📝 Ringkasan
21 orang murid tadika Sentiri menyertai Aktiviti EcoPrint berinspirasikan alam semula jadi di Pusat Pelestarian Kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTMCCS) pada 20 Ogos lalu. Mereka belajar menghasilkan produk berasaskan tumbuhan melalui teknik EcoPrint yang membolehkan mereka menyaksikan sendiri bagaimana elemen semula jadi seperti daun dan bunga dapat diterjemahkan menjadi hasil seni unik. Aktiviti ini memberikan pelbagai manfaat kepada kanak-kanak, termasuk perkembangan sahsiah, kreativiti, kemahiran fizikal, dan kesedaran awal tentang pemeliharaan alam sekitar.
JOHOR BAHRU, 1 Sept – Seramai 21 orang murid berumur antara empat hingga enam tahun daripada Tadika Sentiri menyertai Aktiviti EcoPrint berinspirasikan alam semula jadi yang dianjurkan oleh Pusat Pelestarian Kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTMCCS) pada 20 Ogos lalu. Program itu turut disertai empat orang guru pengiring yang diketuai oleh Ketua Guru, Nurhafizah Ghazali.
Kehadiran rombongan murid Tadika Sentiri disambut mesra oleh barisan pengurusan UTMCCS, diwakili LAr. Dr. Zanariah Jasmani yang Menjalankan Fungsi Pengarah UTMCCS; Penolong Pendaftar Kanan UTMCCS, Kiflee Jimpi, serta beberapa orang staf sokongan.

Dr. Zanariah, yang ditemui selepas program itu, berkata aktiviti EcoPrint merupakan salah satu sesi penerokaan dan pembelajaran secara langsung di bawah Pembelajaran Berasaskan Projek (Project-Based Learning, PBL) Tadika Sentiri yang bertemakan seni dan kraf berinspirasikan flora. Menurutnya, pendedahan secara praktikal ini bertujuan memberi peluang kepada kanak-kanak meneroka pelbagai bahan, teknik serta kaedah bagi menghasilkan produk berasaskan tumbuhan, sebelum kemuncak projek mereka iaitu Flora Market.
“Melalui teknik ini, para murid dapat menyaksikan sendiri bagaimana elemen semula jadi seperti daun dan bunga mampu diterjemahkan menjadi hasil seni yang unik dan berpotensi dijadikan produk komersial,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa aktiviti pembelajaran luar bilik darjah ini memberikan pelbagai manfaat dari segi perkembangan sahsiah, kreativiti dan kemahiran fizikal kanak-kanak.
“Menerusi penerokaan ini, murid-murid dapat melihat potensi flora di sekeliling mereka yang mempunyai kepelbagaian warna, corak dan tekstur untuk dijadikan sumber inspirasi karya seni. Selain itu, kanak-kanak bukan sekadar menyaksikan demonstrasi, malah mengalami sendiri keseluruhan proses EcoPrint secara langsung. Mereka diajar menyusun daun, meletakkan lapisan dengan betul, membalut serta menggunakan teknik mengetuk secara terkawal bagi memindahkan warna dan bentuk daun ke atas permukaan,” katanya lagi.

Sementara itu, Nurhafizah Ghazali berkata proses ini secara tidak langsung turut mengembangkan kreativiti, perancangan dan kemahiran membuat pilihan murid apabila setiap mereka diberi kebebasan menentukan komposisi corak masing-masing.
“Aktiviti ini juga memantapkan kemahiran motor halus serta koordinasi mata dan tangan murid-murid menerusi kawalan pergerakan dan kekuatan ketika mengetuk,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa elemen keselamatan dan disiplin mengikut proses turut ditekankan supaya kanak-kanak belajar menggunakan peralatan secara berhati-hati, di samping menajamkan kemahiran penyelesaian masalah serta membina keyakinan diri dan rasa bangga terhadap karya yang dihasilkan sendiri.
“Melalui penganjuran aktiviti yang penuh keseronokan ini, pihak Tadika Sentiri berharap murid-murid bukan sahaja menguasai teknik seni baharu, malah memupuk kesedaran awal tentang pemeliharaan alam sekitar yang selari dengan usaha pelestarian kampus,” katanya.

Program Aktiviti EcoPrint anjuran UTMCCS bersama Tadika Sentiri ini secara langsung dan tidak langsung menyokong beberapa Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), iaitu SDG 4: Pendidikan Berkualiti, SDG 12: Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab, SDG 15: Kehidupan di Darat, serta SDG 17: Rakan Kerjasama demi Matlamat.