📝 Ringkasan
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengadakan program kesedaran untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dan industri tentang potensi pembangunan industri konjak yang lestari di Malaysia. Konjak merupakan tumbuhan ubi yang kaya dengan serat larut air yang dapat digunakan dalam industri makanan kesihatan, farmaseutikal, kosmetik dan produk mesra alam. Pasaran global konjak dianggarkan mencecah USD1.1 bilion hingga USD1.5 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2024 dengan kadar pertumbuhan tahunan sekitar 6.9 hingga 8.5 peratus. Malaysia mempunyai kelebihan agroklimat yang sesuai untuk pembangunan tanaman konjak dan beberapa spesies Amorphophallus telah direkodkan tumbuh di beberapa negeri.
SEPANG, 14 Mei — Tanaman konjak (Amorphophallus sp.) dilihat berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai komoditi agromakanan baharu negara susulan peningkatan permintaan global terhadap produk makanan sihat, rendah kalori dan berasaskan tumbuhan. Potensi tersebut diketengahkan menerusi Program Kesedaran Memanfaatkan Amalan Pertanian Konjak Lestari yang dianjurkan di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Hulu Chuchoh, Sepang, Selangor.

Program berkenaan merupakan inisiatif di bawah Geran Penyelidikan Hi-Tech (F4+) 2024 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di bawah penyeliaan ketua program, Prof. Ir. Ts. Dr. Roshanida A. Rahman, dengan kerjasama Ladang Konjak Sdn. Bhd., Jabatan Pertanian Malaysia dan Koperasi TKPM Selangor bagi meningkatkan kesedaran masyarakat dan pemain industri terhadap potensi pembangunan industri konjak secara lestari di Malaysia.
Ketua projek, Prof. Madya Dr. Adriana Mohd Rizal, berkata, “Konjak semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa kerana kandungan glucomannan yang tinggi serta kegunaannya yang meluas dalam industri makanan kesihatan, farmaseutikal, kosmetik dan produk mesra alam. Permintaan global yang semakin meningkat terhadap produk berasaskan konjak membuka peluang baharu kepada Malaysia untuk meneroka pembangunan industri ini secara lebih sistematik dan berdaya saing,” katanya.
Konjak merupakan tumbuhan ubi daripada keluarga Araceae yang kaya dengan serat larut air dikenali sebagai glucomannan. Kandungan tersebut membantu membentuk gel apabila bercampur dengan air, rendah kalori dan melambatkan proses penghadaman, sekali gus menjadikannya popular dalam penghasilan makanan kesihatan moden. Antara produk makanan yang dihasilkan daripada konjak termasuk mi shirataki, nasi konjak, jeli dan minuman berasaskan serat. Selain makanan, tanaman ini turut digunakan dalam industri kosmetik, farmaseutikal, pembungkusan biodegradasi, tekstil dan pertanian.

Menurut maklumat pasaran yang dikongsikan dalam program tersebut, saiz pasaran global konjak dianggarkan mencecah antara USD1.1 bilion hingga USD1.5 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2024 dengan kadar pertumbuhan tahunan sekitar 6.9 hingga 8.5 peratus. Asia Pasifik pula menguasai kira-kira 55 peratus pasaran dunia, didorong oleh perkembangan industri di China, Jepun, Korea Selatan dan Asia Tenggara. Selain itu, permintaan global terhadap konjak juga didapati melebihi pengeluaran semasa. Berdasarkan anggaran data tahun 2025, pengeluaran global dianggarkan sekitar 470,000 tan metrik berbanding penggunaan sebanyak 590,000 tan metrik, menunjukkan kekurangan bekalan sekitar 120,000 tan metrik di pasaran dunia.
Dalam konteks Malaysia, negara mempunyai kelebihan agroklimat yang sesuai untuk pembangunan tanaman konjak kerana iklim tropika lembap dengan suhu, hujan dan kelembapan yang konsisten sepanjang tahun. Beberapa spesies Amorphophallus juga direkodkan tumbuh di negeri seperti Johor, Negeri Sembilan, Terengganu, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kelantan dan Pahang.

Sementara itu, Ladang Konjak Sdn. Bhd. turut memainkan peranan penting sebagai peneraju industri konjak tempatan melalui aktiviti penyelidikan, pembangunan benih, pembangunan jaringan komuniti serta penghasilan produk hiliran berasaskan konjak. Syarikat tersebut turut menjalinkan kerjasama strategik bersama UTM, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam memperkukuh penyelidikan berkaitan amalan pertanian dan teknologi pemprosesan konjak di Malaysia.
Dalam usaha memperkukuh pembangunan industri konjak tempatan, Jabatan Pertanian turut memainkan peranan melalui pelbagai program pembangunan usahawan tani, latihan teknikal, pensijilan myGAP serta sokongan inovasi pertanian bagi membantu memperkukuh pembangunan sektor agromakanan negara.
Penganjuran program ini dilihat sebagai langkah awal dalam membina ekosistem industri konjak yang lebih tersusun melalui kerjasama strategik antara universiti, industri, agensi kerajaan dan komuniti setempat. Secara keseluruhannya, konjak bukan sahaja mempunyai nilai komersial yang tinggi, malah berpotensi menjadi sumber pertumbuhan ekonomi baharu negara pada masa hadapan.