Majlis Citra Karisma 2026 hargai staf cemerlang, perkukuh budaya kerja berprestasi tinggi

SDGSDG4SDG8SDG9

📝 Ringkasan

Majlis Citra Karisma 2026 diadakan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk mengiktiraf kecemerlangan dan sumbangan warga universiti. Majlis tersebut bertemakan “Warisan Johor” dan bertujuan memperkukuh budaya kerja berprestasi tinggi. 470 penerima diberi pengiktirafan menerusi 15 kategori anugerah, termasuk Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Anugerah Khas Tokoh Kepimpinan. Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim menerima Anugerah Khas Tokoh Kepimpinan atas kepimpinan dan sumbangan beliau kepada pembangunan dan kecemerlangan UTM.

JOHOR BAHRU, 24 Sept. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus mengiktiraf kecemerlangan, sumbangan dan prestasi warganya dalam pelbagai bidang termasuk kepimpinan, perkhidmatan, inovasi dan pengurusan menerusi penganjuran Majlis Citra Karisma 2026 di Dewan Sultan Iskandar, UTM, hari ini.

Bertemakan “Warisan Johor”, majlis berkenaan turut menjadi wadah untuk memperkukuh budaya kerja berprestasi tinggi dalam kalangan warga UTM, selain mengetengahkan keunikan identiti, adat resam dan budaya negeri Johor yang menampilkan nilai kesantunan, kehalusan budi dan jati diri.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim, dengan kehadiran pengurusan tertinggi serta warga kerja UTM.

Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim ketika sedang berucap sempena Majlis Citra Karisma 2026

Dalam amanatnya,menegaskan bahawa kecemerlangan sesebuah universiti tidak hanya bergantung pada prasarana, sebaliknya turut dibentuk oleh mutu, kecekapan dan integriti warganya.

“Tiga perkara yang perlu terus diberi perhatian warga universiti, iaitu membudayakan prestasi tinggi dan integriti, menghasilkan penyelidikan yang menyelesaikan masalah negara serta membina daya tahan dan membudayakan pembelajaran sepanjang hayat,” katanya.

Tambahnya lagi, peningkatan kemahiran perlu menjadi budaya agar setiap warga universiti kekal relevan dalam ekosistem pendidikan tinggi yang sentiasa berkembang.

Sementara itu, Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, berkata pengiktirafan yang diberikan menerusi Majlis Citra Karisma bukan sekadar meraikan pencapaian individu, malah mencerminkan komitmen warga dalam membentuk budaya kerja berprestasi tinggi sebagai asas kepada kecemerlangan universiti.

“Di sebalik kejayaan UTM, terdapat warganya yang telah bekerja dengan tekun dan melaksanakan amanah dengan tanggungjawab. Majlis ini menjadi platform untuk mengiktiraf segala sumbangan tersebut, di samping mengingatkan kita bahawa kecemerlangan institusi bermula daripada komitmen setiap individu,” ujarnya.

Beliau berkata, perubahan teknologi, persaingan bakat dan ketidaktentuan ekonomi pada peringkat global turut menuntut institusi pendidikan tinggi dan warganya supaya lebih tangkas, inovatif serta sentiasa bersedia memperbaharui keupayaan.

Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim ketika menyampaikan ucapan alu-alun Majlis Citra Karisma 2026

Pada tahun ini, seramai 470 penerima diraikan menerusi 15 kategori anugerah, termasuk 393 staf daripada pelbagai skim perkhidmatan dan gred jawatan yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) atas prestasi dan sumbangan sepanjang 2025.

Antara pengiktirafan utama ialah Anugerah Khas Tokoh Kepimpinan yang dianugerahkan kepada Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim sebagai penghargaan terhadap kepimpinan serta sumbangan beliau kepada pembangunan dan kecemerlangan UTM.

Pengalaman luas dalam akademik, penyelidikan, inovasi dan pengurusan universiti menjadi antara latar yang mengiringi perjalanan kepimpinan Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim selama lebih tiga dekad. Beliau pernah menerajui Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sebagai Naib Canselor dari 2022 hingga 2025, selain pernah menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) UTM, khususnya dalam pengukuhan ekosistem penyelidikan, pengkomersialan dan perlindungan harta intelek universiti.

Mengulas pengiktirafan tersebut, Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi merakamkan penghargaan kepada UTM dan berharap warga universiti, khususnya generasi muda, terus memperkukuh integriti serta etika dalam melaksanakan tanggungjawab.

“Harapan saya agar staf UTM, khususnya yang masih muda dan masih berkhidmat, dapat terus memberikan perkhidmatan yang lebih baik, meningkatkan integriti, serta sentiasa menjaga etika bekerja. Saya percaya hala tuju UTM sudah berada pada landasan yang betul dan universiti akan terus maju selepas ini,” katanya.

Menurut beliau, integriti bukan sekadar berkaitan soal kewangan, malah merangkumi pengurusan masa, adab ketika bekerja dan kesediaan untuk saling membantu.

Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim ketika menerima Anugerah Khas Tokoh Kepimpinan pada Majlis Citra Karisma 2026

Dalam perkembangan sama, Jabatan Pendaftar UTM muncul sebagai penerima Anugerah Inovasi Naib Canselor (AINC) menerusi Sistem iCONVO, iaitu Transformasi Digital Pengurusan Konvokesyen.

Sistem berkenaan merupakan ekosistem digital bersepadu yang dibangunkan menggunakan kepakaran dalaman universiti bagi mentransformasikan pengurusan konvokesyen. Sistem itu mengintegrasikan teknologi seperti rantaian blok (blockchain), pengenalan frekuensi radio (RFID), sistem penentududukan sejagat (GPS), kod QR, antara muka pengaturcaraan aplikasi (API) kewangan dan aplikasi mudah alih dalam satu ekosistem digital.

Pelaksanaannya menyokong pengurusan konvokesyen yang lebih cekap, sistematik dan mesra pengguna, termasuk operasi tanpa kertas serta pengurusan konvokesyen berskala besar yang melibatkan antara 7,000 hingga 8,000 graduan bagi setiap sesi.

Wakil Jabatan Pendaftar UTM menerima Anugerah Inovasi Naib Canselor menerusi Sistem iCONVO pada Majlis Citra Karisma 2026

Majlis Citra Karisma 2026 turut mengetengahkan Anugerah Pentadbir yang diterima oleh Ganesan Andimuthu, manakala Radiah Mohd Alip menerima Anugerah Pentadbir Harapan sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan, profesionalisme dan sumbangan mereka dalam memperkukuh pengurusan serta penyampaian perkhidmatan universiti.

Ganesan Andimuthu turut menerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC) daripada KPT bersama Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Jasrul Jamani Jamian sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan dan sumbangan mereka kepada universiti dan negara.

Bagi Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Jasrul Jamani Jamian, pengiktirafan tersebut menjadi dorongan untuk beliau terus memberikan sumbangan kepada komuniti, masyarakat dan industri. Beliau turut menggalakkan warga UTM untuk merebut peluang mendapatkan pengiktirafan seumpama itu sebagai satu bentuk penghargaan terhadap sumbangan penjawat awam.

“Anugerah ini merupakan antara pengiktirafan tertinggi dalam sektor penjawat awam. Oleh itu, saya menggalakkan rakan-rakan di UTM untuk memohon anugerah tersebut kerana ia merupakan satu pengiktirafan terhadap sumbangan kita sebagai penjawat awam,” katanya.

Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Jasrul Jamani Jamian menerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC) pada Majlis Citra Karisma 2026

Sementara itu, Ganesan Andimuthu berkata budaya kerja perlu berasaskan nilai amanah dan tanggungjawab, yang menurutnya perlu diterapkan sepanjang tempoh seseorang menjalankan perkhidmatan.

“Nasihat saya untuk masa hadapan hanya satu, iaitu kita perlu menganggap pekerjaan sebagai satu ibadah. Daripada mula masuk bekerja sehingga menamatkan perkhidmatan, sama ada di UTM atau mana-mana agensi kerajaan, kita perlu menganggap pekerjaan sebagai satu amanah dan tanggungjawab yang dilaksanakan dengan niat sebagai ibadah,” katanya.

Beliau turut berkata pendekatan tersebut penting dalam memastikan integriti dan kualiti perkhidmatan terus dipelihara sehingga akhir tempoh perkhidmatan.

Ganesan Andimuthu selepas menerima Anugerah Pentadbir pada Majlis Citra Karisma 2026

Pemilihan tema “Warisan Johor” bagi Majlis Citra Karisma 2026 turut membawa simbolik bahawa kecemerlangan sesebuah organisasi dibentuk melalui nilai adab, tradisi dan legasi yang diwarisi serta diteruskan dari satu generasi kepada generasi seterusnya.

Sehubungan itu, penganjuran Majlis Citra Karisma 2026 bukan sahaja memberikan pengiktirafan terhadap pencapaian warga universiti, malah menjadi ruang untuk menyemarakkan semangat kebersamaan, muafakat dan kerjasama berpasukan dalam melaksanakan amanah serta merealisasikan aspirasi UTM.

Explore More

UTM Open Day