UTM dan The University of Tokyo meterai MoU dan SEA, perkukuh kerjasama strategik penyelidikan global

TOKYO, 19 Mei – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus mengorak langkah memperluas ekosistem penyelidikan di peringkat antarabangsa menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dan Perjanjian Pertukaran Pelajar (Student Exchange Agreement, SEA) buat julung kalinya bersama Graduate School of Agricultural and Life Sciences, The University of Tokyo (UTokyo).

Majlis pemeteraian tersebut telah disempurnakan di Bunkyō, Jepun oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof. Dr. Rosli Md. Illias. Turut hadir ialah Pengerusi Penyelidikan Bersekutu Kesihatan dan Kesejahteraan (Health and Wellness Research Alliance, HWRA) UTM, Prof. Ir. Ts. Dr. Roshanida A. Rahman selaku Pegawai Bertanggungjawab bagi perjanjian tersebut.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof. Dr. Rosli Md. Illias (kiri), dan Dekan Graduate School of Agricultural and Life Sciences, The University of Tokyo, Prof. Dr. Kazushige Touhara menandatangani dokumen MoU dan SEA

Bagi pihak pengurusan tertinggi UTokyo, dokumen kerjasama itu telah ditandatangani oleh Dekan Graduate School of Agricultural and Life Sciences, Prof. Dr. Kazushige Touhara. Turut hadir ialah Pengarah Agro-Biotechnology Research Center, Prof. Dr. Yasuo Ohnishi, bersama barisan penyelidik pusat berkenaan iaitu Prof. Dr. Hideaki Nojiri, Prof. Dr. Hirofumi Hara dan Dr. Takeaki Tezuka.

Pertukaran dokumen MoU dan SEA antara Prof. Dr. Rosli Md. Illias (kiri) dan Prof. Dr. Kazushige Touhara menandakan bermulanya kerjasama strategik antara UTM dan UTokyo

Menerusi perjanjian yang berkuat kuasa selama tiga tahun ini, hubungan antara kedua-dua institusi kini diiktiraf secara rasmi sebagai kerjasama strategik. Inisiatif tersebut selaras dengan agenda penyelidikan dan inovasi UTM yang memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek penyelidikan secara kolaboratif, pertukaran staf akademik dan penyelidik, penganjuran simposium bersama serta perkongsian kepakaran dan maklumat saintifik.

Selain itu, kerjasama ini turut merangkumi pelaksanaan program sangkutan pelajar dan staf sebagai platform memperkukuh jaringan penyelidikan, memperluas mobiliti akademik serta meningkatkan perkongsian kepakaran antara kedua-dua institusi.

Walaupun MoU dan SEA ini merupakan perjanjian rasmi pertama yang dimeterai antara UTM dan UTokyo, hubungan penyelidikan kedua-dua institusi sebenarnya telah terjalin sejak tahun 2022. Kerjasama tersebut bermula menerusi pelantikan Prof. Dr. Hirofumi Hara sebagai Profesor Pelawat di Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT), UTM.

Jalinan kerjasama yang erat itu kemudiannya berkembang melalui pelbagai projek penyelidikan bersama, termasuk penyeliaan bersama penyelidikan industri yang melibatkan syarikat antarabangsa seperti Panasonic Appliances R&D Centre Asia Pacific Sdn. Bhd. dan Delighted Pte. Ltd. Komitmen berterusan para penyelidik daripada kedua-dua institusi turut menghasilkan penerbitan ilmiah berimpak tinggi di peringkat antarabangsa.

Delegasi UTM bergambar bersama delegasi Graduate School of Agricultural and Life Sciences, The University of Tokyo selepas majlis pemeteraian MoU dan SEA

Kerjasama strategik ini dijangka memperkukuh lagi keupayaan penyelidikan dan inovasi UTM dalam meneroka pengetahuan baharu serta memperluas jaringan akademik di peringkat global. Pada masa yang sama, inisiatif ini turut menyokong aspirasi universiti untuk melahirkan bakat penyelidikan dan graduan bertaraf antarabangsa, selaras dengan agenda kecemerlangan penyelidikan serta pengantarabangsaan UTM.

Explore More

UTM Open Day