SKSM33 serlah kepakaran penyelidik matematik UTM, raih pelbagai pengiktirafan

SDGSDG4SDG8

📝 Summary

Researchers from the Department of Mathematics, Faculty of Science, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) showcased their expertise at the 33rd National Mathematics Science Symposium (SKSM33) and received various recognitions for their achievements in mathematics. UTM researchers presented several papers and received awards in various categories, including the Best Paper Award and the Sanjungan Award.

ALOR GAJAH, 15 Sept. – Sekumpulan pensyarah dan pelajar pascasiswazah dari Jabatan Sains Matematik, Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyertai Simposium Kebangsaan Sains Matematik ke-33 (SKSM33) yang berlangsung pada 14 hingga 15 September 2026 di Swiss Garden Hotel, Melaka.

Simposium anjuran Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bersama Persatuan Sains Matematik Malaysia (PERSAMA) itu turut menyaksikan Majlis Anugerah PERSAMA 2026 yang berlangsung pada malam hari pertama, dengan beberapa ahli akademik dan pelajar UTM menerima pengiktirafan atas pencapaian dalam bidang matematik.

Penyertaan UTM dalam SKSM33 menyerlah menerusi dua syarahan jemputan yang disampaikan oleh ahli akademik Jabatan Sains Matematik. Prof. Dr. Nor Haniza Sarmin membentangkan syarahan bertajuk “Algebraic and Graph-Theoretic Structures for Interpretable and Robust Artificial Intelligence Models” pada Sesi 1A, manakala Prof. Madya Dr. Nor Muhainiah Mohd Ali menyampaikan syarahan jemputan bertajuk “The Cyclic Order Product Prime Graphs and Deep Enhanced Power Graphs of Some Nonabelian Metabelian Groups with Their Properties” pada Sesi 4B.

Turut membentangkan kertas kerja ialah Dr. Mohammad Ridhwan Reyaz Ahmad, menerusi kajian bertajuk “Velocity Analysis of Second Grade Fluid Past a Rotating Riga Plate with Accelerated Boundaries”. Selain itu, dua pelajar PhD di bawah seliaan Prof. Madya Dr. Fong Wan Heng turut membentangkan kertas kerja masing-masing. Goh Hung Lik membentangkan kajian bertajuk “H-Eigenvalues and Hermitian Energy of Cyclic Multidigraph”, manakala Chua Kee Yeong membentangkan kajian bertajuk “A Reduction on the Graph of k-mers for DNA Sequences via Shortest Paths”.

Penyelidik Jabatan Sains Matematik, Fakulti Sains, UTM bergambar bersama alumni Matematik yang menghadiri SKSM33

Kecemerlangan penyelidik UTM turut terserlah menerusi Majlis Anugerah PERSAMA 2026 yang diadakan sempena Majlis Makan Malam SKSM33 pada 14 September 2026.

Dalam Kategori Reka Cipta Matematik (Hadiah Sanjungan), Prof. Dr. Nor Haniza Sarmin, Dr. Ghazali Semil @ Ismail dan Dr. Nur Idayu Alimon menerima anugerah menerusi reka cipta bertajuk “T.I. CALC of the Zero Divisor Graph for the Ring Zpᵏq (T.I. CALC Zpᵏq)”, hasil kerjasama antara UTM dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Sementara itu, dalam Kategori Tesis Doktor Falsafah (Hadiah Sanjungan), Dr. Mohammad Ridhwan Reyaz Ahmad menerima anugerah bagi tesis bertajuk “Analytical Study of the Caputo-Fabrizio Fractional Derivative for Casson Fluid, Casson Nanofluid and Casson Hybrid Nanofluid over a Riga Plate”. Dr. Ghazali Semil @ Ismail turut menerima Hadiah Sanjungan dalam kategori yang sama bagi tesis bertajuk “Topological Indices of the Zero Divisor Graph for Some Integers Modulo Ring and Its Calculator App” di bawah institusi UTM.

Kecemerlangan penyelidik matematik UTM diteruskan pada Majlis Penutup SKSM33 pada 15 September 2026 apabila kertas kerja bertajuk “On the Energy of the Non-Normal Cyclic Subgroup Digraphs of Dihedral Groups” menerima Anugerah Kertas Kerja Terbaik. Anugerah berkenaan diterima oleh Athirah Zulkarnain, Nurin Alya Jhon Kenedi, Prof. Dr. Nor Haniza Sarmin, Dr. Nabilah Fikriah Rahin dan Dr. Hazzirah Izzati Mat Hassim.

Athirah Zulkarnain, Nurin Alya Jhon Kenedi, Prof. Dr. Nor Haniza Sarmin, Dr. Nabilah Fikriah Rahin dan Dr. Hazzirah Izzati Mat Hassim menerima Anugerah Kertas Kerja Terbaik

Anugerah yang sama turut diterima oleh Prof. Madya Dr. Nor Muhainiah Mohd Ali dan Muhammad Rafiq Mohd Zulkefli menerusi kertas kerja bertajuk “The Cyclic Order Product Prime Graphs and Deep Enhanced Power Graphs of Some Nonabelian Metabelian Groups with Their Properties”.

Prof. Madya Dr. Nor Muhainiah Mohd Ali dan Muhammad Rafiq Mohd Zulkefli menerima Anugerah Kertas Kerja Terbaik

Turut menerima pengiktirafan sama ialah Prof. Madya Dr. Fong Wan Heng, Goh Hung Lik dan Chua Kee Yeong menerusi kertas kerja bertajuk “H-Eigenvalues and Hermitian Energy of Cyclic Multidigraph”.

Prof. Madya Dr. Fong Wan Heng, Goh Hung Lik dan Chua Kee Yeong menerima Anugerah Kertas Kerja Terbaik

Penyertaan dan pengiktirafan yang diterima dalam SKSM33 memperlihatkan penglibatan aktif penyelidik Jabatan Sains Matematik, Fakulti Sains, UTM dalam perkongsian ilmu, pembentangan hasil penyelidikan serta pengembangan bidang matematik di peringkat nasional dan antarabangsa.

Pencapaian tersebut juga mencerminkan usaha berterusan warga akademik dan pelajar pascasiswazah UTM dalam memperkukuh kegiatan penyelidikan serta menghasilkan sumbangan ilmiah dalam pelbagai bidang matematik.

 

Oleh Prof. Madya Dr. Nor Muhainiah Mohd Ali dan Prof. Dr. Nor Haniza Sarmin

Explore More

UTM Open Day