Ruang untuk Pulih: Antara Diri dan Kerjaya

SDGSDG3SDG8

📝 Ringkasan

Dalam dunia korporat yang menuntut perhatian, budaya ‘sentiasa bersedia’ dan ‘respons yang paling pantas’ sering dijadikan kayu ukur dedikasi. Namun, tekanan kerja berlebihan dan waktu kerja yang panjang boleh menyumbang kepada peningkatan risiko penyakit jantung dan masalah kesihatan mental. Profesional sering terperangkap dalam ilusi untuk sentiasa kelihatan kuat dan memberi impak terbaik, tetapi menunda rawatan masalah kesihatan boleh menjejaskan produktiviti dalam jangka panjang.

Dalam dunia korporat yang menuntut seribu satu perhatian, budaya ‘sentiasa bersedia’ dan ‘respons yang paling pantas’ sering kali dijadikan kayu ukur dedikasi. Tarikh akhir yang menghambat, krisis komunikasi yang muncul tanpa amaran, serta tanggungjawab untuk memastikan setiap perincian berjalan lancar, telah menjadi rutin yang sebati dalam kehidupan dalam kebanyakan golongan profesional. Namun di sebalik semua itu, ada satu realiti yang sering diabaikan; isyarat tubuh untuk berhenti atau meminta pertolongan.

Hakikatnya, tekanan kerja berlebihan dan waktu kerja yang panjang bukan sekadar isu keletihan biasa. Laporan bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pada 2021, misalnya, menegaskan bahawa keadaan ini menyumbang kepada peningkatan risiko penyakit jantung serta masalah kesihatan mental dalam kalangan pekerja. Dalam erti kata lain, apa yang sering dianggap sebagai komitmen kerja boleh bertukar menjadi ancaman kesihatan jika tidak diurus dengan bijak.

Dalam konteks ini, ramai profesional, terutamanya di peringkat senior, tanpa sedar terperangkap dalam ilusi untuk sentiasa kelihatan kuat dan memberi impak terbaik. Apabila berhadapan dengan masalah kesihatan, walaupun sekadar pembedahan kecil atau kesakitan fizikal, kecenderungan untuk menunda rawatan sering berlaku. Alasannya hampir sama; mesyuarat tidak boleh ditinggalkan, tugasan akan tergendala, atau organisasi sangat memerlukan seseorang untuk satu-satu posisi dalam pekerjaan. Namun dalam bidang psikologi pekerjaan, kecenderungan ini dikenali sebagai ‘presenteeism’, iaitu situasi apabila seseorang terus bekerja walaupun tidak sihat sehingga menjejaskan produktiviti dalam jangka panjang.

Budaya kerja yang kompetitif juga membentuk persepsi bahawa berehat adalah tanda kelemahan. Kita seolah-olah percaya bahawa dunia akan berhenti berputar jika kita mengambil sedikit masa untuk menjaga kesihatan. Sedangkan laporan oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) sekitar 2020 serta dapatan Persatuan Psikologi Amerika (APA) pada 2023 menunjukkan bahawa pekerja yang tidak mengambil masa untuk pulih sepenuhnya lebih berisiko mengalami keletihan kronik, penurunan prestasi dan masalah kesihatan yang lebih serius. Dalam jangka panjang, kerugian ini bukan sahaja ditanggung individu, tetapi turut memberi kesan kepada organisasi.

Atas sebab itu, pendekatan terhadap kerja dan kesihatan perlu dilihat semula secara lebih strategik. Delegasi, contohnya, bukan tanda kelemahan, tetapi satu bentuk kekuatan kepimpinan. Dalam banyak kerangka kepimpinan moden, termasuk perbincangan oleh firma perunding global seperti McKinsey & Company sekitar 2021, keupayaan mengagihkan tugas secara efektif dilihat sebagai indikator penting keberkesanan pemimpin, selain membantu membina daya tahan pasukan.

Dalam masa yang sama, teknologi wajar dimanfaatkan sebagai alat sokongan, bukan sekadar kemudahan. Jika keadaan fizikal tidak mengizinkan, penggunaan fungsi teknologi terkini seperti ‘voice-to-text’ mampu membantu memastikan kerja tetap berjalan tanpa memaksa tubuh bekerja di luar kemampuannya. Pendekatan ini bukan sahaja praktikal, tetapi juga mencerminkan kebijaksanaan dalam menyesuaikan cara kerja dengan keadaan diri.

Lebih penting, janji temu perubatan perlu dilihat sebagai komitmen profesional yang setara dengan mesyuarat penting. Institusi kesihatan seperti Mayo Clinic dalam panduan kesihatannya pada 2022 turut menekankan bahawa pengesanan awal dan rawatan tepat pada masanya adalah kunci untuk mencegah komplikasi yang lebih serius. Meletakkan temu janji doktor dalam kalendar kerja dan konsisten dalam memenuhinya adalah satu bentuk disiplin diri yang wajar dipraktikkan oleh golongan profesional.

Akhirnya, kerjaya bukanlah satu pecutan singkat, tetapi sebuah ‘maraton’ yang panjang. Keinginan untuk terus ‘berlari’ tanpa henti mungkin memberi kepuasan sementara, tetapi risikonya adalah keletihan berpanjangan, atau lebih buruk lagi, kerosakan yang sukar dipulihkan. Dalam dunia pekerjaan hari ini, keseimbangan bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan yang semakin dititikberatkan oleh pakar pengurusan dan kesihatan pekerjaan.

Jangan tunggu sehingga badan benar-benar ‘tumbang’ untuk mula mendengar isyarat yang sekian lama diabaikan. Pada akhirnya, pemimpin yang paling bijak bukan hanya tahu bagaimana untuk terus bergerak ke hadapan, tetapi juga sedar bila masanya untuk berhenti dan memberi ruang kepada diri untuk pulih. Hakikatnya, kita tidak mampu memberi yang terbaik kepada kerjaya jika diri sendiri sudah tidak lagi berada dalam keadaan optimum untuk berkerja . Jadi, sayangilah diri anda dan selamat menyambut Hari Pekerja!

*Imej ini dijana oleh AI.

**Penulisan ini adalah sekadar pendapat peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian organisasi.

Explore More

UTM Open Day