Ukur geomatik, nadi infrastruktur digital dan tunjang pembangunan bandar pintar Malaysia

SDGSDG9SDG11SDG13SDG16

📝 Ringkasan

Teknologi ukur geomatik telah berkembang menjadi bidang profesional yang merangkumi sains, seni dan teknologi berkaitan pengumpulan, pemprosesan, analisis serta penyampaian data mengenai muka bumi dan persekitarannya. Ia menjadi tunjang kepada pembangunan data geospatial moden yang diperlukan dalam pelbagai sektor, termasuk perancangan bandar, pengurusan infrastruktur, mitigasi bencana, pengangkutan, utiliti dan pembangunan mampan. Teknologi ini memainkan peranan utama dalam pembangunan bandar pintar di Malaysia, dengan menyokong pembuatan keputusan yang lebih tepat dan cekap.

Perkembangan teknologi digital yang semakin pesat telah membawa perubahan besar kepada cara bandar dirancang, dibangunkan dan diurus. Dalam era Revolusi Industri 4.0, konsep bandar pintar semakin mendapat perhatian kerana ia menawarkan pendekatan baharu dalam membina persekitaran bandar yang lebih cekap, mampan, selamat dan berdaya huni. Namun, di sebalik kecanggihan sistem bandar pintar, terdapat satu elemen asas yang sangat penting tetapi sering kurang diberi perhatian, iaitu data geospatial yang tepat dan boleh dipercayai. Di sinilah teknologi ukur geomatik memainkan peranan utama.

Ukur geomatik, yang dahulunya lebih dikenali sebagai ukur tanah, kini telah berkembang menjadi satu bidang profesional yang merangkumi sains, seni dan teknologi berkaitan pengumpulan, pemprosesan, analisis serta penyampaian data mengenai muka bumi dan persekitarannya. Jika dahulu kerja ukur lebih tertumpu kepada penentuan sempadan tanah dan penyediaan pelan, kini bidang ini telah berkembang jauh melangkaui fungsi tradisional tersebut. Ukur geomatik menjadi tunjang kepada pembangunan data geospatial moden yang diperlukan dalam pelbagai sektor, termasuk perancangan bandar, pengurusan infrastruktur, mitigasi bencana, pengangkutan, utiliti dan pembangunan mampan.

Menurut Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia 2019-2025 oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, bandar pintar merujuk kepada bandar yang menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi serta teknologi canggih bagi menangani isu bandar, meningkatkan kualiti hidup, menggalakkan pertumbuhan ekonomi, membangunkan persekitaran mampan dan selamat, serta memperkukuh kecekapan pengurusan bandar. Berdasarkan definisi ini, jelas bahawa bandar pintar bukan sekadar bandar yang mempunyai capaian internet atau sistem digital, tetapi bandar yang menggunakan data, teknologi dan inovasi untuk menyelesaikan masalah sebenar masyarakat.

Antara contoh bandar pintar di Malaysia ialah Kuala Lumpur, Putrajaya, Cyberjaya dan Iskandar Malaysia. Bandar-bandar ini memerlukan sistem pengurusan yang cekap, rangkaian pengangkutan yang tersusun, pemantauan trafik yang lancar, kemudahan awam yang responsif serta perancangan pembangunan yang berpandukan data. Semua ini tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan tanpa sokongan data geospatial yang jitu, kerana data geospatial membolehkan sesuatu lokasi, aset, bangunan, jalan raya, sistem utiliti dan kawasan risiko dikenal pasti, dianalisis dan dipantau secara lebih menyeluruh.

Di Malaysia, peranan teknologi ukur geomatik dalam pembangunan bandar pintar digerakkan oleh pelbagai pihak, termasuk Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Lembaga Jurukur Tanah Malaysia (LJT), firma Juruukur Tanah Berlesen dan pelbagai organisasi berkaitan. Melalui kepakaran profesional juruukur tanah, data geospatial dapat diperoleh dengan menggunakan teknologi canggih seperti Sistem Penentududukan Sejagat (Global Navigation Satellite System, GNSS), dron atau Kenderaan Udara Tanpa Pemandu (UAV), Pengesanan dan Julat Cahaya atau LiDAR, penderiaan jauh, Sistem Maklumat Geografi (GIS), imej satelit dan teknologi pemetaan digital yang lain. Data yang dikumpulkan melalui teknologi ini kemudiannya diproses dan dianalisis untuk menyokong pembuatan keputusan yang lebih tepat.

Salah satu sumbangan penting ukur geomatik kepada bandar pintar ialah transformasi sistem kadaster atau ukur hak milik ke arah model tiga dimensi. Melalui inisiatif seperti SmartKADASTER, sistem kadaster tidak lagi terhad kepada peta dua dimensi, sebaliknya berkembang kepada Model Bandar 3D. Model ini membolehkan objek dunia nyata seperti bangunan, jalan, ruang bawah tanah, kemudahan awam dan infrastruktur bandar dipaparkan dengan lebih realistik. Di kawasan bandar berkepadatan tinggi seperti Kuala Lumpur dan Putrajaya, data tiga dimensi amat penting untuk memahami hubungan antara ruang, hak milik, sekatan dan tanggungjawab dalam pembangunan yang semakin kompleks.

Model Bandar 3D sebagai instrumen strategik dalam menyokong perancangan bandar pintar yang lebih tepat, cekap dan mampan (gambar sekadar hiasan)

Model Bandar 3D juga boleh dimanfaatkan untuk pelbagai tujuan strategik, antaranya menganggarkan kepadatan penduduk dengan lebih tepat, mengenal pasti lokasi sesuai untuk pertanian bandar di bangunan tinggi, merancang jaringan pengangkutan, mengurus laluan utiliti bawah tanah dan menilai kesan pembangunan baharu terhadap persekitaran sekitar. Dengan adanya data tiga dimensi yang tepat, pihak berkuasa tempatan dan perancang bandar dapat membuat keputusan berdasarkan gambaran yang lebih hampir kepada keadaan sebenar di lapangan.

Selain itu, teknologi LiDAR dan penderiaan jauh turut memainkan peranan besar dalam pembangunan bandar pintar. LiDAR mampu menghasilkan data berbentuk awan titik (point cloud) yang sangat terperinci bagi menggambarkan permukaan bumi, bangunan, jalan raya dan objek persekitaran. Apabila digabungkan dengan imej udara, imej satelit dan teknologi pengimbasan laser mudah alih, data ini dapat digunakan untuk membina model bandar yang tepat dan menyeluruh. Maklumat sedemikian amat berguna dalam pemantauan aset, perancangan pembangunan, pengurusan risiko bencana serta penyelenggaraan infrastruktur.

Satu lagi perkembangan penting ialah integrasi antara GIS dan Permodelan Maklumat Bangunan (Building Information Modelling, BIM), yang dikenali sebagai GeoBIM. GIS menyediakan maklumat berskala makro tentang persekitaran luar seperti lokasi, topografi, jalan raya dan kawasan pembangunan, manakala BIM pula memberikan maklumat terperinci tentang struktur dan komponen dalaman sesebuah bangunan. Apabila kedua-dua sistem ini digabungkan, pihak berkepentingan dapat mengurus kitaran hayat bangunan dan infrastruktur dengan lebih cekap, bermula daripada peringkat reka bentuk, pembinaan, operasi, penyelenggaraan sehinggalah proses menaik taraf.

Dalam konteks pembuatan keputusan, sistem seperti Portal Interaktif SmartKADASTER (SKiP) berfungsi sebagai alat sokongan yang sangat penting. Melalui platform ini, pelbagai analisis spatial boleh dijalankan, termasuk analisis banjir, analisis kecerunan, analisis ruang, simulasi bayangan dan penilaian kesan pembangunan. Sebagai contoh, analisis banjir membolehkan pihak berkuasa meramal kawasan yang berisiko ditenggelami air apabila berlaku kenaikan paras air. Analisis kecerunan pula membantu mengenal pasti kawasan yang berisiko untuk pembangunan, manakala simulasi pencahayaan dan bayangan membantu merancang bangunan yang lebih lestari dan selesa.

Teknologi ukur geomatik juga menyokong agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Melalui data geospatial dan pemetaan yang tepat, pelbagai indikator pembangunan dapat dipantau dengan lebih berkesan, termasuk pemantauan pertumbuhan bandar, penggunaan tanah, kawasan hijau, risiko bencana, akses kepada kemudahan awam dan keberkesanan infrastruktur. Dengan kata lain, ukur geomatik bukan sahaja menyokong pembangunan fizikal bandar, tetapi turut membantu memastikan pembangunan tersebut selari dengan prinsip kelestarian dan kesejahteraan masyarakat.

Kesimpulannya, bidang ukur geomatik kini bukan lagi sekadar berkaitan penentuan sempadan tanah, tetapi telah menjadi nadi kepada infrastruktur digital bandar pintar. Teknologi seperti GNSS, UAV, LiDAR, penderiaan jauh, GIS, BIM dan Model Bandar 3D membolehkan data geospatial dikumpulkan, dianalisis dan digunakan secara lebih strategik. Walaupun bidang ini mungkin kurang popular dalam kalangan masyarakat umum, peranannya amat besar dalam memastikan pembangunan bandar di Malaysia berjalan secara tersusun, mampan dan berpandukan data. Dalam dunia yang semakin kompleks, bandar pintar tidak akan dapat berfungsi dengan baik tanpa maklumat lokasi yang tepat. Justeru, teknologi ukur geomatik perlu terus diperkasa sebagai asas penting kepada perancangan infrastruktur negara dan peningkatan kualiti hidup masyarakat masa hadapan.

 

 

Oleh Sr Gs. Amir Hamzah Othman, Pensyarah Kanan, Jabatan Alam Bina dan Ukur, Pusat Pengajian Diploma, SPACE UTM

Explore More

UTM Open Day