📝 Ringkasan
Keluarga Muhammad Farid Mohd Fauzi yang mempunyai bapa yang menghidap penyakit buah pinggang dan perlu menjalani rawatan dialisis setiap tiga hari, menerima bantuan RM1,500 daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Yayasan Perkasa Siswa (YPS) untuk membantu meringankan keperluan persediaan Farid sebelum memulakan pengajian di UTM. Bantuan tersebut terdiri daripada RM1,000 sumbangan YPS dan RM500 daripada UTM.
JOHOR BAHRU, 9 Sept. – Di sebalik kegembiraan menerima tawaran melanjutkan pengajian ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM), tersimpan kisah perjuangan sebuah keluarga yang turut menjadi sebahagian daripada perjalanan Muhammad Farid Mohd Fauzi menuju menara gading.
Anak sulung daripada dua beradik itu bakal memulakan pengajian dalam program Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dengan Kepujian di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, UTM, pada 4 Oktober 2026. Farid, lepasan Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Johor, berjaya memperoleh keputusan akademik cemerlang dengan CGPA sempurna 4.00, pencapaian yang membuktikan kesungguhan dan komitmennya dalam bidang akademik sekali gus membuka laluan untuk melanjutkan pengajian di UTM.
Lebih membanggakan, Farid menyimpan cita-cita besar untuk menjadi seorang Jurutera Nuklear pada masa hadapan. Impian tersebut didorong oleh minatnya terhadap bidang kejuruteraan serta keinginan untuk membina kerjaya yang mampu memberi sumbangan kepada pembangunan negara.
Namun, langkah Farid ke UTM turut diiringi ujian getir yang dihadapi keluarganya. Bapanya, Mohd Fauzi Abu Shari, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, menghidap penyakit buah pinggang dan perlu menjalani rawatan dialisis sebanyak tiga kali seminggu. Meskipun begitu, beliau tetap berusaha meneruskan pekerjaan bagi menampung keperluan keluarga dengan pendapatan bersih sekitar RM2,700 sebulan, manakala isterinya pula menguruskan rumah tangga sepenuh masa.

Ekoran keadaan kesihatan bapanya, Farid mengakui beliau berkemungkinan besar akan bergantung sepenuhnya kepada pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk menampung perbelanjaan harian sepanjang pengajian di UTM. Kos rawatan bapanya turut menjadi cabaran tambahan, dengan sebahagiannya ditanggung oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan selebihnya ditanggung sendiri oleh keluarga, di samping keperluan persekolahan adiknya yang turut perlu diberi perhatian.
Namun begitu, Farid tidak menjadikan kesukaran tersebut sebagai alasan untuk berputus asa. Sebaliknya, peluang melanjutkan pengajian ke UTM dilihatnya sebagai satu amanah dan harapan untuk mengubah masa depan keluarga.
“Saya berharap bantuan yang akan diberikan serba sedikit dapat meringankan kehidupan saya di UTM kelak. Saya juga ingin merakamkan rasa bertuah dan bersyukur kerana ditawarkan bantuan ini,” demikian luahan Farid yang jelas menggambarkan rasa syukur di sebalik kebimbangan yang dipikulnya.
Menyedari kesukaran yang dihadapi keluarga tersebut, Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar, dan Pendaftar UTM, Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah, berkunjung ke kediaman keluarga Farid pada 9 September 2026. Kunjungan tersebut bukan sekadar menyampaikan ucapan tahniah atas kejayaan Farid mendapat tempat di UTM, tetapi turut menjadi tanda keprihatinan universiti terhadap kebajikan bakal mahasiswa serta keluarganya.

Sepanjang kunjungan itu, Farid menerima bantuan awal berjumlah RM1,500, terdiri daripada RM1,000 sumbangan Yayasan Perkasa Siswa (YPS) dan RM500 daripada UTM, bagi membantu meringankan keperluan persediaannya sebelum memulakan kehidupan sebagai mahasiswa. UTM turut menyatakan komitmen membantu Farid memohon biasiswa yang bersesuaian bagi mengurangkan beban kewangan sepanjang tempoh pengajiannya.
Bagi Farid, bantuan yang diterima bukan sekadar bernilai dari segi kewangan, tetapi turut memberikan semangat baharu ketika keluarganya sedang melalui satu ujian kehidupan. Menerusi inisiatif ini, UTM turut menegaskan pendiriannya bahawa kekangan kewangan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada anak-anak Malaysia untuk mendapatkan pendidikan tinggi, dan bahawa universiti akan terus memperkukuh inisiatif kebajikan serta bantuan bersasar bagi memastikan mahasiswa yang memerlukan mendapat sokongan sewajarnya untuk meneruskan pengajian dengan lebih tenang.
Kini, hanya tinggal beberapa minggu sebelum Farid melangkah ke UTM. Berbekalkan keputusan akademik cemerlang, cita-cita untuk menjadi Jurutera Nuklear serta sokongan keluarga dan universiti, beliau membawa bersama harapan besar untuk berjaya dalam pengajian dan membalas jasa kedua ibu bapanya suatu hari nanti.