📝 Ringkasan
Audit Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 2025 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur telah berjaya meningkatkan budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan di kampus. Audit yang berlangsung selama lima hari telah melibatkan penyertaan 17 Pusat Tanggungjawab (PTJ) dan fakulti. Audit ini bertujuan meningkatkan piawaian pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) dan mengiktiraf PTJ dan fakulti yang menunjukkan komitmen tinggi dalam mewujudkan persekitaran kerja yang selamat, sihat dan kondusif.
KUALA LUMPUR, 22 Mei — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur telah melaksanakan Audit Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 2025 bagi kategori UTM Kuala Lumpur yang berlangsung selama lima hari bermula 20 hingga 24 April 2026. Audit tersebut melibatkan penyertaan 17 Pusat Tanggungjawab (PTJ) termasuk fakulti di Kampus UTM (Cawangan Kuala Lumpur). Penganjuran audit ini merupakan salah satu usaha berterusan universiti dalam meningkatkan piawaian pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) selaras dengan kehendak Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 serta perundangan berkaitan.
Selain menjadi platform penilaian, audit ini turut berperanan mengiktiraf PTJ dan fakulti yang menunjukkan komitmen tinggi dalam mewujudkan persekitaran kerja yang selamat, sihat dan kondusif. Pelaksanaan Audit AKKP 2025 turut menyokong Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ISO 45001 (OSHMS) yang diamalkan oleh Seksyen Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHE) UTM Kuala Lumpur, di samping mendukung Polisi Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UTM serta aspirasi Pelan Strategik UTM 2026 hingga 2030 (UTM ASCEND 2030).
Bagi kategori UTM Kuala Lumpur, penyertaan dibahagikan kepada dua kluster. Kluster A melibatkan PTJ dan fakulti yang mempunyai gabungan persekitaran pejabat, makmal, bengkel dan kemudahan lain yang berisiko, manakala Kluster B melibatkan PTJ dan fakulti yang beroperasi dalam persekitaran pejabat sahaja. Pemenang bagi setiap kluster akan diumumkan dan menerima wang tunai, trofi serta sijil penghargaan pada Majlis Citra Karisma UTM 2026.

Audit yang dijalankan adalah berpandukan Garis Panduan untuk Pelaksanaan Audit Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 di Sektor Perkhidmatan Awam dan Pihak Berkuasa Berkanun yang diterbitkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Malaysia. Garis panduan tersebut telah disesuaikan mengikut keperluan dan persekitaran operasi UTM.
Sepanjang tempoh audit, panel auditor yang terdiri daripada staf akademik dan staf Pengurusan dan Profesional (PPP) yang mempunyai kepakaran dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan telah melaksanakan penilaian menyeluruh terhadap sistem pengurusan KKP di setiap PTJ dan fakulti yang terlibat. Penilaian melibatkan semakan dokumentasi penting seperti Sistem Pelaporan dan Siasatan Kemalangan, Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC), Daftar Keperluan Perundangan dan Keperluan Lain serta Penilaian Pematuhan (LORREC), Prosedur Kerja Selamat (Safe Work Procedure), Permit Menjalankan Kerja (PTW), pengurusan kontraktor serta pelbagai rekod berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Selain aspek dokumentasi, auditor turut menilai tahap keaktifan Jawatankuasa KKP PTJ dan fakulti melalui pelaksanaan program dan aktiviti berkaitan KKP, usaha pembudayaan keselamatan, penggunaan Peralatan Perlindungan Diri (PPE), pelaksanaan audit dalaman dan Pemeriksaan Kendiri Tempat Kerja (Self-Workplace Inspection).
Penilaian turut memberi tumpuan kepada tahap pematuhan terhadap aspek keselamatan kebakaran, keselamatan ruang dan bangunan, keselamatan persekitaran, keselamatan elektrik, keselamatan mekanikal serta pengurusan keselamatan bahan kimia berbahaya, keselamatan biologi dan keselamatan sinaran. Semua aspek tersebut dinilai berdasarkan pendekatan penambahbaikan berterusan menerusi konsep Rancang-Laksana-Periksa-Bertindak (Plan-Do-Check-Act, PDCA).

Pihak urus setia yang diterajui oleh OSHE UTM Kuala Lumpur merakamkan penghargaan kepada semua Jawatankuasa KKP, fakulti, PTJ serta seluruh warga kampus yang telah memberikan kerjasama dan komitmen sepanjang proses audit berlangsung. Penghargaan turut dizahirkan kepada para auditor atas dedikasi, profesionalisme dan komitmen yang ditunjukkan dalam melaksanakan penilaian serta mengemukakan cadangan penambahbaikan yang membina.
Diharapkan pelaksanaan Audit AKKP 2025 akan terus menjadi pemangkin kepada pengukuhan budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta menyumbang ke arah pembentukan persekitaran kerja yang lebih selamat, sihat dan lestari di Kampus UTM Cawangan Kuala Lumpur.
