📝 Ringkasan
Elektrik dianggap sebagai keperluan asas dalam kehidupan moden. Namun, persoalan timbul sama ada setiap kilowatt-jam (kWj) elektrik yang digunakan juga boleh dianggap sebagai keperluan asas. Struktur tarif elektrik mengambil kira perbezaan tahap penggunaan, dengan pengguna yang menggunakan elektrik secara lebih cekap menerima manfaat lebih besar.
Persoalan lain yang timbul ialah sama ada syarikat utiliti sepatutnya memperoleh keuntungan daripada sesuatu yang dianggap sebagai keperluan asas. Namun, membekalkan elektrik bukan sekadar menghasilkan tenaga di stesen janakuasa dan menghantarnya melalui kabel ke rumah pengguna. Sistem elektrik merupakan sistem kejuruteraan yang kompleks yang memerlukan pelaburan, operasi dan penyelenggaraan secara berterusan.
Membuka industri elektrik kepada lebih banyak syarikat tidak semestinya menjadikan elektrik lebih murah. Persaingan boleh memberikan pengguna lebih banyak pilihan, manakala peruncit boleh bersaing dari segi harga, pakej dan perkhidmatan yang ditawarkan. Namun, kos untuk menghasilkan tenaga, menyediakan rangkaian dan memastikan keseluruhan sistem beroperasi dengan selamat tetap perlu ditanggung.
Kita perlu membezakan antara elektrik sebagai keperluan asas dengan jumlah elektrik yang kita pilih untuk gunakan. Hak dan tanggungjawab perlu seimbang, dengan kerajaan dan pengawal selia memastikan struktur tarif dan industri melindungi kepentingan pengguna, di samping memastikan bekalan kekal mampu milik dan boleh dipercayai.
Sejak kebelakangan ini, isu kenaikan bil elektrik kembali hangat diperdebatkan, khususnya di media sosial. Ada pengguna yang mempersoalkan peningkatan bil, ada yang berpendapat tarif elektrik perlu direndahkan, manakala ada juga yang mempersoalkan keuntungan syarikat utiliti atas alasan elektrik merupakan keperluan asas. Turut dikemukakan pandangan supaya monopoli dalam industri elektrik dipecahkan dan lebih banyak syarikat dibenarkan bersaing dengan harapan persaingan dapat menawarkan harga yang lebih rendah kepada pengguna.
Perdebatan ini wajar diberi perhatian. Kebimbangan terhadap kemampuan membayar bil elektrik sememangnya berasas, lebih-lebih lagi apabila elektrik sudah menjadi sebahagian daripada keperluan kehidupan moden. Namun, dalam menilai isu ini secara lebih menyeluruh, perbincangan tidak seharusnya terhad kepada angka pada bil semata-mata.
Antara persoalan yang timbul ialah sama ada harga elektrik akan menjadi lebih rendah sekiranya lebih banyak syarikat dibenarkan bersaing, sama ada syarikat yang menyediakan elektrik sebagai keperluan asas wajar memperoleh keuntungan dan, yang paling asas, berapakah jumlah elektrik yang sebenarnya diperlukan oleh pengguna untuk memenuhi keperluan asas mereka?
Elektrik memang keperluan asas
Sukar untuk menafikan bahawa elektrik merupakan keperluan asas dalam kehidupan moden. Kita memerlukannya untuk pencahayaan, penyimpanan makanan, komunikasi, pembelajaran, pekerjaan dan pelbagai aktiviti harian. Malah, banyak perkhidmatan penting dalam masyarakat hari ini tidak dapat berfungsi dengan baik tanpa bekalan elektrik yang mencukupi dan boleh dipercayai.
Namun, pengiktirafan terhadap elektrik sebagai keperluan asas membawa kepada satu lagi persoalan yang kurang dibincangkan. Adakah setiap kilowatt-jam (kWj) elektrik yang digunakan juga boleh dianggap sebagai keperluan asas?
Kedua-dua perkara ini tidak semestinya sama.
Struktur tarif elektrik sendiri mengambil kira perbezaan tahap penggunaan. Antaranya ialah Insentif Cekap Tenaga yang memberikan manfaat lebih besar kepada pengguna dengan penggunaan elektrik yang lebih rendah. Prinsipnya ialah pengguna yang menggunakan elektrik secara lebih cekap menerima layanan yang berbeza berbanding pengguna yang menggunakan elektrik dalam jumlah jauh lebih tinggi.
Hal ini menunjukkan bahawa perbincangan mengenai kemampuan membayar elektrik tidak seharusnya hanya tertumpu kepada kadar tarif. Jumlah elektrik yang digunakan turut memainkan peranan penting dalam menentukan bil akhir pengguna.
Jika elektrik keperluan asas, mengapa perlu ada keuntungan?
Satu lagi persoalan yang sering dibangkitkan ialah sama ada syarikat utiliti sepatutnya memperoleh keuntungan daripada sesuatu yang dianggap sebagai keperluan asas.
Persoalan itu wajar dibincangkan. Namun, untuk memahaminya, kita perlu melihat bahawa membekalkan elektrik bukan sekadar menghasilkan tenaga di stesen janakuasa dan menghantarnya melalui kabel ke rumah pengguna.
Sistem elektrik merupakan sistem kejuruteraan yang kompleks. Pada setiap saat, jumlah elektrik yang dijana perlu diseimbangkan dengan jumlah elektrik yang digunakan. Stesen janakuasa perlu tersedia apabila diperlukan, manakala talian penghantaran, pencawang, sistem pengagihan, perlindungan dan kawalan perlu dibina serta diselenggara.
Kapasiti sistem juga perlu mencukupi untuk menghadapi tempoh permintaan tinggi walaupun kapasiti tersebut mungkin tidak digunakan sepenuhnya sepanjang masa. Pada masa yang sama, sebarang gangguan perlu ditangani dengan pantas kerana masyarakat mengharapkan bekalan elektrik tersedia hampir setiap masa.
Semua keperluan tersebut mempunyai kos.
Justeru, persoalan yang lebih luas bukan sekadar mengapa syarikat elektrik perlu memperoleh keuntungan, tetapi berapakah kos yang munasabah untuk menyediakan sistem elektrik yang selamat, mencukupi dan boleh dipercayai, serta bagaimana kos tersebut sepatutnya diagihkan kepada pengguna?
Ini tidak bermaksud persoalan mengenai keuntungan syarikat utiliti tidak penting. Sebaliknya, keuntungan, kos dan prestasi utiliti perlu dinilai melalui kerangka kawal selia yang sesuai. Pada masa yang sama, perlu diakui bahawa penyediaan elektrik sebagai keperluan asas tetap memerlukan pelaburan, operasi dan penyelenggaraan secara berterusan.
Bagaimana jika lebih banyak syarikat dibenarkan bersaing?
Satu lagi pandangan yang sering dikemukakan ialah membuka industri elektrik kepada lebih banyak syarikat. Logiknya mudah. Apabila terdapat persaingan, syarikat akan bersaing mendapatkan pelanggan dan keadaan itu dijangka dapat menghasilkan tawaran yang lebih kompetitif.
Secara teori, persaingan memang boleh memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna dan mendorong syarikat menawarkan harga atau perkhidmatan yang lebih kompetitif. Namun, sistem elektrik lebih kompleks berbanding pasaran barangan biasa.
Pengalaman negara yang membuka pasaran elektrik seperti Singapura dan Great Britain menunjukkan bahawa persaingan tidak semestinya berlaku pada setiap bahagian sistem elektrik.
Secara umum, industri elektrik boleh dibahagikan kepada tiga bahagian utama, iaitu penjanaan, rangkaian dan peruncitan. Penjana menghasilkan elektrik, rangkaian membawa elektrik melalui sistem penghantaran dan pengagihan, manakala peruncit membeli tenaga dan menjualnya kepada pengguna akhir.
Persaingan boleh diperkenalkan dalam penjanaan dan peruncitan. Namun, rangkaian elektrik merupakan perkara yang berbeza.
Bayangkan jika terdapat tiga syarikat peruncit elektrik di sebuah kawasan perumahan. Adakah perlu dibina tiga set tiang elektrik di tepi jalan, tiga rangkaian kabel dan tiga talian berasingan untuk masuk ke setiap rumah?
Sudah tentu tidak.
Pembinaan beberapa rangkaian elektrik yang bertindih untuk menyediakan perkhidmatan yang sama bukan sahaja tidak praktikal, malah memerlukan kos yang sangat tinggi. Oleh disebabkan itu, walaupun sesebuah negara memperkenalkan persaingan dalam pasaran elektrik, rangkaian fizikal lazimnya kekal sebagai infrastruktur bersama yang dikawal selia.
Pengguna mungkin menerima bil daripada syarikat yang berbeza, tetapi bekalan elektrik masih dihantar ke rumah melalui rangkaian fizikal yang sama.
Persaingan tidak semestinya menjadikan elektrik lebih murah
Peruncit elektrik juga tidak menghasilkan semua tenaga yang dijual kepada pengguna. Mereka perlu mendapatkan elektrik daripada penjana atau pasaran tenaga dan menggunakan rangkaian sedia ada untuk menghantarnya kepada pelanggan. Kos tenaga dan penggunaan rangkaian tersebut akhirnya menjadi sebahagian daripada kos yang perlu ditanggung oleh peruncit.
Seperti syarikat lain, peruncit juga perlu memastikan operasi mereka berdaya maju.
Pengalaman Singapura pada 2021 memberikan satu contoh yang menarik. Ketika harga elektrik di pasaran borong meningkat dengan mendadak, beberapa peruncit mengambil keputusan untuk keluar daripada pasaran. Keadaan ini menunjukkan bahawa walaupun peruncit boleh bersaing menawarkan harga dan pakej kepada pengguna, mereka masih bergantung pada harga tenaga di pasaran yang berada di luar kawalan mereka.
Hal ini tidak bermaksud persaingan tidak mempunyai manfaat. Persaingan boleh memberikan pengguna lebih banyak pilihan, manakala peruncit boleh bersaing dari segi harga, pakej dan perkhidmatan yang ditawarkan.
Namun, lebih banyak syarikat tidak semestinya bermaksud harga elektrik akan sentiasa menjadi lebih rendah. Kos untuk menghasilkan tenaga, menyediakan rangkaian dan memastikan keseluruhan sistem beroperasi dengan selamat tetap perlu ditanggung.
Jadi, berapa banyak elektrik yang kita perlukan?
Selepas membincangkan tarif, keuntungan syarikat utiliti dan struktur industri elektrik, perhatian juga perlu diberikan kepada satu pemboleh ubah yang paling hampir dengan pengguna, tetapi kadangkala kurang diberi perhatian, iaitu jumlah elektrik yang digunakan.
Makanan ialah keperluan asas. Namun, hakikat bahawa makanan merupakan keperluan asas tidak bermaksud setiap jumlah makanan yang diambil boleh dianggap sebagai keperluan asas.
Prinsip yang sama boleh digunakan untuk elektrik.
Kita memerlukan elektrik untuk pelbagai keperluan kehidupan moden. Tetapi jika sebuah isi rumah menggunakan 2,000 kWj sebulan, adakah keseluruhan 2,000 kWj itu masih boleh dianggap sebagai keperluan asas hanya kerana elektrik merupakan keperluan asas?
Persoalan ini tidak mempunyai satu jawapan yang mudah. Keperluan setiap isi rumah tentunya berbeza mengikut bilangan penghuni, keadaan kediaman dan keperluan masing-masing. Namun, persoalan yang lebih penting ialah sama ada semua penggunaan elektrik, tanpa mengira jumlahnya, wajar dianggap sebagai keperluan asas.
Dengan demikian, persoalannya bukan sekadar sama ada elektrik merupakan keperluan asas. Kita sudah menerima bahawa elektrik sememangnya suatu keperluan. Persoalan yang lebih tepat ialah berapa banyak penggunaan elektrik yang munasabah untuk memenuhi keperluan asas kita?
Di sinilah kita perlu membezakan antara elektrik sebagai keperluan asas dengan jumlah elektrik yang kita pilih untuk gunakan.
Hak dan tanggungjawab perlu seimbang
Mengiktiraf elektrik sebagai keperluan asas tidak bermaksud kita boleh mengabaikan kos untuk menyediakannya. Pada masa yang sama, mengakui bahawa penyediaan elektrik mempunyai kos tidak bermaksud kemampuan masyarakat untuk mendapatkan bekalan elektrik yang mencukupi boleh diketepikan.
Kedua-duanya perlu diseimbangkan.
Kerajaan dan pengawal selia mempunyai peranan untuk memastikan struktur tarif dan industri melindungi kepentingan pengguna, di samping memastikan bekalan kekal mampu milik dan boleh dipercayai. Syarikat utiliti pula mempunyai tanggungjawab memastikan sistem elektrik beroperasi dengan cekap, selamat dan berdaya harap.
Sebagai pengguna, kita juga mempunyai peranan.
Dalam perdebatan mengenai kenaikan bil elektrik, mudah untuk kita melihat kepada kadar tarif, syarikat utiliti atau struktur industri. Semua perkara tersebut sememangnya wajar diteliti dan dipersoalkan.
Namun, pada masa yang sama, kita perlu melihat kepada corak penggunaan sendiri. Berapa banyak elektrik yang kita gunakan? Untuk apa ia digunakan? Adakah semuanya benar-benar diperlukan? Adakah terdapat penggunaan yang boleh dikurangkan tanpa menjejaskan kualiti kehidupan?
Mungkin persoalan yang perlu kita tanyakan bukan sekadar mengapa bil elektrik mahal, tetapi berapa banyak elektrik yang benar-benar kita perlukan dan siapakah yang sepatutnya menanggung kos apabila penggunaan melebihi keperluan asas?
Elektrik sememangnya keperluan asas. Namun, menentukan di mana batas keperluan itu berakhir dan penggunaan tambahan bermula ialah persoalan yang lebih kompleks dan mungkin itulah perbincangan yang lebih penting untuk kita mulakan.
Oleh Prof. Ir. Dr. Md Pauzi Abdullah, Exco Majlis Profesor UTM dan Profesor Kejuruteraan Elektrik Kuasa serta Pengarah, Institut Tenaga Masa Hadapan (IFE), Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Kepakaran beliau merangkumi Kejuruteraan Pasaran Elektrik dan Sistem Tenaga Elektrik.