Sesi Bersama Penolong Naib Canselor (Kualiti & Transformasi Digital) perkukuh hala tuju universiti

SDGSDG4SDG9SDG16

📝 Ringkasan

Sesi Bersama Penolong Naib Canselor (Kualiti dan Transformasi Digital) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berlangsung di Dewan Seminar, UTM Johor Bahru. Sesi itu bertujuan untuk berkongsi hala tuju strategik, pelan tindakan dan pencapaian Pejabat Kualiti dan Transformasi Digital (UTMDigital) sepanjang tempoh Januari hingga Mei 2026. Prof. Ts. Dr. Wan Mohd Nasir Wan Kadir, Penolong Naib Canselor (Kualiti dan Transformasi Digital) telah merakamkan penghargaan kepada semua pusat dan bahagian yang telah bersama-sama membangunkan Pelan Tindakan 2026 Pejabat Kualiti dan Transformasi Digital. Sesi itu juga menampilkan pembentangan daripada pengarah-pengarah pusat di bawah UTMDigital yang berkongsi perkembangan semasa serta perancangan masa hadapan bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan digital universiti.

JOHOR BAHRU, 8 Jun – Pejabat Kualiti dan Transformasi Digital (UTMDigital) telah menganjurkan Sesi Bersama Penolong Naib Canselor (Kualiti dan Transformasi Digital), Prof. Ts. Dr. Wan Mohd Nasir Wan Kadir, bertempat di Dewan Seminar, UTMDigital, UTM Johor Bahru.

Sesi yang turut disertai secara hibrid oleh seluruh warga kerja UTMDigital Johor Bahru dan Kuala Lumpur ini bertujuan berkongsi hala tuju strategik, pelan tindakan serta pencapaian yang telah direkodkan oleh pejabat baharu tersebut sepanjang tempoh Januari hingga Mei 2026.

Untuk makluman, Jabatan Perkhidmatan Digital telah melalui proses penstrukturan semula bermula Mac 2026 dan kini dikenali sebagai Pejabat Kualiti dan Transformasi Digital (UTMDigital) di bawah Jabatan Canseleri. Sehubungan itu, Sesi Bersama ini menjadi platform penting bagi menyelaras peranan, keutamaan serta fokus strategik organisasi dalam mendukung agenda transformasi digital universiti.

Prof. Ts. Dr. Wan Mohd Nasir Wan Kadir menyampaikan amanat kepada warga kerja UTMDigital dalam Sesi Bersama Penolong Naib Canselor (Kualiti dan Transformasi Digital)

Dalam amanatnya, Prof. Ts. Dr. Wan Mohd Nasir merakamkan penghargaan kepada semua pusat dan bahagian yang telah bersama-sama membangunkan Pelan Tindakan 2026 Pejabat Kualiti dan Transformasi Digital. Beliau turut menekankan kepentingan penjajaran inisiatif dan program kerja UTMDigital dengan aspirasi UTM ASCEND 2030, khususnya dalam menyokong pencapaian sasaran yang telah ditetapkan oleh universiti.

Sesi Bersama Penolong Naib Canselor dihadiri oleh keseluruhan staf Pejabat Kualiti dan Transformasi Digital di Dewan Seminar UTMDigital

Sesi tersebut turut menampilkan pembentangan daripada pengarah-pengarah pusat di bawah UTMDigital yang berkongsi perkembangan semasa serta perancangan masa hadapan bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan digital universiti. Antara yang terlibat ialah Pengarah Pusat Penyelesaian Digital, Mokhles Md Sawal; Pengarah Pusat Infrastruktur Digital, Nik Kamal Nik Izuddin; dan Pengarah Pusat Kualiti Digital, Hartini Darsono. Selain itu, beberapa ketua bahagian turut membentangkan perancangan strategik dan inisiatif yang akan dilaksanakan bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

Hartini Darsono membentangkan pelan tindakan Pusat Kualiti dan Transformasi Perkhidmatan dalam sesi pembentangan pengarah pusat

Antara perkara yang diketengahkan sepanjang sesi termasuk pengukuhan tadbir urus digital, pemantapan infrastruktur dan penyelesaian digital, peningkatan kualiti perkhidmatan serta pelaksanaan inisiatif transformasi yang memberi impak kepada warga universiti dan pemegang taruh.

Satu pengumuman penting turut dibuat dalam sesi tersebut apabila nama pendek rasmi bagi Pejabat Kualiti dan Transformasi Digital diputuskan untuk kekal menggunakan jenama “UTMDigital”. Keputusan ini dibuat bagi memastikan jenama yang telah dibangunkan dan dikenali secara meluas dapat terus diperkukuh, di samping mengekalkan kesinambungan identiti organisasi dalam menyokong agenda pendigitalan universiti.

Warga kerja Pejabat Kualiti dan Transformasi Digital bergambar kenangan bersama Prof. Ts. Dr. Wan Mohd Nasir Wan Kadir pada penghujung sesi

Sesi Bersama berakhir dengan sesi soal jawab dan perkongsian pandangan, mencerminkan komitmen seluruh warga UTMDigital untuk terus bergerak seiring dalam merealisasikan agenda transformasi digital serta kecemerlangan kualiti perkhidmatan Universiti Teknologi Malaysia.

Explore More

UTM Open Day