📝 Ringkasan
UTM menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 dengan mengetengahkan inovasi teknologi pertanian pintar. Antara inovasi yang diketengahkan ialah Sistem Kamera Pintar Dipertingkat IoT GreenPulse untuk Pemantauan Penyakit Tumbuhan (GreenPulse IoT-Enhanced Smart Camera System for Plant Disease Monitoring). Sistem ini mengintegrasikan kecerdasan buatan (AI), pemprosesan imej dan kamera pintar berasaskan rel bagi mengumpulkan imej tanaman dalam persekitaran rumah hijau.
SERDANG, 6 Sept. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) terus memperluas impak penyelidikan teknologi pertanian pintar dengan menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026.
Penyertaan yang diatur oleh Pusat Inovasi dan Pengkomersilan (ICC) UTM itu mengetengahkan inovasi daripada Kumpulan Penyelidikan Rangkaian Akses Jalur Lebar Serata (U-BAN), FAI UTM, khususnya menerusi usaha Ir. Dr. Hazilah Mad Kaidi dan Ir. Ts. Dr. Norulhusna Ahmad. Kehadiran UTM di MAHA turut membuka ruang interaksi bersama petani, industri, agensi, pakar, penyelidik dan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.
Antara inovasi yang diketengahkan ialah Sistem Kamera Pintar Dipertingkat IoT GreenPulse untuk Pemantauan Penyakit Tumbuhan (GreenPulse IoT-Enhanced Smart Camera System for Plant Disease Monitoring), yang dibangunkan menerusi kerjasama dengan KMK Agro Global Sdn. Bhd., Banting, Selangor.
GreenPulse tercetus daripada cabaran sebenar dalam pemantauan tanaman rock melon, khususnya keperluan mengenal pasti tanda awal penyakit secara lebih sistematik. Sistem ini mengintegrasikan kecerdasan buatan (AI), pemprosesan imej dan kamera pintar berasaskan rel bagi mengumpulkan imej tanaman dalam persekitaran rumah hijau.

Model pengesanan objek berasaskan YOLO (You Only Look Once) dilatih menggunakan imej tanaman untuk mengenal pasti perubahan visual pada daun yang berkaitan dengan simptom penyakit, manakala pendekatan pengkomputeran tepi (edge computing) membolehkan data diproses lebih hampir dengan lokasi pengumpulan. Teknologi ini bertindak sebagai sokongan pengesanan awal kepada petani dan telah melalui proses validasi prototaip dalam persekitaran ladang sebenar.

Pengalaman membangunkan GreenPulse menunjukkan bahawa cabaran pembangunan teknologi pertanian bukan sekadar menghasilkan model AI berketepatan tinggi. Faktor seperti pencahayaan, cuaca, capaian komunikasi, penyelenggaraan, kos pelaksanaan dan kesediaan digital pengguna turut menentukan kebolehgunaan teknologi. Justeru, penglibatan petani dan industri amat penting bagi memastikan inovasi yang dibangunkan praktikal serta sesuai dengan keperluan sebenar.

Selain pameran, penyelidik FAI UTM turut berkongsi pengalaman pembangunan GreenPulse menerusi sesi Pocket Talk, di mana interaksi bersama peserta memberikan maklum balas mengenai keperluan pengguna, potensi aplikasi AI serta cabaran penerapan teknologi pintar dalam sektor pertanian.
MAHA 2026 turut menjadi ruang pertemuan bersama alumni UTM daripada pelbagai sektor industri dan bidang kepakaran, dengan perbincangan di reruai membuka peluang perkongsian pandangan mengenai keperluan industri, potensi aplikasi dan validasi teknologi, jaringan profesional, serta kerjasama pada masa hadapan. Jaringan alumni ini berpotensi menjadi penghubung penting antara penyelidik universiti, industri, agensi dan komuniti pengguna.


Penyertaan ini turut menyokong aspirasi UTM ASCEND 2030 dengan membawa penyelidikan keluar daripada makmal untuk divalidasi, mendapat maklum balas pengguna dan membina laluan ke arah penggunaan serta pengkomersialan, sekali gus memperkukuh hubungan antara kecemerlangan penyelidikan, inovasi dan impak kepada masyarakat.
Dari perspektif Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), GreenPulse menyokong SDG 2 (Kelaparan Sifar) menerusi penggunaan teknologi bagi membantu pemantauan tanaman dan produktiviti pertanian, serta SDG 9 (Industri, Inovasi dan Infrastruktur) menerusi pembangunan AI, IoT dan sistem pemantauan pintar serta pengukuhan kerjasama universiti-industri.

Bagi Ir. Dr. Hazilah Mad Kaidi, Ir. Ts. Dr. Norulhusna Ahmad dan Kumpulan Penyelidikan U-BAN, FAI UTM, penyertaan di MAHA 2026 bukan sekadar ruang mempamerkan teknologi, sebaliknya menjadi medan untuk mendengar, belajar, menguji idea dan membina hubungan.
Pertemuan dengan petani, industri, pakar, masyarakat serta alumni memberikan perspektif yang tidak semestinya diperoleh menerusi penyelidikan di makmal semata-mata, sekali gus memperkukuh komitmen mereka untuk terus membangunkan penyelesaian AI dan teknologi pintar yang bukan sahaja mempunyai nilai akademik, tetapi praktikal, relevan kepada industri dan mampu memberikan impak kepada sektor pertanian serta masyarakat.
Oleh Ir. Dr. Hazilah Mad Kaidi, dan Ir. Ts. Dr. Norulhusna Ahmad