📝 Ringkasan
Program Kesedaran Basic Life Support (BLS) diadakan di Surau An-Nur, Taman Desa Skudai, Johor Bahru untuk meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat menghadapi kecemasan jantung. Program ini diselenggarakan oleh IJN-UTM CEC dan Pusat Kesihatan UTM dengan kerjasama komuniti setempat. Program ini mendapat sambutan daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk belia dan warga emas, dan menyediakan latihan dan modul praktikal untuk mengajar teknik Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) dan penggunaan Defibrilator Luaran Automatik (AED).
JOHOR BAHRU, 22 Ogos – Penyakit jantung iskemia kekal sebagai punca utama kematian di negara ini, menurut Laporan Perangkaan Sebab Kematian Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Mengambil kira arah aliran membimbangkan tersebut, usaha melahirkan masyarakat yang berkeyakinan dan berpengetahuan dalam mengendalikan situasi kecemasan terus diperkasakan menerusi penganjuran Program Kesedaran Basic Life Support (BLS) di kawasan Surau An-Nur, Taman Desa Skudai, di sini.
Dapatan DOSM turut menunjukkan peningkatan kes kematian akibat penyakit jantung dalam tempoh dua dekad kebelakangan ini, sekali gus menggambarkan bahawa risiko serangan jantung boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa mengira lokasi. Menyedari realiti tersebut, Pusat Kejuruteraan Kardiovaskular IJN-UTM (IJN-UTM CEC) dengan kerjasama Pusat Kesihatan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta kepimpinan komuniti setempat mengambil inisiatif menganjurkan program ini sebagai langkah proaktif memperkasa kesiapsiagaan orang ramai.
Program itu mendapat penyertaan pelbagai lapisan masyarakat, daripada golongan belia hingga warga emas. Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengarah IJN-UTM CEC, Prof. Madya Ir. Dr. Nadia Adrus, yang menegaskan kepentingan mendedahkan kemahiran asas menyelamatkan nyawa kepada masyarakat awam bagi membantu mengurangkan risiko kematian akibat serangan jantung mendadak sebelum bantuan perubatan tiba.
“Penglibatan aktif komuniti dalam program seperti ini merupakan langkah awal yang amat penting. Dengan kadar penyakit jantung yang kian meningkat, kita mahu membina sebuah masyarakat yang bukan sahaja peka, malah sentiasa bersedia dan berani mengambil tindakan awal yang betul apabila berdepan situasi kecemasan di sekeliling mereka,” katanya.
Sesi latihan dan modul praktikal program pula dikendalikan oleh Pegawai Perubatan Pusat Kesihatan UTM yang juga pelatih berdaftar, Dr. Mohammad Sya’rani Najmuddin. Menerusi latihan terancang tersebut, para peserta didedahkan secara mendalam mengenai teknik Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) serta panduan penggunaan Defibrilator Luaran Automatik (AED).


Bagi memastikan pemahaman yang lebih optimum, pendekatan latihan amali secara berputar (hands-on rotational practice) turut digabungkan dengan simulasi kecemasan (mock drill), membolehkan peserta merasai sendiri pengalaman mengendalikan situasi cemas secara realistik dan lebih meyakinkan.


Selain modul latihan keselamatan, program ini turut disemarakkan dengan pameran inovasi perubatan daripada IJN-UTM CEC serta reruai informasi kesihatan interaktif oleh Pusat Kesihatan UTM, yang membolehkan pengunjung mendapatkan pandangan mengenai perkembangan teknologi kardiovaskular serta khidmat nasihat penjagaan kesihatan secara terus.
Sambutan daripada penduduk Taman Desa Skudai mencerminkan kepentingan program pendidikan kesihatan berasaskan komuniti sebegini. Penganjuran ini turut memantapkan jalinan kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi, pakar perubatan dan masyarakat setempat dalam membentuk komuniti yang lebih prihatin dan bersedia menghulurkan bantuan menyelamatkan nyawa apabila diperlukan.