UTM sasar 41 pingat dalam Kejohanan SUKUM 2026

SDGSDG3SDG4SDG5SDG11SDG12SDG16

📝 Ringkasan

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyasarkan 41 pingat dalam Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) kali Ke-46. Sasaran tersebut merangkumi 14 pingat emas, lapan pingat perak dan 19 pingat gangsa. UTM menghantar 267 ahli kontinjen untuk bertanding dalam 16 acara sukan.

JOHOR BAHRU, 5 Ogos – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyasarkan 41 pingat keseluruhan dalam Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) kali Ke-46 yang akan berlangsung di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu, dari 6 hingga 15 Ogos 2026.

Sasaran tersebut merangkumi 14 pingat emas, lapan pingat perak dan 19 pingat gangsa menerusi penyertaan dalam 16 acara sukan. Sasaran berkenaan diumumkan pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen UTM ke SUKUM 2026 yang berlangsung di Sports Hall 1, UTM Johor Bahru.

Majlis dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM merangkap Penasihat Kejohanan SUKUM 2026, Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan Pendaftar UTM merangkap Ketua Kontinjen SUKUM 2026, Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah. Dalam ucapannya, beliau menyatakan keyakinan terhadap kemampuan para atlet berdasarkan persediaan rapi yang dilaksanakan oleh Pusat Kecemerlangan Sukan UTM.

Menurut beliau, sasaran yang ditetapkan diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada seluruh kontinjen untuk mempamerkan prestasi terbaik sepanjang kejohanan, selain membawa nama UTM dengan penuh tanggungjawab.

UTM menghantar seramai 267 ahli kontinjen yang terdiri daripada 179 lelaki dan 88 wanita bagi membawa cabaran universiti pada edisi kali ini.

Acara kemuncak majlis menyaksikan penyerahan Bendera Kontinjen UTM kepada Ketua Kontinjen SUKUM 2026, Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah, sebagai lambang amanah, maruah, semangat juang serta sokongan padu seluruh warga universiti kepada para atlet yang bakal bertanding.

Penyerahan Bendera Kontinjen UTM kepada Ketua Kontinjen SUKUM 2026, Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah

Dalam majlis yang sama, turut berlangsung penyerahan bendera kepada pasukan bola sepak UTM yang akan beraksi dalam Liga Bola Sepak Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Divisyen 2 2026. Penyerahan tersebut melambangkan sokongan berterusan universiti terhadap pembangunan sukan bola sepak serta usaha melahirkan atlet yang berdaya saing di peringkat institusi pendidikan tinggi.

Penyerahan bendera kepada Ketua Pasukan Bola Sepak UTM ke Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026

Dato’ Dr. Mohd Sharil turut mengingatkan para atlet supaya membawa bendera UTM dengan penuh tanggungjawab, menjaga disiplin dan kesihatan serta mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi sepanjang berada di medan pertandingan.

Pada majlis berkenaan, penghargaan turut diberikan kepada Badan Kebajikan Staf UTM (BAKES) atas sumbangan berjumlah RM21,600 kepada Kontinjen SUKUM UTM. Sumbangan tersebut mencerminkan semangat kebersamaan warga universiti dalam menjaga kebajikan atlet serta memperkasakan kecemerlangan sukan UTM.

Penyerahan sumbangan RM21,600 daripada BAKES kepada Kontinjen SUKUM UTM

Penyertaan kontinjen UTM dalam SUKUM 2026 turut selaras dengan aspirasi UTM ASCEND 2030 untuk melahirkan warga universiti yang sihat, produktif, berdaya tahan dan sejahtera melalui pembudayaan sukan.

Majlis anjuran Pusat Kecemerlangan Sukan, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) itu turut dihadiri barisan pengurusan universiti, pegawai, jurulatih, urus setia serta para atlet UTM.

Seluruh warga UTM mendoakan agar kontinjen universiti mampu mempamerkan semangat juang yang tinggi, mencapai sasaran yang ditetapkan serta mengharumkan nama UTM pada Kejohanan SUKUM 2026.

Explore More

UTM Open Day