📝 Ringkasan
Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerima kunjungan delegasi Far Eastern Federal University (FEFU), Rusia. Lawatan ini bertujuan memperkukuh jaringan kerjasama akademik dan penyelidikan antara kedua-dua institusi, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI). Delegasi FEFU membentangkan kekuatan dan pencapaian mereka dalam bidang AI, termasuk platform DVFU AI yang menggabungkan teknologi AI-Agent Factory, LLM, RAG, RPA, ML dan kaedah pengesahan matematik. Pihak FAI UTM turut mengambil peluang memperkenalkan kekuatan akademik dan penyelidikan fakulti, termasuk program berkaitan AI, teknologi digital, data raya dan transformasi industri.
KUALA LUMPUR, 18 Mei – Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menerima kunjungan akademik daripada delegasi Far Eastern Federal University (FEFU), Rusia yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Tim Seleznev dan Prof. Madya Dr. Roman Igorevich Dremliuga pada 18 Mei 2026 bertempat di Menara Razak UTM, Kuala Lumpur. Delegasi tersebut mewakili Institute of Mathematics and Computer Technologies (IMCT) serta Center of Excellence for Artificial Intelligence and Big Data FEFU.
Kunjungan mereka disambut mesra oleh Pengurus Penglibatan Luaran dan Global FAI, Ts. Dr. Noor Hafizah Hassan. Beberapa ahli akademik daripada FAI turut hadir dalam pertemuan tersebut, termasuk Pengurus Akademik dan Hal Ehwal Pelajar Pascasiswazah, Dr. Hazlifah Mohd Rosli, serta ahli Kumpulan Penyelidikan Kejuruteraan dan Keselamatan Kenderaan (VES), Ts. Dr. Faizir Ramlie, Dr. Siti Hasliah Salleh, Dr. Nur Athirah Farhana Omar Zai dan Dr. Siti Nabilah Yusof.

Lawatan ini bertujuan memperkukuh jaringan kerjasama akademik dan penyelidikan antara kedua-dua institusi, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI), dasar AI, pembangunan platform AI, program mobiliti antarabangsa serta inisiatif penyelidikan berimpak tinggi. Sesi perbincangan turut membuka ruang kepada pertukaran pandangan berkaitan pembangunan bakat AI, pengkomersialan teknologi dan potensi kerjasama strategik antara Malaysia dan Rusia dalam ekosistem teknologi pintar.

Sepanjang sesi perkongsian, pihak FEFU membentangkan kekuatan dan pencapaian IMCT sebagai antara peneraju pendidikan teknologi maklumat di rantau Timur Jauh Rusia dengan lebih 2,500 pelajar dan pelbagai program akademik dalam bidang Sains Komputer, Kejuruteraan Perisian, Sistem Maklumat dan AI. Delegasi turut berkongsi pengalaman mereka dalam membangunkan Far Eastern AI Center yang ditubuhkan bersama Sberbank pada tahun 2022 bagi memacu penyelidikan AI gunaan dan pembangunan platform AI industri.
Antara fokus utama pembentangan ialah pengenalan kepada platform DVFU AI, iaitu platform integrasi AI berasaskan AI-Agent Factory yang menggabungkan teknologi Large Language Model (LLM), Retrieval-Augmented Generation (RAG), Robotic Process Automation (RPA), Machine Learning (ML) dan kaedah pengesahan matematik bagi menyokong penggunaan AI secara industri. Platform tersebut telah diaplikasikan dalam pelbagai sektor termasuk keselamatan, analitik data besar, pemantauan risiko, automasi kewangan dan sistem sokongan pintar.
Selain itu, delegasi FEFU turut berkongsi model kerjasama antarabangsa mereka bersama universiti di China melalui pelaksanaan program akademik bersama, mobiliti pelajar dan program ijazah berkembar. Model kerjasama ini dilihat berpotensi untuk diteroka bersama UTM, khususnya dalam memperluaskan peluang antarabangsa kepada pelajar dan penyelidik FAI serta memperkukuh ekosistem pendidikan AI global.
Pihak FAI UTM turut mengambil peluang memperkenalkan kekuatan akademik dan penyelidikan fakulti, termasuk program berkaitan AI, teknologi digital, data raya dan transformasi industri yang sedang giat dibangunkan di kampus UTM Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Kedua-dua pihak menyatakan komitmen untuk meneroka potensi kerjasama lanjut dalam bentuk penyelidikan bersama, penerbitan ilmiah, pertukaran pelajar dan staf akademik serta pembangunan platform AI yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan industri.

Lawatan ini diakhiri dengan sesi penyerahan cenderamata dan fotografi sebagai simbol penghargaan serta permulaan kepada hubungan strategik yang lebih erat antara FAI UTM dan FEFU pada masa hadapan. Kerjasama antarabangsa seperti ini diharap dapat memperkukuh kedudukan UTM sebagai institusi peneraju dalam bidang kecerdasan buatan dan teknologi digital di peringkat global.

Penulis bersama Dr. Hazlifah Mohd Rosli dan Dr. Noor Hafizah Hassan