📝 Ringkasan
Ts. Dr. Hadafi Fitri Mohd Latip, seorang pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), telah mencapai kejayaan dalam Kejohanan Dunia Urutan 2026 di Filipina. Beliau telah dinobatkan sebagai Juara Kategori Juri dan juga dianugerahkan Diploma Instruktur WMF. Kejayaan ini membawa manfaat kepada UTM apabila universiti dianugerahkan status Ahli Rasmi Wakil Institusi Pendidikan WMF, mengukuhkan kedudukan UTM dalam bidang pendidikan terapi dan rehabilitasi di peringkat antarabangsa.
Ts. Dr. Hadafi Fitri Mohd Latip, Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), telah melakar pelbagai pencapaian membanggakan di peringkat antarabangsa melalui penglibatan aktif beliau dalam Kejohanan Dunia Urutan 2026 di Filipina anjuran Persekutuan Urut Dunia (World Massage Federation, WMF). Pencapaian ini turut membawa impak positif kepada UTM apabila universiti dianugerahkan status Ahli Rasmi Wakil Institusi Pendidikan WMF, sekali gus mengukuhkan kedudukan UTM dalam bidang pendidikan terapi dan rehabilitasi di peringkat antarabangsa.
Perjalanan Dr. Hadafi ke pentas antarabangsa bermula melalui penyertaan dalam Kejohanan Urut Eropah 2025 di Paris dan Kejohanan Urutan Dunia 2025 di Singapura. Kehadiran beliau dalam kejohanan berprestij tersebut memberi pendedahan berharga dalam usaha menimba ilmu, menguji keupayaan diri serta mempromosikan kepakaran Malaysia dalam bidang industri terapi dan rehabilitasi di peringkat global. Pengalaman yang diperoleh melalui penyertaan awal ini menjadi asas penting yang mempersiapkan beliau untuk mengambil peranan yang lebih besar pada peringkat seterusnya.
Berasaskan rekod dan pengalaman yang diperoleh, Dr. Hadafi dilantik sebagai juri pertandingan di Kejohanan Dunia Urutan 2026 di Filipina. Semasa kejohanan berlangsung, beliau turut memanfaatkan peluang untuk mengikuti kursus intensif Juri Antarabangsa WMF yang diadakan seiring dengan kejohanan tersebut. Melalui ketekunan dan penguasaan ilmu sains urutan yang mendalam, beliau berjaya melepasi segala kriteria yang ditetapkan, sekali gus layak bertugas secara rasmi sebagai juri bertauliah dalam mana-mana pertandingan Kejohanan Dunia Urutan pada masa hadapan. Tugas sebagai panel hakim di peringkat tertinggi ini menuntut tahap ketelitian, konsistensi penilaian dan profesionalisme yang tinggi, sesuatu yang berjaya dibuktikan oleh beliau sepanjang tempoh kejohanan berlangsung.
Kemuncak pengiktirafan tiba apabila Dr. Hadafi dinobatkan sebagai Juara Kategori Juri di penghujung Kejohanan Dunia Urutan 2026. Kejayaan ini bukan sahaja membuktikan ketepatan dan ketegasan beliau dalam menilai, malah turut membawa nama Malaysia sebagai salah satu pengadil yang diiktiraf dari rantau Asia Tenggara dalam arena pertandingan urutan peringkat dunia. Pengiktirafan sedemikian memberikan gambaran positif terhadap tahap kepakaran yang dimiliki oleh tenaga akademik Malaysia dalam bidang sains kesihatan, khususnya sub bidang terapi dan rehabilitasi.

Berikutan pencapaian tersebut, UTM turut mendapat manfaat secara institusi apabila dianugerahkan status Ahli Rasmi Wakil Institusi Pendidikan WMF. Pengiktirafan ini meletakkan fakulti dan program akademik UTM sebagai salah satu pusat rujukan yang diiktiraf oleh WMF dalam bidang pendidikan terapi urutan, sekali gus membuka peluang kerjasama strategik antara UTM dan badan urutan antarabangsa tersebut. Ia juga memperluas akses UTM kepada rangkaian global pengamal, penyelidik dan institusi pendidikan dalam bidang berkaitan di seluruh dunia.

Seterusnya, Dr. Hadafi mengemukakan permohonan kepada WMF untuk mendapatkan pengiktirafan Diploma Instruktur WMF. Melalui saringan yang ketat, penilaian klinikal dan syarat kompetensi bertaraf antarabangsa yang ditetapkan oleh WMF, beliau berjaya lulus dan dianugerahkan diploma pengajar bertauliah tersebut. Pengiktirafan Diploma Instruktur WMF ini membuktikan bahawa tahap penguasaan ilmu dalam bidang terapi urutan dalam kalangan akademik tempatan turut mampu memenuhi piawaian antarabangsa, sekali gus memperkukuh kelayakan beliau untuk terus menyumbang kepada pembangunan kurikulum dan latihan dalam bidang berkaitan di UTM.

Dr. Hadafi mula terlibat dalam bidang urutan sukan sejak zaman pengajian, sebelum bertugas selaku ketua juruterapi untuk pasukan Johor dalam Sukan Malaysia. Kini beliau meneruskan sumbangan dalam bidang tersebut menerusi aktiviti urutan sukan dan teknologi rehabilitasi di Makmal Hidroterapi UTM. Penglibatan beliau di peringkat antarabangsa turut membawa bersama identiti dan warisan budaya Malaysia, dengan pasukan terapis Malaysia semakin dikenali melalui keunikan elemen warisan seperti pemakaian tanjak, selempang, bengkung, bunga silat dan penggunaan herba tempatan dalam amalan terapi. Pendekatan ini memperlihatkan bagaimana seni terapi warisan tempatan dapat diketengahkan secara seiring dengan amalan sains terapi moden di pentas global, mencerminkan kesepaduan antara tradisi dan inovasi dalam bidang kesihatan.
Pencapaian Dr. Hadafi ini memberi impak positif kepada imej UTM di peringkat antarabangsa dalam bidang sains kesihatan. Kejayaan beliau memperlihatkan bahawa penguasaan ilmu yang mantap, komitmen terhadap pembangunan profesional berterusan serta dedikasi yang konsisten terhadap bidang kepakaran mampu membawa pengiktirafan yang bermakna di peringkat global. Bagi warga akademik dan pelajar UTM, perjalanan kerjaya Dr. Hadafi menjadi contoh nyata bahawa pembangunan kepakaran yang sistematik dan berterusan, bermula dari peringkat bawah sehinggalah ke pentas antarabangsa, merupakan satu proses yang memerlukan kesabaran, ilmu dan dedikasi yang tidak berbelah bahagi.