Kawalan media sosial kanak-kanak demi lindungi masa depan generasi

SDGSDG3SDG4SDG16

📝 Ringkasan

Kawalan media sosial terhadap kanak-kanak amat penting bagi melindungi mereka daripada ancaman buli siber, pemangsa seksual, dan kandungan negatif yang boleh menjejaskan kesihatan mental serta akhlak. Usaha ini selaras dengan prinsip Islam untuk mencegah kemudaratan dan menuntut peranan aktif ibu bapa serta kerajaan dalam mendidik generasi muda tentang etika digital. Fokus utama langkah ini adalah untuk memastikan perkembangan akal dan sosial kanak-kanak terpelihara demi kesejahteraan masa depan negara.

Kanak-kanak ialah generasi yang menentukan masa depan negara. Perkembangan kesihatan mental dan emosi golongan ini perlu terus dipelihara bagi memastikan mereka mampu menyumbang secara positif kepada pembangunan dan kesejahteraan negara. Pendedahan berlebihan kepada media sosial boleh menyebabkan tekanan, kebimbangan, kemurungan serta ketagihan digital dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Pastinya keadaan ini tidak membawa kebaikan kepada mereka mahupun negara.

Seperti yang diketahui umum, kanak-kanak mudah menjadi sasaran penipuan, pemerdagangan manusia, pemangsa seksual dan kecurian identiti. Pada masa yang sama, media sosial hari ini mengandungi pelbagai kandungan yang tidak sesuai seperti keganasan, pornografi, perjudian serta budaya yang bercanggah dengan nilai agama dan budaya masyarakat negara ini.

Jika dilihat daripada peningkatan kes buli siber dan pelbagai bentuk jenayah lain yang melibatkan kanak-kanak, sesuatu yang lebih serius perlu dilakukan bagi memastikan mereka mempunyai lebih banyak masa untuk perkembangan akademik dan pembinaan kemahiran sosial secara bersemuka. Penggunaan media sosial secara berlebihan boleh mengganggu proses pembelajaran, budaya membaca serta penglibatan dalam aktiviti kokurikulum. Interaksi secara langsung bersama keluarga juga semakin berkurangan apabila kanak-kanak terlalu bergantung kepada peranti digital.

Semua ajaran yang berteraskan akal yang sihat, termasuk Islam, menekankan tanggungjawab melindungi kanak-kanak daripada perkara yang boleh memudaratkan akhlak dan pemikiran mereka. Langkah pencegahan sentiasa lebih baik daripada merawat kesan negatif yang timbul kemudian. Jika dalam bidang perubatan terdapat ungkapan “prevention is better than cure”, maka Islam melalui kaedah fiqh menawarkan prinsip:

“Mencegah kerosakan didahulukan daripada memperoleh manfaat.”
(درء المفاسد مقدم على جلب المصالح)

Kaedah fiqh yang dikenali sebagai Sadd al-Dhara’i’ (Menutup Jalan kepada Kemudaratan) ini amat sesuai dalam mempertimbangkan keseimbangan antara maslahah dan mafsadah/mudharah yang boleh timbul daripada penggunaan media sosial. Pendekatan ini bukanlah bermaksud media sosial dilarang sepenuhnya kepada kanak-kanak dan remaja. Sebaliknya, kaedah ini merupakan suatu asas yang kukuh dalam syariat Islam untuk menilai dan memilih sesuatu perkara serta telah terbukti praktikal dalam perkembangan fiqh Islam.

Justeru, isu mengehadkan atau menghalang pembukaan akaun media sosial oleh kanak-kanak bukanlah suatu cadangan yang tidak rasional atau bertujuan menafikan unsur-unsur positif media sosial kepada golongan tersebut. Sebaliknya, langkah ini boleh dilihat melalui beberapa prinsip utama dalam Islam, antaranya Prinsip Hifz al-‘Aql (Memelihara Akal). Prinsip ini merupakan salah satu objektif utama syariah (Maqasid al-Shariah) yang menjadi antara asas penting dalam pembangunan masyarakat Islam di Malaysia.

Pendedahan kanak-kanak kepada pelbagai gejala seperti yang dinyatakan sebelum ini dapat dikawal melalui sekatan terhadap penggunaan media sosial secara bebas tanpa kawalan. Langkah mengehadkan atau mengawal penggunaan media sosial oleh kanak-kanak adalah selaras dengan tujuan syariah untuk memelihara perkembangan akal dan kesejahteraan mereka.

Kanak-kanak yang masih belum matang juga mudah terpengaruh dengan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam. Oleh itu, Islam menegaskan bahawa menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk melindungi anak-anak daripada pengaruh yang boleh merosakkan agama dan akhlak mereka. Penegasan ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka…”
(Surah al-Tahrim: 6)

Menyedari kewajipan ini, ibu bapa mempunyai hak dan tanggungjawab (wilayah) ke atas anak-anak, khususnya dalam menguatkuasakan kawalan terhadap penggunaan media sosial. Justeru, kawalan tersebut merupakan sebahagian daripada amanah mendidik dan menjaga kebajikan anak-anak. Hal ini selaras dengan sabda Rasulullah SAW:

“Setiap kamu ialah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang orang yang berada di bawah jagaan kamu.”

Pihak kerajaan boleh melaksanakan sekatan ini secara lebih bijaksana melalui beberapa pendekatan seperti penetapan had umur yang bersesuaian, penggunaan kawalan ibu bapa (parental control), penetapan had masa penggunaan, pemantauan kandungan yang diakses serta pendidikan berkaitan adab digital dan etika Islam. Kesemua perkara ini boleh diperhalusi agar pelaksanaannya lebih berkesan dalam konteks negara ini.

Mungkin terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi bagi memastikan sekatan terhadap pembukaan akaun media sosial dapat dilaksanakan dengan berkesan. Antaranya ialah kemungkinan kanak-kanak menggunakan akaun milik ibu bapa atau memalsukan umur. Mereka juga mungkin beralih kepada platform lain yang kurang dikawal. Di samping itu, larangan tanpa disertai pendidikan yang sewajarnya boleh menimbulkan keinginan untuk mencuba secara rahsia.

Namun, apa yang lebih penting ialah sekatan bukan sekadar suatu bentuk penguatkuasaan peraturan, sebaliknya perlu disertai dengan tarbiah dan pembinaan kesedaran. Matlamat Islam bukan sekadar menghalang secara zahir, tetapi membentuk sifat muraqabah, iaitu kesedaran bahawa Allah SWT sentiasa mengawasi setiap perbuatan manusia, di samping memupuk disiplin diri. Keberkesanan usaha ini tidak boleh bergantung kepada teknologi semata-mata. Sebaliknya, kunci kejayaannya terletak pada gabungan kawalan yang berkesan, pendidikan digital, penglibatan aktif ibu bapa serta pembentukan nilai agama yang kukuh dalam diri setiap kanak-kanak.

 

 

Oleh Prof. Dr. Badlihisham Mohd Nasir, Exco Majlis Profesor UTM dan Profesor, Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH), Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Explore More

UTM Open Day