📝 Ringkasan
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sedang melangkah menuju ASCEND 2030, sebuah kompas strategik untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan, penyelidikan, pembangunan bakat, kelestarian, inovasi dan kemanusiaan. Pentadbir perlu berkembang dari pelaksana prosedur kepada pemudah cara, penghubung, penyelesai masalah, pencetus inovasi dan pemacu perubahan. Profesionalisme tidak hanya diukur berdasarkan jumlah tugasan yang diselesaikan, tetapi juga nilai dan impak yang dihasilkan. Adab adalah asas yang paling penting dalam mencapai kejayaan UTM, membentuk integriti, menghidupkan sinergi, mendorong kecemerlangan dan mengajar kita menghargai kelestarian.
“Strategi menentukan ke mana kita mahu pergi, tetapi adab menentukan bagaimana kita sampai ke sana.”
Bersempena Sambutan Hari Pentadbir Universiti Awam pada 20 Ogos 2026 serta Sambutan Jubli Perak Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI) yang meraikan tempoh 2001 hingga 2026, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan di universiti awam seluruh negara. Bertemakan “Menyulam Aspirasi, Menjulang Profesionalisme Pentadbir”, sambutan tahun ini memberikan gambaran jelas tentang peranan penting pentadbir dalam mendukung aspirasi institusi masing-masing.
Lebih 25 tahun berkhidmat di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah memberi saya peluang menyaksikan pelbagai perubahan, sama ada dari segi generasi, teknologi, sistem, struktur organisasi mahupun kaedah bekerja. Namun, saya percaya perubahan yang paling penting bukanlah pada sistem atau teknologi, sebaliknya pada manusia yang menggerakkannya.
Sebaik mana pun strategi dirancang dan secanggih mana pun teknologi dimanfaatkan, kejayaan sesebuah universiti tetap bergantung pada nilai, sikap dan tindakan warganya. Dalam konteks UTM yang sedang melangkah menuju ASCEND 2030, persoalannya bukan sekadar apa yang ingin dicapai, tetapi siapakah yang akan merealisasikannya dan nilai apakah yang akan menjadi panduan. Pada hemat saya, jawapannya bermula dengan satu perkataan, iaitu adab.
Aspirasi UTM tidak mungkin dicapai oleh seorang individu atau satu-satu jabatan sahaja. Seperti sulaman yang terbentuk daripada pelbagai jalinan benang, kejayaan universiti turut bergantung pada sumbangan setiap warganya.
Setiap tugasan, keputusan, interaksi dengan pelanggan, proses yang dipermudah dan inovasi yang dihasilkan sedikit sebanyak memberi kesan kepada budaya serta prestasi organisasi. Justeru, menyulam aspirasi bermaksud menjadikan matlamat besar UTM sebahagian daripada tugas dan amanah setiap staf, agar tugas yang dilaksanakan bukan sekadar rutin, sebaliknya turut menjadi sumbangan kepada masa depan universiti.
UTM ASCEND 2030 merupakan kompas strategik untuk membawa UTM ke tahap kecemerlangan yang lebih tinggi dalam bidang pendidikan, penyelidikan, pembangunan bakat, kelestarian, inovasi dan kemanusiaan. Aspirasi ini menuntut pentadbir untuk terus berkembang, daripada sekadar pelaksana prosedur kepada pemudah cara, penghubung, penyelesai masalah, pencetus inovasi dan pemacu perubahan.
Sehubungan itu, profesionalisme tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah tugasan yang diselesaikan semata-mata, tetapi turut mengambil kira nilai dan impak yang dihasilkan. Pentadbir perlu memahami bukan sahaja apa yang perlu dilakukan, tetapi juga mengapa sesuatu tindakan itu perlu dilaksanakan.
Adab bukan sekadar sopan santun. Ia merangkumi kemampuan memahami tanggungjawab, menghormati ilmu dan manusia, mengenali kedudukan sesuatu perkara serta membuat pertimbangan yang tepat.
Bagi seorang pentadbir, adab terserlah melalui cara kita menggunakan kuasa, membuat keputusan, melayani manusia dan mengurus amanah, termasuk pada waktu tiada siapa yang memerhati. Dalam menghadapi perbezaan pandangan, tekanan kerja, konflik kepentingan dan keputusan yang sukar, profesionalisme sebenar memerlukan bukan sahaja kecekapan teknikal, tetapi juga kebijaksanaan, empati dan pertimbangan moral.
Profesionalisme tanpa adab mungkin menghasilkan kecekapan, namun belum tentu melahirkan kebaikan. Sebaliknya, profesionalisme yang berteraskan adab lebih berpotensi melahirkan pentadbir yang cekap, berintegriti, prihatin dan bertanggungjawab.
Nilai teras UTM, iaitu Integriti, Sinergi, Kecemerlangan dan Kelestarian (ISES), perlu dihayati sebagai amalan, bukan sekadar slogan. Pada pandangan saya, adab ialah akar yang menghidupkan nilai-nilai tersebut.
Adab melahirkan integriti kerana amanah dilaksanakan dengan jujur walaupun tiada siapa memerhati. Adab turut membina sinergi kerana ia mengajar kita menghormati kepakaran orang lain, di samping mendorong kecemerlangan menerusi usaha berterusan memperbaiki diri, proses dan hasil kerja. Pada akhirnya, adab jugalah yang membentuk kelestarian kerana ia mengajar kita melihat sumber, manusia dan institusi sebagai amanah untuk generasi akan datang. Dengan kata lain, daripada adab lahirlah integriti, yang seterusnya membina sinergi, mendorong kecemerlangan dan akhirnya menghasilkan kelestarian.
Kepada generasi pentadbir muda, saya ingin berkongsi satu perkara yang saya pelajari sepanjang tempoh perkhidmatan, iaitu ilmu menjadikan kita kompeten, tetapi adab yang menentukan bagaimana kompetensi itu digunakan.
Kuasailah bidang masing-masing, fahami dasar, manfaatkan teknologi dan data, tingkatkan kemahiran komunikasi serta bina jaringan profesional yang luas. Namun, jangan sesekali meninggalkan adab. Beranilah bertanya, hormatilah pengalaman, dengarlah pandangan yang berbeza dan gunakan jawatan untuk membantu, bukan untuk merendahkan orang lain.
Dalam dunia kerja yang semakin kompleks, pentadbir juga perlu membina keupayaan belajar sepanjang hayat menerusi pembelajaran berterusan, refleksi diri dan kesediaan menerima teguran.
ASCEND 2030 menuntut kita melihat UTM sebagai satu ekosistem, bukan sekadar himpunan jabatan yang terpisah. Isu pelajar, kepuasan pelanggan, pendigitalan, kelestarian dan reputasi universiti merupakan tanggungjawab bersama. Justeru, kita perlu beralih daripada pemikiran “ini tugas saya” kepada “bagaimana saya boleh membantu universiti?”.
Dalam era kecerdasan buatan (AI), peralihan pemikiran ini menjadi lebih penting. AI mampu menghasilkan teks, menganalisis data dan mempercepatkan pelbagai proses kerja, namun manusia tetap bertanggungjawab memastikan penggunaannya dilaksanakan secara benar, adil, telus, selamat dan beretika. Semakin canggih sesuatu teknologi, semakin penting adab sebagai panduan penggunaannya. Hal ini turut selari dengan falsafah UTM, “Kerana Tuhan untuk Manusia”, yang meletakkan ilmu dan teknologi dalam kerangka memberi manfaat kepada manusia serta kesejahteraan sejagat.
Generasi senior mempunyai tanggungjawab mewariskan bukan sahaja prosedur, sistem dan dokumen, tetapi juga nilai serta pertimbangan yang membentuk budaya kerja. Pada masa yang sama, generasi muda perlu diberikan ruang untuk mencuba pendekatan baharu.
Justeru, eloklah kita tidak sekadar berkata “dahulu kami buat begini”, sebaliknya bertanya “apakah yang boleh kita lakukan dengan lebih baik sekarang?”. Apabila pengalaman bertemu dengan inovasi, dan kedua-duanya dipandu oleh adab, perubahan yang lebih bermakna dapat dilahirkan.
Lebih 25 tahun berkhidmat di UTM mengajar saya bahawa bekerja di universiti bukan sekadar memenuhi tanggungjawab pekerjaan, sebaliknya merupakan amanah kepada universiti, rakan sekerja, mahasiswa, masyarakat dan generasi akan datang.
Jika kita benar-benar mahu menyulam aspirasi dan menjulang profesionalisme pentadbir menuju UTM ASCEND 2030, kita perlu bermula dengan asas yang paling penting, iaitu adab. Adab memandu ilmu, membentuk integriti, menghidupkan sinergi, mendorong kecemerlangan dan mengajar kita menghargai kelestarian. ASCEND 2030 bukan sekadar tentang ke mana UTM mahu pergi, tetapi juga bagaimana kita memilih untuk sampai ke sana.
Sekiranya perjalanan itu dipandu oleh ilmu, diperkukuh oleh profesionalisme dan berakar pada adab, kita bukan sahaja bakal mencapai sasaran 2030, malah turut akan meninggalkan sebuah UTM yang lebih cemerlang, lebih manusiawi dan lebih beradab untuk generasi akan datang.
Oleh Khairull Azmi Ishak, Timbalan Pendaftar Fakulti Sains UTM