas seperti mengenal pasti kebocoran pada sambungan paip PVC, membersihkan palung hidroponik serta memeriksa voltan bateri dan keadaan pam air bagi sistem pembekalan larutan nutrien.

Peserta menjalankan aktiviti amali penyemaian biji benih sayuran
Peserta mempelajari pemilihan media tanaman dan kaedah penyediaan larutan nutrien

Bagi mengukuhkan pemahaman terhadap perkara yang dipelajari, penganjur turut mengadakan kuiz interaktif yang menguji pengetahuan murid mengenai formula pembajaan, pengoperasian litar solar dan fungsi kitaran air. Pendekatan pembelajaran secara interaktif itu membantu murid memahami konsep saintifik melalui aktiviti yang lebih praktikal dan menarik.

Sebagai kemuncak program, pihak universiti menyerahkan satu unit kit penanaman Hidroverse Mini yang mempunyai 32 lubang serta dilengkapi bumbung perlindungan sinaran ultraungu (UV) kepada pihak sekolah untuk dijadikan kemudahan pembelajaran berbentuk makmal hidup (living lab).

Sumbangan itu turut merangkumi manual pengoperasian serta bekalan input pertanian untuk tempoh tiga bulan, termasuk biji benih, baja AB, meter EC, media tanaman dan cawan tanaman (net pot). Kemudahan tersebut diharapkan dapat membantu pihak sekolah meneruskan aktiviti penanaman dan pembelajaran berkaitan hidroponik selepas program berakhir.

Pengetua SMK Seri Desa, Dr. Hazirah Amran, merakamkan penghargaan kepada pihak universiti atas pelaksanaan program berkenaan yang menurutnya berpotensi memberi manfaat jangka panjang terhadap motivasi dan minat murid dalam pembelajaran.

Beliau berkata, pendedahan secara praktikal seperti itu dapat menghubungkan teori dalam buku teks dengan aplikasi sebenar, selain memupuk kesedaran murid mengenai amalan pertanian lestari yang boleh diterapkan dalam kehidupan harian, termasuk di rumah.

Peserta mempelajari kaedah membuat tetapan pada sistem kawalan solar

Bagi memastikan projek dapat dimanfaatkan secara berterusan, pihak UTM turut menyatakan komitmen untuk melaksanakan pemantauan teknikal secara berkala sehingga kitaran tuaian pertama dan kedua selesai. Pemantauan itu diharap dapat membantu pihak sekolah mengendalikan sistem serta menangani sebarang masalah teknikal yang mungkin timbul.

Pelaksanaan program Hidroponik Solar SMK Seri Desa memperlihatkan potensi penggunaan teknologi hijau sebagai medium pembelajaran STEM yang menggabungkan pengetahuan saintifik dengan kemahiran praktikal. Pada masa yang sama, inisiatif ini dapat memberi pendedahan awal kepada generasi muda mengenai pertanian lestari, penggunaan tenaga boleh baharu dan kepentingan keterjaminan makanan negara.

Explore More

UTM Open Day