📝 Ringkasan
UTM Kuala Lumpur telah menganjurkan Career Nexus UTM Kuala Lumpur 2026, sebuah platform yang menghimpunkan mahasiswa, graduan dan majikan bagi memperkukuh kebolehpasaran graduan. Program ini telah menghimpunkan lebih 30 syarikat dan menawarkan lebih 1,000 peluang kerjaya. Kerjasama dengan Sparkup Asia telah berjaya menghimpunkan pelbagai syarikat untuk menyertai program ini. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Kampus UTM Kuala Lumpur, Prof. Dr. Fauziah Sh. Ahmad, yang menegaskan komitmen universiti dalam melahirkan graduan yang kompeten dan berdaya saing. Program ini juga menampilkan pelbagai pengisian berimpak tinggi, termasuk ceramah kerjaya, sesi perkongsian bersama industri, semakan resume, konsultasi kerjaya serta sesi jaringan profesional.
KUALA LUMPUR, 15 Julai – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur menerusi Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), dengan kerjasama strategik Sparkup Asia, berjaya menganjurkan Career Nexus UTM Kuala Lumpur 2026, sebuah platform yang menghimpunkan mahasiswa, graduan dan majikan bagi memperkukuh kebolehpasaran graduan serta memenuhi keperluan bakat industri.
Program yang berlangsung di Grand Banquet Hall, Aras 6, UTM Hotel & Residence Kuala Lumpur itu menghimpunkan lebih 30 syarikat daripada pelbagai sektor, termasuk syarikat multinasional, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), perusahaan tempatan dan syarikat teknologi. Sepanjang program, lebih 1,000 peluang kerjaya ditawarkan merangkumi jawatan sepenuh masa, program siswazah serta latihan industri.
Kerjasama bersama Sparkup Asia sebagai rakan strategik berjaya menghimpunkan pelbagai syarikat untuk menyertai Career Nexus UTM Kuala Lumpur 2026, sekali gus mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam merapatkan hubungan antara institusi pendidikan tinggi dan industri bagi memperluas akses kepada peluang kerjaya untuk mahasiswa serta graduan.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Kampus UTM Kuala Lumpur, Prof. Dr. Fauziah Sh. Ahmad, yang menegaskan komitmen universiti dalam melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing dan bersedia memenuhi keperluan industri yang sentiasa berkembang.

Selain pameran kerjaya, Career Nexus UTM Kuala Lumpur 2026 turut menampilkan pelbagai pengisian berimpak tinggi, termasuk ceramah kerjaya, sesi perkongsian bersama industri, semakan resume, konsultasi kerjaya serta sesi jaringan profesional.
Pengisian tersebut memberi peluang kepada peserta meningkatkan pemahaman mengenai kehendak pasaran kerja, memperkukuh kemahiran insaniah serta memperoleh pendedahan secara langsung daripada wakil industri berkaitan trend pekerjaan, kemahiran masa hadapan dan keperluan bakat yang semakin berkembang.
Di samping itu, program ini turut menyediakan ruang interaksi antara mahasiswa, graduan dan majikan, sekali gus membolehkan peserta mendapatkan maklumat secara terus mengenai peluang pekerjaan, laluan kerjaya serta kompetensi yang diperlukan dalam pelbagai sektor industri.

Penganjuran Career Nexus UTM Kuala Lumpur 2026 mencerminkan komitmen berterusan UTM dalam memperkasa agenda kebolehpasaran graduan melalui kerjasama erat dengan rakan industri. Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh ekosistem pembangunan bakat negara, malah membuka ruang kepada mahasiswa dan graduan untuk membina jaringan profesional, meneroka peluang kerjaya serta meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi dunia pekerjaan.

UTM komited untuk terus menjadikan Career Nexus sebagai platform strategik yang mengukuhkan sinergi antara akademia dan industri dalam melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan. Melalui kerjasama berterusan bersama Sparkup Asia serta rakan industri, inisiatif ini diyakini mampu membuka lebih banyak peluang kerjaya, memperluas jaringan profesional dan menyokong pembangunan bakat negara selaras dengan keperluan ekonomi masa hadapan.