📝 Ringkasan
UTM Staff Games 2026 telah berjaya menghimpunkan lebih 3,000 warga universiti dalam usaha memperkukuh budaya hidup sihat, semangat kesukanan serta perpaduan dalam kalangan warga UTM. Kejohanan tersebut bukan sahaja platform pertandingan sukan, malah menjadi medium terbaik dalam memperkukuh kesejahteraan warga universiti melalui penerapan nilai perpaduan, kerjasama dan kepimpinan. Jabatan Pendaftar telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan selepas mengumpul lapan pingat emas, enam pingat perak dan empat pingat gangsa.
JOHOR BAHRU, 19 Julai – Kejohanan UTM Staff Games (USG) 2026 melabuhkan tirainya dengan penuh gilang-gemilang menerusi Majlis Penutupan yang berlangsung di Sports Hall 1, Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Kejohanan selama sembilan hari itu berjaya menghimpunkan lebih 3,000 warga universiti daripada pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) dan kontinjen dalam usaha memperkukuh budaya hidup sihat, semangat kesukanan serta perpaduan dalam kalangan warga UTM.
Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar, yang turut menyampaikan hadiah kepada para juara bagi 19 acara sukan yang dipertandingkan, termasuk piala Juara Keseluruhan UTM Staff Games 2026.
Dalam ucapan penutupnya, beliau berkata kejohanan tersebut bukan sekadar platform pertandingan sukan, malah menjadi medium terbaik dalam memperkukuh kesejahteraan warga universiti melalui penerapan nilai perpaduan, kerjasama dan kepimpinan.
“UTM Staff Games 2026 bukan sahaja menguji kekuatan fizikal dan mental, malah memperlihatkan semangat kesukanan, perpaduan dan jati diri unggul warga UTM. Lebih daripada sekadar kejohanan, ia telah memupuk nilai kerjasama, kepimpinan dan persahabatan yang akan terus mekar dalam diri setiap kontinjen,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua atlet, pengurus pasukan, jurulatih, pegawai teknikal, urus setia, sukarelawan serta seluruh jawatankuasa penganjur atas komitmen tinggi dalam memastikan kejohanan berlangsung dengan lancar.
Penghargaan turut dizahirkan kepada Jabatan Keselamatan UTM, Pusat Kesihatan Universiti (PKU), Bahagian Pengurusan Aset (BPA) serta semua pihak yang memberikan sokongan dari aspek keselamatan, logistik dan pengurusan sepanjang kejohanan.
Persaingan merebut gelaran Juara Keseluruhan USG 2026 berlangsung sengit sehingga hari terakhir. Jabatan Pendaftar muncul sebagai juara keseluruhan selepas mengumpul lapan pingat emas, enam pingat perak dan empat pingat gangsa, menjadikan jumlah keseluruhan 18 pingat.
Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) (JTNCP) pula menduduki tempat kedua selepas turut meraih lapan pingat emas, namun berada di belakang berdasarkan kutipan satu pingat perak dan sembilan pingat gangsa. Tempat ketiga menjadi milik Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan (SPACE) dengan kutipan tiga pingat emas, enam pingat perak dan dua pingat gangsa.
Sementara itu, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) (JTNCPI) menduduki tempat keempat dengan kutipan tiga pingat emas, empat pingat perak dan tiga pingat gangsa, manakala UTM Kuala Lumpur melengkapkan kelompok lima terbaik dengan tiga pingat emas, tiga pingat perak dan sembilan pingat gangsa. Keputusan tersebut mencerminkan persaingan yang seimbang dan kompetitif antara jabatan, fakulti dan PTJ sepanjang kejohanan.




Menurut beliau lagi, setiap kemenangan yang diraih merupakan hasil usaha gigih dan dedikasi para peserta, manakala mereka yang belum berjaya disaran supaya terus meningkatkan prestasi serta menjadikan pengalaman sepanjang kejohanan sebagai motivasi untuk mencapai kecemerlangan pada masa hadapan.
“Kalah dan menang adalah adat pertandingan. Namun dalam semangat UTM, setiap peluh yang menitis dan setiap usaha yang dicurahkan adalah kemenangan yang sebenar,” katanya.
Beliau turut berharap agar lebih ramai warga UTM akan terus mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat serta mengambil bahagian dalam kejohanan seperti ini pada masa akan datang.
Sepanjang sembilan hari penganjuran, sebanyak 19 acara sukan telah dipertandingkan dengan penyertaan lebih 3,000 warga UTM yang mewakili pelbagai PTJ dan kontinjen. Kejohanan ini bukan sahaja menyaksikan persaingan yang sihat dan kompetitif, malah berjaya mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan warga universiti.
Majlis penutupan turut diserikan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang setiap acara, penyampaian cenderamata kepada tetamu kehormat serta wakil kontinjen, diikuti nyanyian lagu Keunggulan Terbilang sebelum diakhiri dengan jamuan sebagai simbolik penutup rasmi UTM Staff Games 2026.
Penganjuran UTM Staff Games 2026 membuktikan komitmen berterusan universiti dalam membudayakan gaya hidup sihat, memperkasa kesejahteraan warga kerja dan memperkukuh semangat kebersamaan. Inisiatif ini selaras dengan aspirasi UTM untuk melahirkan komuniti universiti yang holistik, seimbang dan berdaya saing melalui pembudayaan sukan serta amalan hidup sihat.