AI sudah menguasai kerja – Siapa sebenarnya menggerakkan organisasi?

SDGSDG4SDG8SDG9SDG16

📝 Ringkasan

Teknologi kecerdasan buatan (AI) telah membawa perubahan besar dalam landskap pekerjaan global dengan mengautomatisasi tugasan rutin dan menganalisis data berskala besar. Namun, di sebalik kemajuan ini, timbul persoalan siapakah yang menggerakkan organisasi. Jawapannya masih kekal sama: manusia. Walaupun AI berupaya memproses maklumat dan menyokong keputusan, ia tidak mempunyai kebijaksanaan konteks, pertimbangan nilai, empati, dan kefahaman terhadap interaksi manusia dalam organisasi. Manusia teras utama dalam mana-mana institusi kerana ia tidak dapat digantikan oleh teknologi.

”Teknologi boleh mempercepatkan kerja, tetapi hanya manusia yang memberi arah, makna dan jiwa di sebaliknya.”

Kemunculan kecerdasan buatan (AI) telah membawa perubahan besar terhadap landskap pekerjaan global apabila hampir semua sektor kini melalui fasa transformasi digital yang pesat. AI bukan lagi sekadar alat sokongan operasi, malah menjadi komponen penting dalam ekosistem organisasi moden. Daripada mengautomasikan tugasan rutin hingga menganalisis data berskala besar, teknologi ini membantu meningkatkan kecekapan, mempercepatkan proses kerja dan menyokong pembuatan keputusan yang lebih berasaskan data.

Perubahan ini menandakan peralihan daripada pendekatan kerja konvensional kepada sistem yang lebih pintar dan berasaskan teknologi. Namun, di sebalik segala kemajuan tersebut, timbul satu persoalan penting: jika AI mampu melaksanakan pelbagai tugasan dengan lebih pantas dan tepat, siapakah sebenarnya yang menggerakkan organisasi?

Jawapannya masih kekal sama: manusia.

Walaupun AI berupaya memproses maklumat, menzahirkan cadangan dan menyokong keputusan, ia tidak mempunyai kebijaksanaan konteks, pertimbangan nilai, empati serta kefahaman terhadap interaksi manusia dalam organisasi. Tanpa manusia, ibarat jasad tanpa roh. Elemen inilah yang menjadikan manusia teras utama dalam mana-mana institusi kerana ia tidak dapat digantikan oleh teknologi, memandangkan ia lahir daripada pengalaman, emosi dan keinsanan yang membentuk cara manusia berfikir serta bertindak. Hakikatnya, tanpa manusia, organisasi hanya sekadar struktur yang tidak bernyawa.

Dalam era ini, kepimpinan organisasi turut mengalami perubahan besar. Pemimpin bukan lagi sekadar pembuat keputusan, tetapi juga penghubung antara teknologi dan manusia. Mereka perlu memahami bagaimana AI boleh digunakan secara strategik, sambil memastikan nilai kemanusiaan tidak terpinggir dalam setiap keputusan yang diambil. Namun, transformasi ini tidak hanya berlaku di peringkat kepimpinan. Warga kerja, khususnya staf pentadbiran dan sokongan, turut memainkan peranan yang semakin penting. AI mungkin mengambil alih sebahagian tugasan rutin, tetapi ia juga membuka ruang kepada staf untuk memberi tumpuan kepada kerja yang lebih bernilai tambah seperti penyelarasan strategik, komunikasi rentas jabatan dan pengurusan maklumat yang lebih kompleks.

Dalam konteks perubahan global yang semakin pantas, Perdana Menteri Malaysia turut menegaskan kepentingan kesediaan untuk berubah dalam menghadapi perkembangan teknologi dan cabaran baharu. Memetik kenyataan beliau, “kita tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian semasa. Dunia sedang berubah dengan pantas melalui kecerdasan buatan, ekonomi digital, teknologi baharu dan cabaran geopolitik yang semakin kompleks. Justeru seluruh pasukan penjawat awam mesti mempunyai ‘propensity to change’, yakni kesediaan untuk berubah, menyesuaikan diri dengan tuntutan baharu dan terus meningkatkan keupayaan.”

“Apabila teknologi mengambil alih kerja rutin, manusia bergerak ke arah kerja yang memerlukan kebijaksanaan dan pertimbangan.”

Dalam konteks pentadbiran universiti, perubahan ini dapat dilihat melalui penggunaan sistem digital dan alatan pintar yang membantu mempercepatkan pelaksanaan tugasan harian. AI kini berpotensi menyokong penyediaan laporan, pengurusan maklumat, analisis data serta penyelarasan operasi yang lebih cekap. Pada masa yang sama, penglibatan staf dalam pelbagai peranan seperti sekretariat, pengurusan program dan kumpulan pemikir memperkukuh kemahiran rentas bidang, termasuk komunikasi profesional, penyelesaian masalah serta kefahaman terhadap tadbir urus organisasi.

Di sebalik peranan rasmi tersebut, staf pelaksana di belakang tabir juga sering terlibat secara langsung dalam memastikan kelancaran operasi harian organisasi. Dalam situasi tertentu, teknologi termasuk AI turut berperanan sebagai sokongan tambahan, khususnya apabila tugasan perlu dilaksanakan secara kendiri atau dalam keadaan kekangan sumber manusia, sekali gus membantu mempercepatkan proses kerja dan membuat keputusan awal secara lebih efisien. Ini menunjukkan bahawa AI bukan menggantikan manusia, tetapi mengubah bentuk sumbangan manusia dalam organisasi. Perkara ini turut disokong oleh kajian global Workday, Inc. yang melaporkan bahawa 74 peratus pekerja di Malaysia selesa menggunakan AI sebagai rakan kerja. Namun begitu, hanya 23 peratus kesanggupan berada di bawah seliaan teknologi berkenaan. Dapatan ini jelas menunjukkan bahawa walaupun AI diterima secara meluas sebagai alat sokongan kerja, manusia masih tidak bersedia untuk meletakkan teknologi sebagai pemimpin utama dalam struktur kerja.

Sesungguhnya, AI mungkin mengubah cara kita bekerja, tetapi manusia tetap menentukan hala tuju, makna dan nilai di sebalik setiap keputusan. Dalam dunia yang semakin dipacu oleh teknologi, keseimbangan antara inovasi digital dan kebijaksanaan manusia menjadi asas kepada organisasi yang mampan, beretika dan berdaya tahan. Teknologi akan terus berkembang, namun manusialah yang memastikan setiap kemajuan dimanfaatkan untuk kepentingan masyarakat dan masa hadapan yang lebih baik.

 

 

Oleh Sarra Aida Romli, Pembantu Setiausaha Pejabat / Sekretariat Majlis Profesor Universiti Teknologi Malaysia

Explore More

UTM Open Day