WANGI UTM raikan Sambutan Hari Ibu, hargai pengorbanan dan kekuatan staf wanita universiti

SDGSDG3SDG5SDG8

📝 Ringkasan

Program Sambutan Hari Ibu 2026 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya diadakan dengan tema “Seteguh KASIH Ibu”. Program ini bertujuan untuk menghargai jasa dan pengorbanan staf wanita yang bergelar ibu. Sebanyak 1,500 biji kek kecil telah diedarkan kepada staf wanita di sekitar kampus UTM sebagai tanda penghargaan. Program ini juga melibatkan 15 orang ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) wanita yang membantu Ahli Jawatankuasa WANGI dalam pengagihan kek kecil.

JOHOR BAHRU, 11 Mei – Wanita Teknologi (WANGI), Biro Wanita Badan Kebajikan Staf Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Program Sambutan Hari Ibu 2026 bertempat di perkarangan Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim bagi menghargai jasa dan pengorbanan staf wanita yang bergelar ibu. Program tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTM, Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah Mat Darus.

Bertemakan “Seteguh KASIH Ibu”, sambutan pada tahun ini dipilih bagi menzahirkan kekuatan, ketabahan dan pengorbanan seorang ibu, selain menggambarkan kasih sayang yang mendalam dalam membina keluarga dan bangsa. Ibu merupakan sumber kekuatan, inspirasi dan tonggak utama dalam membentuk keluarga yang bahagia serta masyarakat yang harmoni. Pengorbanan yang dicurahkan oleh seorang ibu tanpa mengharapkan balasan wajar dihargai dan dikenang sepanjang masa.

Sebagai simbol penghargaan kepada seluruh warga wanita UTM, sebanyak 1,500 biji kek kecil telah diedarkan kepada staf wanita di sekitar kampus UTM. Program ini turut melibatkan seramai 15 orang ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) wanita yang bersama-sama membantu Ahli Jawatankuasa WANGI dalam pengagihan kek kecil kepada warga wanita UTM, sekali gus mencerminkan semangat kerjasama dan kebersamaan antara staf serta mahasiswa universiti.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTM, Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah Mat Darus, merasmikan Program Sambutan Hari Ibu 2026 bersama staf wanita di Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim

Dalam ucapan perasmiannya, Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah menzahirkan penghargaan terhadap peranan besar wanita dan ibu dalam mendukung kecemerlangan universiti.

“Wanita yang bergelar ibu merupakan insan luar biasa yang bukan sahaja mendidik dan membina keluarga, malah turut menjadi penyumbang penting kepada kecemerlangan organisasi. Saya berharap semua staf wanita UTM terus diberi kekuatan untuk mengekalkan keseimbangan antara kerjaya, keluarga dan kesejahteraan diri, kerana kejayaan seorang wanita turut menjadi kekuatan kepada institusi dan masyarakat,” kata Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah.

Beliau turut menegaskan bahawa staf wanita UTM sentiasa memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pembangunan universiti melalui kecemerlangan dalam bidang akademik, penyelidikan, pentadbiran dan khidmat profesional.

Penganjuran program ini turut selari dengan aspirasi kerajaan menerusi Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2025–2030 yang menekankan agenda pemerkasaan wanita melalui aspek kepimpinan, kesejahteraan, keselamatan dan ekonomi. Dasar ini memberi pengiktirafan terhadap peranan wanita sebagai pemacu pembangunan organisasi, keluarga dan negara.

Staf WANGI UTM mengagihkan kek kecil kepada warga wanita di Pusat Kesihatan UTM
Pengagihan kek kecil kepada staf wanita di peringkat fakulti sebagai tanda penghargaan sempena Sambutan Hari Ibu 2026
Ahli Jawatankuasa WANGI UTM mengagihkan kek kecil kepada warga wanita di Pusat Tanggungjawab (PTJ)

Sebagai institusi pendidikan tinggi terkemuka, UTM sentiasa menyokong usaha memperkasa wanita, khususnya staf wanita yang berjaya menyeimbangkan tanggungjawab sebagai ibu, penjawat profesional dan penyumbang kepada kecemerlangan universiti. Penglibatan aktif wanita dalam kepimpinan, akademik, penyelidikan dan pengurusan universiti membuktikan bahawa wanita merupakan aset penting dalam pembangunan negara dan modal insan masa hadapan.

Program Sambutan Hari Ibu ini juga mendukung Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 5 yang menekankan kesaksamaan jantina dan pemerkasaan wanita dalam semua sektor. Selain itu, program ini turut menyokong SDG 3 melalui usaha mewujudkan persekitaran kerja yang menghargai kesejahteraan emosi dan sosial warga universiti, serta SDG 8 dalam memperkukuh penyertaan wanita dalam dunia pekerjaan dan kepimpinan.

Program ini berjaya dilaksanakan hasil sokongan dan sumbangan pelbagai pihak, termasuk Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim; Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam Mohamad; Bendahari, Hj. Abu Bakar Mohd Salleh @ Ahmad; Ketua Pustakawan, Khairulbahiyah Yaakub; Penolong Naib Canselor (Strategi dan Kesohoran Global), Prof. Madya Dr. Abdul Rashid Husain; Menjalankan Tugas Dekan Fakulti Komputeran, Prof. Dr. Azlan Mohd Zain; Dekan Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Prof. Sr. Dr. Kherun Nita Ali; Dekan Fakulti Sains, Prof. Madya Dr. Shafinaz Shahir; serta Dekan Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (FKT), Prof. Dr. Mat Uzir Wahit.

Selain itu, program ini turut menerima sumbangan ikhlas daripada Prof. Dr. Norhaniza Sarmin, Prof. Madya Dr. Noorminshah A. Iahad, Yosman Mohd Bain, Hazlina Stam, Noorliza Imran serta Riyaz Hotel.

Dekan Fakulti Sains, Prof. Madya Dr. Shafinaz Shahir (dua dari kanan), bersama staf wanita Fakulti Sains ketika pengagihan kek kecil sempena Program Sambutan Hari Ibu 2026

Pihak WANGI UTM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas segala sumbangan dan sokongan yang diberikan bagi menjayakan program ini. Sokongan padu daripada pihak pengurusan tertinggi universiti serta para penyumbang mencerminkan komitmen berterusan UTM dalam menghargai peranan wanita dan ibu sebagai tunjang penting pembangunan institusi, keluarga dan masyarakat.

Penganjuran program ini diharapkan dapat terus menyemarakkan budaya menghargai wanita dan ibu dalam komuniti universiti serta memperkukuhkan semangat kebersamaan dalam kalangan warga UTM.

Explore More

UTM Open Day