📝 Ringkasan
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menjadi universiti awam pertama di Johor yang memiliki stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) yang dikuasakan sepenuhnya dari tenaga solar fotovolta (PV). Stesen ini telah mula beroperasi pada tahun 2025 dan dapat mengecas kenderaan EV dengan 100% tenaga bersih dan mesra alam. Stesen ini juga dapat beroperasi dalam ‘Islanding Mode’ dan menggunakan tenaga yang tersimpan di dalam Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) jika terdapat gangguan bekalan elektrik.
JOHOR BAHRU, 23 Apr – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) muncul sebagai Universiti Awam pertama di negeri Johor yang memiliki stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) yang dikuasakan sepenuhnya dari tenaga solar fotovolta (PV) dan telah mula beroperasi pada tahun 2025.
“Kewujudan stesen ini membolehkan mana-mana kenderaan EV yang mengecas di UTM memperoleh 100% tenaga bersih dan mesra alam.
“Projek inovatif yang dikuasakan oleh integrasi tenaga solar PV dan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) ini bukan sahaja berfungsi sebagai pusat pengisian tenaga, malah merupakan satu mercu tanda penyelidikan hasil kerjasama strategik antara pihak akademik, kerajaan dan industri,” ujar Ketua Penyelidik Solar PV UTM, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Jasrul Jamani Jamian.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan wakil Pusat Pelestarian Kampus (UTMCCS) di stesen pengecas berkenaan yang terletak di tempat letak kereta blok lama Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), kampus UTM Johor Bahru.

Dr. Jasrul berkata pembangunan infrastruktur berteknologi tinggi ini dijayakan melalui dana yang disalurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kepada NanoMalaysia Berhad.
“Sebagai agensi peneraju dalam pengkomersialan nanoteknologi, NanoMalaysia Berhad telah memilih UTM sebagai rakan kerjasama strategik untuk menjalankan analisis kajian mendalam terhadap sistem pengecasan EV masa hadapan.
“Dalam projek ini, kepakaran teknikal UTM dimanfaatkan sepenuhnya di mana universiti terlibat secara langsung dalam fasa perancangan, pemasangan dan pengujian. Sebelum sistem fizikal dibangunkan, pasukan penyelidik UTM turut dilantik untuk menjalankan simulasi komputer yang terperinci bagi memastikan kestabilan dan kecekapan sistem tersebut apabila diaplikasikan di lapangan,” katanya.
Berdasarkan simulasi yang dijalankan, stesen pengecas EV yang menerima tenaga elektrik dari solar PV berkapasiti 53 kWp dan 215kWh/ 100kW BESS mampu memberikan keboleharapan yang tinggi bagi mengecas kereta EV dari 0% ke 100% sebanyak tiga unit EV. Selain itu, grid konvensional turut dijadikan sandaran akhir sekiranya terdapat kereta EV seterusnya.
Untuk aktiviti pengecasan, stesen pengecas ini menyediakan pilihan pengecasan pantas (60 kW Fast Charging) dan pengecasan sederhana (22 kW Slow Charging).

“Selain itu, sistem pengecasan di UTM ini mampu untuk beroperasi dalam ‘Islanding Mode’ yang bermakna, sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik daripada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB), stesen pengecas ini tetap akan berfungsi seperti biasa dengan menggunakan tenaga yang tersimpan di dalam BESS,” tegasnya lagi.
Dr. Jasrul berkata pengecas ini berfungsi dengan kelestarian tenaga yang maksimum di mana sistem ini diprogramkan dengan hierarki penggunaan tenaga yang pintar.
“Keutamaan pengecasan kenderaan akan diberikan kepada sumber Solar PV. Sekiranya tenaga solar tidak mencukupi contohnya pada waktu malam atau cuaca mendung, sistem BESS akan menyokong keperluan tenaga tersebut.
“Hanya apabila simpanan bateri BESS habis, sistem akan beralih secara automatik kepada tenaga konvensional daripada grid TNB. Hal ini memastikan sistem pengecasan sentiasa berfungsi tanpa gangguan. Ia juga mengelakkan kehabisan atau gangguan daripada mana-mana sumber tenaga,” katanya.

Mengulas mengenai fasa lanjutan dan pengkomersilan, Dr. Jasrul berkata walaupun projek di peringkat MOSTI telah selesai dengan jayanya, kerjasama ini tidak terhenti di situ sahaja.
“Satu Memorandum Perjanjian (MoA) baharu kini sedang disiapkan antara UTM dan Electrik Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikat di bawah NanoMalaysia Berhad. MoA ini bertujuan untuk menjalankan kajian lanjutan bagi menambah baik prestasi sistem serta menerokai potensi pengkomersialan yang lebih luas,” katanya lagi.
Dr. Jasrul berkata sejak dibuka, stesen ini telah menerima maklum balas yang amat positif daripada komuniti pemilik EV.
“Ramai pengguna telah mula mengecas kenderaan mereka di sini, bukan sahaja kerana kestabilan sistemnya, tetapi juga kerana kadar harga yang ditawarkan adalah lebih rendah berbanding stesen pengecas di luar kampus.
“Inisiatif ini bukan sahaja meletakkan UTM di peta dunia sebagai universiti yang menyokong teknologi rendah karbon, malah menjadi model ikutan bagi institusi pendidikan tinggi lain dalam memacu agenda mobiliti elektrik di Malaysia,” katanya lagi.

Matlamat ini sesuai dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 7, Tenaga Bersih dan Mampu Milik, kerana projek ini menumpukan kepada penggunaan tenaga solar PV yang bersih dan mesra alam serta menyediakan sistem pengecasan EV yang lestari, berdaya saing dan beroperasi dengan sumber tenaga yang boleh diperbaharui.
Projek ini juga selaras dengan SDG 13, Langkah-Langkah Mengatasi Perubahan Iklim, yang membantu mengurangkan pelepasan karbon melalui penggunaan tenaga bersih dan menyokong usaha mengurangkan impak perubahan iklim melalui inovasi tenaga lestari.
Inisiatif ini juga menyokong SDG 9, Industri, Inovasi, dan Infrastruktur, dalam menonjolkan pembangunan infrastruktur berteknologi tinggi yang inovatif dan menyokong pembangunan industri hijau serta memperkukuh kerjasama strategik antara akademik, kerajaan, dan industri.
Secara keseluruhan, inisiatif ini menyokong usaha mencapai matlamat SDG, seterusnya menumpukan kepada pembangunan tenaga bersih, inovasi teknologi, dan usaha mitigasi perubahan iklim.
