📝 Ringkasan
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadur melawat Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam Program Semarak Kampus. Lawatan dua hari itu menekankan pembudayaan ilmu, kesejahteraan warga kampus dan pembangunan infrastruktur universiti. Menteri Pendidikan Tinggi turut menyertai aktiviti gaya hidup sihat dan lawatan ke beberapa fasiliti usang di kampus. Program itu mencerminkan komitmen Kementerian Pendidikan Tinggi dalam mendekati warga kampus dan memahami isu serta cabaran yang dihadapi di peringkat akar umbi.
JOHOR BAHRU, 3 Julai – Program Semarak Kampus Menteri Pendidikan Tinggi ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini berlangsung dalam suasana mesra dan penuh makna menerusi pelbagai pengisian yang menekankan pembudayaan ilmu, kesejahteraan warga kampus, serta keprihatinan terhadap pembangunan infrastruktur universiti.
Program dua hari yang bermula pada 2 Julai 2026 itu dibuka dengan sesi santai dan ramah mesra bersama barisan kepimpinan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), pengurusan universiti, staf serta pelajar. Suasana terbuka dan interaktif sepanjang sesi tersebut memberi ruang kepada warga kampus untuk berkongsi pandangan, mengemukakan cadangan, serta menyuarakan aspirasi berkaitan ekosistem pendidikan tinggi negara.
Pendekatan santai dan inklusif yang dibawa oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir turut mencerminkan komitmen pihak KPT dalam mendekati warga kampus dan memahami isu serta cabaran yang dihadapi di peringkat akar umbi.





Program pada hari kedua pula dimulakan seawal pagi dengan Semarak Subuh dan Sesi Telaah bersama Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry, yang menghimpunkan warga kampus dalam suasana penghayatan ilmu dan pengukuhan nilai spiritual. Sesi ini turut menjadi wadah untuk memupuk budaya ilmu menerusi aktiviti pembacaan, selaras dengan aspirasi universiti melahirkan graduan holistik dan berdaya saing.


Sejurus selepas itu, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry bersama barisan kepimpinan KPT dan warga kampus menyertai program UTM Sihat & Lestari Perdana yang menampilkan aktiviti gaya hidup sihat menerusi sesi briskwalk ke Balai Cerapan. Program ini mencerminkan komitmen universiti dalam membudayakan amalan hidup sihat serta kesejahteraan menyeluruh dalam kalangan warga kampus, di samping mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara KPT, pengurusan, staf dan pelajar.


Dalam lawatan yang sama, delegasi Menteri turut meninjau beberapa fasiliti usang di kampus bagi menilai sendiri keadaan semasa infrastruktur yang memerlukan penambahbaikan. Lawatan ini memperlihatkan keprihatinan KPT terhadap keperluan menyediakan persekitaran pembelajaran dan penyelidikan yang kondusif, selamat, serta selari dengan perkembangan semasa pendidikan tinggi.


Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, menzahirkan penghargaan atas kesudian Menteri Pendidikan Tinggi meluangkan masa mengunjungi UTM serta turut serta secara langsung dalam pelbagai aktiviti bersama warga kampus.
“Kami amat berbesar hati dan berterima kasih atas kesudian YB Menteri Pendidikan Tinggi meluangkan masa walaupun berjadual padat untuk berkunjung ke UTM dan bersama-sama warga kampus sepanjang program dua hari ini. Kehadiran beliau bukan sahaja satu penghormatan besar buat UTM, malah turut menyuntik semangat baharu kepada seluruh warga kampus,” ujar beliau.
Menurut Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry, program seumpama ini turut memberi ruang kepada pihak pengurusan universiti untuk berkongsi hala tuju dan aspirasi UTM secara lebih dekat dengan kepimpinan di peringkat kementerian.
“Program Semarak Kampus ini amat signifikan buat UTM kerana ia bukan sekadar lawatan formal, tetapi peluang keemasan untuk kami berkongsi hala tuju universiti secara terus dengan kepimpinan tertinggi KPT, sekali gus mengukuhkan sinergi antara UTM dengan kementerian dalam merealisasikan aspirasi pendidikan tinggi negara,” ujarnya.

Program Semarak Kampus Menteri Pendidikan Tinggi ini bukan sahaja memperkukuh hubungan strategik antara KPT dan UTM, malah mencerminkan komitmen bersama dalam memastikan universiti terus menjadi institusi unggul dalam melahirkan bakat masa hadapan, memacu kecemerlangan ilmu, serta menyediakan persekitaran kampus yang mampan dan sejahtera.
Selaras dengan falsafah “Kerana Tuhan Untuk Manusia“, UTM akan terus komited memperkasa budaya ilmu, kesejahteraan warga, dan pembangunan kampus yang berdaya huni demi manfaat masyarakat dan negara.