Guru Bitara Nadi Negara

SDGSDG4SDG8SDG16

📝 Ringkasan

Tema Hari Guru tahun ini, “Guru Bitara Nadi Negara”, menekankan peranan guru dalam membentuk generasi masa depan dan memastikan negara memiliki warga yang berilmu, berakhlak dan berkemahiran. Guru dianggap sebagai nadi negara kerana mereka membawa denyut intelektual, moral dan budaya yang mengekalkan kehidupan masyarakat. Mereka memainkan peranan penting dalam menyemai nilai kejujuran, disiplin, tanggungjawab sosial dan rasa kemanusiaan dalam kalangan pelajar.

Tema Hari Guru pada tahun ini, iaitu “Guru Bitara Nadi Negara” amat bertepatan dengan tanggungjawab dan pengorbanan insan yang bergelar guru. Perkataan bitara yang membawa maksud tiada tara, manakala nadi menjadi metafora kepada sumber kehidupan dan kekuatan, sangat sinonim dengan kerjaya keguruan dalam melahirkan modal insan yang seimbang seperti yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Guru bukan sekadar penyampai ilmu di dalam bilik darjah, tetapi agen utama yang membentuk generasi masa hadapan dan memastikan negara terus memiliki warga yang berilmu, berakhlak serta berkemahiran. Dengan lain perkataan, negara tidak akan pernah ketandusan modal insan selagi wujudnya insan bernama guru.

Guru sering diibaratkan sebagai nadi negara kerana mereka membawa denyut intelektual, moral dan budaya yang mengekalkan kehidupan masyarakat. Sama seperti arteri mengedarkan oksigen ke seluruh tubuh, guru menyebarkan ilmu, nilai, kemahiran, disiplin dan pemikiran merentas generasi. Pengaruh mereka melangkaui pencapaian akademik kerana guru turut memupuk patriotisme, empati, perpaduan dan identiti bangsa. Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, sekolah menjadi ruang penting untuk membina toleransi dan keharmonian sosial, manakala guru berperanan besar dalam memastikan nilai tersebut terus subur dalam kalangan generasi pada hari ini dan akan datang yang dibesarkan dalam persekitaran teknologi yang pesat berkembang.

Realitinya, tiada makna sesebuah negara memiliki teknologi canggih, kecerdasan buatan, infrastruktur moden atau dasar pendidikan yang hebat sekiranya tiada guru yang komited untuk menjayakan semua aspirasi tersebut. Teknologi hanyalah alat dan dasar hanyalah perancangan, tetapi gurulah yang menghidupkan serta memanusiakan pendidikan. Bilik darjah moden dan transformasi kurikulum tidak akan memberi kesan yang bermakna tanpa pendidik yang mampu membimbing, memberi inspirasi dan memahami keperluan murid dengan penuh dedikasi. Oleh itu, kekuatan sebenar negara bukan hanya terletak pada kemajuan teknologinya, tetapi pada komitmen guru yang menterjemahkan visi dan misi negara kepada pengalaman pendidikan yang bermakna kepada anak murid mereka.

Dalam era kecerdasan buatan dan teknologi digital, peranan guru tetap tidak dapat digantikan. Walaupun teknologi mampu menyampaikan maklumat dengan cepat, ia tidak dapat menggantikan nilai kemanusiaan yang dibawa oleh guru, seperti empati, etika, kecerdasan emosi, dan kebijaksanaan. Guru bukan sahaja membantu murid mencari jawapan, tetapi membimbing mereka untuk bertanya soalan yang bermakna, membuat keputusan yang bertanggungjawab dan memahami implikasi moral daripada tindakan mereka. Dalam pengertian ini, teknologi boleh mempercepatkan pembelajaran, namun hanya guru yang mampu memanusiakannya. Hal ini selari dengan apa yang termaktub dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) iaitu teknologi bukanlah pengganti kepada guru, sebaliknya berfungsi sebagai alat bantu belajar yang memperkukuh pemahaman murid dalam sesuatu mata pelajaran.

Guru juga memikul tanggungjawab moral yang besar dalam membentuk sahsiah generasi muda. Pendidikan bukan sekadar melahirkan individu yang pintar, tetapi juga insan yang berintegriti dan berprinsip. Oleh itu, guru memainkan peranan penting dalam menyemai nilai kejujuran, disiplin, tanggungjawab sosial dan rasa kemanusiaan dalam kalangan pelajar. Dalam banyak keadaan, guru bukan sahaja menjaga masa depan intelektual negara, malah turut memelihara hati nurani dan moral masyarakat.

Di sebalik peranan besar tersebut, pengorbanan guru sering kali tidak kelihatan dan tidak diketahui ramai. Ramai guru menghabiskan masa di luar waktu rasmi untuk menyediakan bahan pengajaran, membimbing murid yang memerlukan bantuan, mengurus aktiviti sekolah dan memberi sokongan emosi kepada murid. Malah, ada yang menggunakan wang sendiri demi memastikan murid mendapat akses kepada bahan pembelajaran. Pada masa yang sama, guru juga perlu terus belajar dan menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi, kurikulum dan keperluan pendidikan semasa. Kerjaya keguruan hari ini menuntut daya tahan, kreativiti dan pembelajaran sepanjang hayat.

Pengaruh seorang guru yang komited mampu merentas generasi. Seorang guru boleh memberi inspirasi kepada ratusan, malah ribuan murid yang kemudiannya menjadi doktor, jurutera, saintis, pemimpin dan pendidik yang menyumbang kembali kepada masyarakat. Oleh sebab itu, pelaburan terhadap guru bukan sekadar perbelanjaan pendidikan, tetapi pelaburan jangka panjang terhadap kestabilan dan kemajuan negara. Maruah kerjaya perguruan juga perlu terus dipelihara melalui sokongan profesional, kesejahteraan emosi dan penghormatan masyarakat agar kerjaya ini terus menjadi kerjaya yang dihormati dan bermakna.

Natijahnya, guru ialah nadi yang meembawa harapan kepada masa depan negara. Ketika murid meragui diri sendiri, guru menjadi insan yang mengembalikan keyakinan dan tujuan hidup mereka. Pengaruh guru mungkin tidak sentiasa kelihatan serta-merta, namun merekalah yang membentuk kehidupan, mengubah masyarakat dan membina negara. Dalam erti kata sebenar, guru bukan sekadar mendidik individu, tetapi mengekalkan harapan dan aspirasi seluruh bangsa. Tanpa insan yang bernama guru, maka tiadalah kesinambungan modal insan yang akan terus menerajui kemajuan dan kemakmuran negara kita yang tercinta.

Selamat Hari Guru, Cikgu!

 

Oleh Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), UTM

Explore More

UTM Open Day