UTM Cipta Sejarah di Pentas Global, Lima SDG Tersenarai dalam Kelompok 100 Terbaik Dunia

SDGSDG7SDG9SDG11SDG13SDG17

📝 Ringkasan

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencatat pencapaian membanggakan dalam Times Higher Education (THE) Sustainability Impact Ratings 2026 dengan lima Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDGs) tersenarai dalam kelompok 100 terbaik dunia. UTM menduduki kedudukan kesembilan dunia dalam SDG 7 (Affordable and Clean Energy) dan ke-19 dunia dalam SDG 13 (Climate Action). Pencapaian ini mencerminkan komitmen UTM dalam memacu penyelidikan, inovasi dan pembangunan lestari yang memberi impak nyata kepada masyarakat dan dunia.

JOHOR BAHRU, 24 Jun – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sekali lagi membuktikan keupayaannya sebagai institusi pendidikan tinggi bertaraf dunia apabila mencatat pencapaian membanggakan dalam Times Higher Education (THE) Sustainability Impact Ratings 2026, dengan lima Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Sustainable Development Goals (SDGs) tersenarai dalam kelompok 100 terbaik dunia.

Kejayaan tersebut bukan sekadar angka dalam penarafan antarabangsa, malah menjadi manifestasi komitmen berterusan universiti itu dalam memacu penyelidikan, inovasi dan pembangunan lestari yang memberi impak nyata kepada masyarakat serta dunia.

Sorotan paling mencuri perhatian tahun ini ialah pencapaian cemerlang UTM dalam SDG 7 (Affordable and Clean Energy), apabila universiti itu berjaya menduduki kedudukan kesembilan dunia, sekali gus meletakkan UTM dalam kelompok 10 universiti terbaik dunia bagi matlamat pembangunan mampan tersebut.

Pencapaian itu merupakan kedudukan tertinggi pernah dicapai UTM dalam sejarah penyertaannya dalam THE Sustainability Impact Ratings dan mencerminkan kekuatan universiti dalam menerajui bidang tenaga bersih, teknologi hijau serta penyelesaian inovatif bagi menangani cabaran tenaga masa depan.

Di sebalik pencapaian tersebut, pelbagai usaha penyelidikan dan inovasi yang diterajui para akademik, penyelidik serta pelajar UTM terus memainkan peranan penting dalam menghasilkan teknologi dan penyelesaian mampan yang mampu menyokong agenda pembangunan negara dan global.

UTM turut menunjukkan prestasi yang amat memberangsangkan dalam SDG 13 (Climate Action) apabila menduduki kedudukan ke-19 dunia, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai institusi yang aktif menangani isu perubahan iklim melalui penyelidikan berimpak tinggi, pembangunan teknologi rendah karbon serta pelaksanaan pelbagai inisiatif kelestarian kampus dan komuniti.

Dalam masa yang sama, kekuatan UTM dalam aspek pembangunan bandar mampan dan inovasi teknologi turut terserlah apabila SDG 11 (Sustainable Cities and Communities) berada pada kedudukan bersama ke-59 dunia, manakala SDG 9 (Industry, Innovation and Infrastructure) menduduki tempat ke-73 dunia. Pencapaian ini menggambarkan peranan aktif universiti dalam menyumbang kepada pembangunan bandar pintar, infrastruktur mampan dan kemajuan teknologi yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Turut membanggakan ialah pencapaian SDG 17 (Partnerships for the Goals) yang berada pada kedudukan ke-77 dunia. Pengiktirafan ini mencerminkan kejayaan UTM membina jaringan kerjasama strategik yang kukuh bersama agensi kerajaan, industri, komuniti serta institusi antarabangsa dalam memperkasakan agenda pembangunan mampan.

Dengan lima SDG berada dalam kelompok 100 terbaik dunia, UTM kini muncul sebagai antara universiti yang paling menyerlah di peringkat global dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Pencapaian tersebut sekali gus memperkukuhkan kedudukan universiti sebagai institusi pendidikan tinggi yang bukan sahaja unggul dalam akademik dan penyelidikan, malah memberi impak signifikan terhadap pembangunan lestari di peringkat nasional dan antarabangsa.

Lebih istimewa, keputusan THE Sustainability Impact Ratings 2026 turut mencatatkan prestasi keseluruhan terbaik sepanjang sejarah penyertaan UTM dalam penarafan berprestij itu. Kejayaan tersebut merupakan hasil peningkatan prestasi yang konsisten sejak beberapa tahun lalu, didorong oleh pelaksanaan strategi universiti yang berfokus kepada kecemerlangan akademik, penyelidikan, inovasi, kelestarian dan keterlibatan masyarakat.

Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, berkata pencapaian bersejarah itu mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam mengintegrasikan prinsip kelestarian merentasi seluruh ekosistem akademik, penyelidikan, inovasi dan pemindahan ilmu kepada masyarakat.

Beliau berkata, kejayaan menempatkan lima SDG dalam kelompok 100 terbaik dunia, termasuk kedudukan kesembilan dunia bagi SDG 7, membuktikan bahawa usaha yang digerakkan oleh warga universiti selama ini bukan sahaja memberi manfaat kepada negara, malah mendapat pengiktirafan pada peringkat antarabangsa.

“Pencapaian ini menunjukkan bahawa UTM bukan sekadar menghasilkan ilmu dan teknologi, tetapi turut memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan yang lebih lestari untuk masyarakat sejagat. Kedudukan dalam kelompok universiti terbaik dunia bagi beberapa SDG utama membuktikan keupayaan penyelidik, akademik, pelajar dan seluruh warga universiti dalam menterjemahkan penyelidikan serta inovasi kepada impak yang boleh dirasai oleh komuniti dan industri,” katanya.

Menurut beliau, pengiktirafan global tersebut menjadi pemangkin kepada UTM untuk terus memperkukuh agenda kelestarian selaras dengan aspirasi UTM ASCEND 2030, di samping memperluas jaringan kerjasama strategik bersama pelbagai pihak di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Ke hadapan, UTM akan terus mempergiat usaha memperkasakan penyelidikan berimpak tinggi, memperluas inovasi teknologi hijau serta memperkukuh kerjasama rentas sektor dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Kejayaan ini adalah milik seluruh warga UTM dan rakan strategik yang sentiasa bersama-sama merealisasikan aspirasi universiti sebagai institusi terkemuka dunia yang memacu inovasi dan kelestarian untuk kesejahteraan sejagat,” katanya.

Pencapaian bersejarah ini turut mencerminkan usaha kolektif seluruh warga universiti yang sentiasa komited menjayakan agenda kelestarian dalam setiap aspek operasi, penyelidikan dan pembelajaran. Sokongan rakan strategik, industri, komuniti dan pelbagai pemegang taruh juga menjadi antara faktor penting yang membantu UTM mencapai pengiktirafan global ini.

Ketika dunia berdepan pelbagai cabaran berkaitan perubahan iklim, keselamatan tenaga dan pembangunan mampan, kejayaan UTM dalam THE Sustainability Impact Ratings 2026 membuktikan bahawa universiti tempatan mampu berdiri sebaris dengan institusi terbaik dunia, sekali gus memperkukuhkan peranannya sebagai peneraju ilmu, inovasi dan penyelesaian lestari untuk kesejahteraan sejagat.

 

Explore More

UTM Open Day