UTM terajui inisiatif sifar sisa galakkan kelestarian kampus

SDGSDG11SDG12SDG13SDG17

📝 Ringkasan

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus menunjukkan komitmen terhadap amalan kelestarian melalui pelaksanaan inisiatif sifar sisa yang komprehensif di seluruh kampus. Sejak Januari 2026, UTM telah melaksanakan pelbagai strategi untuk mengurus dan meminimumkan sisa secara berkesan. Berdasarkan data terkini, kira-kira 500 tan sisa domestik terhasil dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini. UTM mengutamakan pendekatan pengurangan, penggunaan semula dan kitar semula sebagai komponen teras dalam pelan kemampanan kampus.

JOHOR BAHRU, 30 Mac – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus menunjukkan komitmen terhadap amalan kelestarian melalui pelaksanaan inisiatif sifar sisa yang komprehensif di seluruh kampus.

Universiti ini giat melaksanakan usaha berterusan bagi mengurangkan sisa, menggalakkan kitar semula serta memupuk budaya tanggungjawab terhadap alam sekitar dalam kalangan pelajar dan kakitangan.

Arkitek Landskap, Seksyen Kelestarian dan Kesejahteraan Kampus, Bahagian Pengurusan Aset (BPA), Qamaruzzaman Mohd Noor berkata sejak Januari 2026, UTM telah melaksanakan pelbagai strategi untuk mengurus dan meminimumkan sisa secara berkesan.

Menurut beliau, berdasarkan data terkini, kira-kira 500 tan sisa domestik terhasil dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, merangkumi sisa organik, plastik dan kertas yang boleh dikitar semula. Sehubungan itu, UTM mengutamakan pendekatan pengurangan, penggunaan semula dan kitar semula sebagai komponen teras dalam pelan kemampanan kampus.

“Salah satu inisiatif utama ialah pengembangan stesen pengasingan sisa yang diletakkan secara strategik di seluruh kampus. Stesen ini memudahkan pengasingan sisa kepada kategori boleh dikitar semula, organik dan tidak boleh dikitar semula,” katanya ketika diwawancara oleh Pusat Pelestarian Kampus (UTMCCS) sempena sambutan Hari Sifar Sisa Antarabangsa 2026 yang diraikan setiap 30 Mac.

Melalui UTMCCS, pelbagai kempen kesedaran dan bengkel turut dilaksanakan bagi mendidik komuniti universiti serta masyarakat sekitar mengenai prinsip sifar sisa. Program ini memberi penekanan kepada pengurangan penggunaan plastik sekali guna, amalan membawa bekas makanan sendiri serta pengkomposan sisa organik.

Kemudahan pengkomposan di kampus kini memproses sisa landskap dan sisa organik lain untuk dijadikan kompos kaya nutrien yang digunakan bagi tujuan semaian dan pembajaan landskap. Proses ini termasuk penggunaan bahan seperti tinja kuda yang dicampur dengan habuk kayu sebelum diproses, seterusnya menghasilkan baja kompos yang berkualiti untuk kegunaan dalam kampus.

Himpunan tinja kuda yang dicampur dengan habuk kayu sebelum diproses untuk dijadikan baja kompos. Tinja kuda ini diperolehi dari UTM Equine Park, sebuah tempat menunggang kuda yang diusahakan secara komersil dalam kampus UTM Johor Bahru

Menurut Qamaruzzaman, perbandingan antara bahan mentah dan hasil kompos jelas menunjukkan keberkesanan proses tersebut, dengan sisa yang belum diproses berwarna cerah bertukar menjadi kompos berwarna gelap selepas melalui proses penguraian.

Qamaruzaman menunjukkan timbunan tinja (najis) kuda yang belum diproses (berwarna cerah) dan baja kompos yang telah diproses (warna gelap). Baja kompos ini akan digunakan untuk menampung keperluan landskap dalam kampus UTM
Mesin pengisar kompos sebelum diproses menjadi baja kompos. Mesin ini diletakkan di bawah Seksyen Pengurusan Aset (SPA) kampus Johor Bahru dan memproses tinja kuda dan sisa organik lain untuk dijadikan baja kompos

Melangkah ke hadapan, UTM berhasrat memperkukuh polisi kelestarian dengan mengintegrasikan prinsip sifar sisa dalam operasi harian universiti. Usaha ini disokong oleh komitmen berterusan ke arah penambahbaikan pengurusan sisa secara holistik.

“Sempena Hari Sifar Sisa Antarabangsa, kami berikrar untuk terus mengurangkan sisa, memulihara sumber dan membina kampus yang mampan untuk generasi akan datang,” katanya.

Pendekatan komprehensif ini bukan sahaja memperkukuh peranan UTM sebagai institusi pendidikan tinggi yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar, malah berpotensi menjadi rujukan kepada institusi lain di negara ini.

Inisiatif sifar sisa UTM sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari, khususnya SDG 12 yang menekankan penggunaan dan pengeluaran bertanggungjawab melalui pengurangan penjanaan sisa serta pengurusan sumber yang lestari. Selain itu, usaha ini turut menyokong SDG 13 melalui pengurangan pelepasan gas rumah hijau berkaitan sisa, serta SDG 11 dengan menggalakkan amalan kehidupan lestari dalam persekitaran kampus.

Penglibatan komuniti dalaman dan luaran kampus juga mencerminkan sokongan terhadap SDG 17 melalui kerjasama strategik dalam menjayakan agenda kelestarian.

Secara keseluruhan, inisiatif ini menyumbang kepada pembentukan komuniti kampus yang lebih lestari dan bertanggungjawab terhadap pemeliharaan alam sekitar.

Explore More

UTM Open Day