📝 Ringkasan
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengadakan pertemuan bersama Green Manager dan Green Champion sebagai persediaan pelaksanaan projek Green Building Index (GBI) di Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim yang dijadualkan bermula Julai ini. Inisiatif ini bertujuan memupuk perubahan sikap dan pembudayaan amalan hijau dalam kalangan warga kampus bagi mencapai pengurusan bangunan yang cekap tenaga serta mesra alam. Projek ini dijangka memberikan impak signifikan melalui penjimatan sumber universiti yang kemudiannya boleh dimanfaatkan untuk pembangunan modal insan dan program kebajikan staf.
JOHOR BAHRU, 26 Jun – Kejayaan sesebuah agenda kelestarian bukan sekadar bersandarkan kepada polisi bertulis atau penyediaan infrastruktur semata-mata. Sebaliknya, ia menuntut perubahan sikap yang menyeluruh dan anjakan paradigma dalam kalangan staf di semua peringkat jawatan, tanpa mengira latar belakang tugas.
Pembudayaan amalan hijau yang jitu amat kritikal bagi memastikan kelestarian dapat diintegrasikan dalam gerak kerja seharian.
“Apabila setiap warga kampus mempunyai kesedaran yang tinggi dan rasa kebersamaan, praktis kelestarian ini akan dapat dilaksanakan secara mudah, santai dan tanpa sebarang masalah atau kekangan. Kita mahu amalan ini menjadi sebahagian daripada gaya hidup, bukannya satu bebanan,” ujar Pendaftar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah dalam ucapannya sempena pertemuan bersama Green Manager dan Green Champion di Dewan Senat Ainuddin Wahid, UTM Johor Bahru.
Perjumpaan tersebut dihadiri oleh seramai 30 orang Green Manager dan Green Champion yang bertindak sebagai penggerak utama di peringkat akar umbi. Kesemua mereka hadir mewakili fakulti serta Pusat Tanggungjawab (PTJ) masing-masing dari seluruh universiti, sekali gus mencerminkan kesepakatan warga UTM dalam menyokong hasrat institusi ke arah kampus hijau.

Dato’ Dr. Mohd Sharil turut menambah bahawa setiap kakitangan perlu menanam pemikiran positif bahawa amalan kelestarian yang dilaksanakan secara konsisten mampu menjimatkan sumber universiti dengan signifikan.
“Keberhasilan daripada penjimatan ini amat penting kerana ia akan membolehkan sumber yang dijimatkan digunakan untuk menjayakan agenda lain yang tidak kurang pentingnya.
“Sebagai contoh, wang yang dijimatkan hasil daripada pembayaran bil utiliti yang digunakan secara berhemah boleh dimanfaatkan untuk memperkasa aspek pembangunan sumber manusia yang mampu meningkatkan kompetensi staf dan program kebajikan warga kampus secara keseluruhannya,” katanya.

Turut hadir ialah Ahli Lembaga Pengurusan Universiti (LPU) UTM, Dato’ Ir. Mohammed Noor Abu Hassan dan Penolong Pendaftar Kanan Pusat Pelestarian Kampus UTM (UTMCCS), Kiflee Jimpi.
Pertemuan strategik ini diadakan sebagai langkah persediaan pelaksanaan Projek Green Building Index (GBI) yang dijadualkan bermula secara rasmi pada bulan Julai ini.

Projek ini akan dilaksanakan di Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim (BCSI) yang merupakan nadi pentadbiran utama di kampus UTM Johor Bahru. Pelaksanaan penarafan GBI di BCSI dijangka menjadi penanda aras baharu bagi pengurusan bangunan yang cekap tenaga, mesra alam dan mampan.
Melalui kerjasama antara pihak pengurusan universiti, Green Manager dan Green Champion, UTM menyasarkan projek ini bukan sahaja membuahkan pengiktirafan hijau, malah turut menyuntik semangat kepada warga universiti untuk terus memelihara alam sekitar demi generasi masa hadapan.
Inisiatif yang melibatkan pengurusan bangunan cekap tenaga menerusi penarafan GBI dan amalan kelestarian kampus di UTM ini merangkumi beberapa Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang saling berkait. Secara khususnya, ia selari dengan tiga SDG utama iaitu SDG 12 berkaitan Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab, SDG 11 berkaitan Bandar dan Komuniti yang Mampan dan SDG 7 berkaitan Tenaga Bersih dan Berpatutan.
Memandangkan dana hasil penjimatan tersebut disasarkan untuk membiayai pembangunan sumber manusia melalui latihan staf dan peningkatan kompetensi, inisiatif ini turut menyokong SDG 8 berkaitan Pekerjaan yang Baik dan Pertumbuhan Ekonomi melalui pemerkasaan modal insan secara dalaman.