Ketenangan minda dan kesedaran diri teras kepimpinan berkesan dalam era moden

SDGSDG4SDG8SDG16

📝 Ringkasan

Pemimpin moden sering dihadapkan dengan tekanan prestasi tinggi dan cabaran kompleks, menyebabkan keletihan mental dan tekanan emosi. Buku “The Practice of Not Thinking” oleh Ryunosuke Koike menekankan pentingnya ketenangan minda dan kesedaran diri dalam kepimpinan berkesan. Konsep “tidak berfikir” tidak bermaksud berhenti berfikir, tetapi mengurangkan gangguan mental dan membina kesedaran diri yang lebih mendalam. Pemimpin yang memiliki ketenangan minda dapat membawa suasana yang lebih positif dan stabil kepada organisasi.

Dalam dunia organisasi moden yang semakin pantas dan kompleks, pemimpin sering dianggap perlu sentiasa berfikir, merancang, menganalisis dan bertindak dengan segera. Kepimpinan hari ini dikaitkan dengan keupayaan membuat keputusan pantas, mengurus pelbagai cabaran secara serentak serta memenuhi tekanan prestasi yang tinggi. Namun begitu, di sebalik budaya kerja yang terlalu menekankan produktiviti dan kepantasan, ramai pemimpin sebenarnya mengalami keletihan mental, tekanan emosi dan kesukaran untuk mengekalkan fokus serta keseimbangan diri. Dalam konteks ini, buku The Practice of Not Thinking oleh Ryunosuke Koike menawarkan satu perspektif yang menarik tentang bagaimana ketenangan minda dapat membantu membentuk kepimpinan yang lebih berkesan dan lestari.

Buku ini mengetengahkan satu konsep yang kelihatan paradoks dalam dunia moden, iaitu “tidak berfikir.” Namun, konsep tersebut bukan bermaksud seorang pemimpin perlu berhenti berfikir sepenuhnya, sebaliknya merujuk kepada usaha mengurangkan gangguan mental, mengawal pemikiran yang berlebihan dan membina kesedaran diri yang lebih mendalam. Dalam dunia kepimpinan, kejelasan pemikiran tidak semestinya datang daripada berfikir lebih banyak, tetapi daripada kemampuan untuk berfikir dengan lebih sedar, tenang dan teratur.

Kepimpinan bukan hanya berkaitan aspek kognitif atau intelektual, tetapi turut melibatkan emosi dan hubungan interpersonal. Keadaan mental seorang pemimpin sering mempengaruhi keseluruhan suasana organisasi. Pemimpin yang sentiasa berada dalam keadaan tertekan, tergesa-gesa dan terlalu sibuk berfikir cenderung berkomunikasi secara reaktif, kurang sabar dan mudah membuat keputusan berdasarkan emosi. Keadaan ini boleh menyebabkan ahli organisasi turut merasa tertekan dan tidak stabil. Sebaliknya, pemimpin yang memiliki ketenangan minda mampu membawa suasana yang lebih positif, stabil dan meyakinkan kepada organisasi.

Konsep ketenangan yang diketengahkan oleh Ryunosuke Koike sangat relevan dalam konteks kepimpinan masa kini. Ketenangan bukan bermaksud pasif atau tidak bertindak, tetapi merujuk kepada kemampuan untuk berhenti seketika sebelum memberi respons terhadap sesuatu situasi. Dalam organisasi, pemimpin yang mampu mendengar terlebih dahulu sebelum bertindak biasanya lebih bijaksana dalam membuat keputusan. Mereka tidak mudah dipengaruhi emosi atau tekanan semasa, sebaliknya memberi ruang untuk menilai keadaan secara lebih objektif dan strategik. Keupayaan berhenti seketika sebelum bertindak balas, “pause before reacting”, ini merupakan salah satu ciri penting pemimpin yang matang dan berkesan.

Salah satu cabaran utama dalam kepimpinan ialah kecenderungan untuk berfikir secara berlebihan. Pemimpin sering memikul tanggungjawab besar terhadap kejayaan organisasi sehingga menyebabkan mereka sentiasa memikirkan kemungkinan negatif, mengulang semula keputusan yang telah dibuat atau cuba mengawal semua perkara secara serentak. Walaupun sifat berhati-hati penting dalam pengurusan organisasi, pemikiran yang berlebihan boleh menyebabkan keletihan mental dan mengganggu kualiti dalam membuat keputusan. Pemimpin yang terlalu banyak berfikir juga cenderung menjadi kurang yakin dan sukar bertindak secara jelas dan tegas.

Dalam konteks pendidikan tinggi misalnya, pemimpin universiti dan institusi pendidikan perlu berhadapan dengan perubahan sistem pendidikan, perkembangan teknologi digital, cabaran kecerdasan buatan (AI) serta keperluan menjaga kesejahteraan pelajar dan staf. Jika pemimpin sentiasa berada dalam keadaan mental yang bercelaru, organisasi akan sukar berkembang secara positif. Oleh itu, kemampuan untuk mengurus minda dan mengekalkan ketenangan menjadi satu keperluan penting dalam memastikan keberkesanan kepimpinan akademik.

Buku ini turut menekankan amalan kesedaran penuh, mindfulness, dalam kehidupan harian. Ramai pemimpin bergerak dari satu mesyuarat ke mesyuarat lain tanpa benar-benar hadir secara mental dalam interaksi tersebut. Akibatnya, perhatian menjadi terpecah dan komunikasi menjadi kurang berkesan. Pemimpin yang mengamalkan kesedaran penuh akan lebih fokus ketika mendengar, lebih peka terhadap emosi orang lain dan lebih berhati-hati dalam memberi respons. Sikap ini membantu membina hubungan interpersonal yang lebih baik dan meningkatkan kepercayaan dalam organisasi.

Konsep menerima perubahan juga mempunyai kaitan rapat dengan kepimpinan yang berkesan. Organisasi sentiasa berubah akibat perkembangan teknologi, perubahan polisi dan tuntutan masyarakat. Pemimpin yang terlalu bergantung kepada cara tradisional atau takut terhadap perubahan biasanya sukar menyesuaikan diri. Sebaliknya, pemimpin yang memahami bahawa perubahan adalah sebahagian daripada kehidupan akan lebih fleksibel dan mampu bertindak secara lebih tenang apabila berdepan cabaran. Dalam dunia pendidikan khususnya, kemampuan menyesuaikan diri dengan perubahan amat penting untuk memastikan institusi terus relevan dan berdaya saing.

Satu lagi aspek penting yang diketengahkan dalam buku ini ialah kesedaran terhadap pernafasan, breath awareness. Walaupun kelihatan sederhana, kawalan pernafasan sebenarnya mempunyai kesan besar terhadap kestabilan emosi dan psikologi seorang pemimpin. Dalam situasi konflik atau tekanan tinggi, kemampuan untuk mengawal pernafasan membantu pemimpin mengekalkan ketenangan dan mengelakkan tindak balas yang impulsif. Nada suara yang tenang, bahasa tubuh yang stabil dan kemampuan mengawal emosi memberi keyakinan kepada ahli organisasi serta membantu mewujudkan suasana kerja yang lebih harmoni.

Buku ini juga menekankan kepentingan memerhati situasi tanpa terus menghukum. Dalam organisasi, pemimpin sering berhadapan dengan kesilapan, konflik atau prestasi kerja yang tidak memuaskan. Jika pemimpin terlalu cepat menghukum atau menyalahkan individu lain, budaya kerja yang negatif akan terbentuk. Sebaliknya, pemimpin yang mampu memerhati situasi secara objektif sebelum membuat penilaian akan lebih mudah mewujudkan budaya pembelajaran dan penambahbaikan dalam organisasi. Sikap ini juga membantu membina hubungan yang lebih positif antara pemimpin dan ahli organisasi.

Kesimpulannya, konsep yang diketengahkan dalam The Practice of Not Thinking memberikan satu pendekatan baharu dalam memahami kepimpinan moden. Dalam dunia yang terlalu sibuk dan dipenuhi gangguan mental, pemimpin perlu belajar mengurus minda, emosi dan perhatian mereka sendiri. Kepimpinan yang berkesan bukan hanya bergantung kepada kecerdasan intelektual atau kuasa membuat keputusan, tetapi juga kepada kemampuan untuk kekal tenang, hadir sepenuhnya dalam setiap situasi dan bertindak dengan kesedaran yang tinggi. Pemimpin yang mampu mengurus dunia dalaman mereka dengan baik akan lebih berupaya membentuk organisasi yang stabil, harmoni dan lestari untuk masa hadapan.

Explore More

UTM Open Day