📝 Ringkasan
Program Syarahan Umum Profesor Adjung FABU UTM telah diadakan di Dewan Premier Sarawak, Blok B12, FABU. Syarahan bertajuk “Land Management in Sarawak” telah disampaikan oleh Datu Awang Zamhari Awang Mahmood, Pengarah Tanah dan Survei Sarawak. Syarahan ini telah menghimpunkan 300 orang peserta, termasuk pelajar dari Sarawak yang sedang melanjutkan pengajian di UTM. Syarahan ini bertujuan memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai aspek pengurusan tanah di Sarawak, termasuk dasar pentadbiran tanah, pembangunan tanah, pengurusan sumber, cabaran dan hala tuju pengurusan tanah.
JOHOR BAHRU, 16 April — Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Program Syarahan Umum Profesor Adjung yang disampaikan oleh Datu Awang Zamhari Awang Mahmood, Pengarah Tanah dan Survei Sarawak, bertempat di Dewan Premier Sarawak, Blok B12, FABU. Program ini merupakan salah satu usaha mengeratkan hubungan antara pihak industri dan universiti, terutamanya dalam pelantikan calon Profesor Adjung bagi universiti.

Syarahan umum ini telah dianjurkan dengan kerjasama antara Jabatan Geoinformasi dan Jabatan Harta Tanah FABU. Program yang bertajuk “Land Management in Sarawak” ini telah menghimpunkan seramai 300 orang peserta yang terdiri daripada pelajar Jabatan Geoinformasi dan Jabatan Harta Tanah termasuk pelajar dari Sarawak yang sedang melanjutkan pengajian di UTM.
Delegasi dari Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak yang terdiri daripada Profesor Adjung Datu Awang Zamhari Awang Mahmood dan lima orang pegawai kanan telah disambut oleh Dekan FABU, Prof. Sr Dr. Kherun Nita Ali; Timbalan Dekan Penyelidikan, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Mohd Nadzri Mohd Reba; Ketua Jabatan Geoinformasi, Sr Dr. Othman Zainon serta pensyarah-pensyarah kanan dari Jabatan Geoinformasi dan Jabatan Harta Tanah. Turut hadir ialah Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara, Ramzi Abdillah.

Syarahan ini diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai aspek pengurusan tanah di Sarawak yang merangkumi dasar pentadbiran tanah, pembangunan tanah, pengurusan sumber serta cabaran dan hala tuju pengurusan tanah sejajar dengan perkembangan teknologi dan pembangunan negeri.

Dalam syarahan tersebut, Datu Awang Zamhari Awang Mahmood turut berkongsi pengalaman dan pandangan berkaitan sistem pentadbiran tanah di Sarawak yang merangkumi perundangan tanah berasaskan Sarawak Land Code, peranan JTS Sarawak dalam pentadbiran dan pembangunan tanah, pengurusan tanah adat Bumiputera (NCR) serta penggunaan teknologi dan sistem digital dalam memperkukuh tadbir urus tanah.
Beliau turut menekankan kepentingan pengurusan tanah yang sistematik dan lestari dalam menyokong pembangunan ekonomi, kesejahteraan rakyat serta menghadapi cabaran semasa seperti urbanisasi, pembangunan mampan dan pengurusan sumber semula jadi di Sarawak.

Program ini turut membuka ruang interaksi dua hala antara pelajar dan pihak industri melalui sesi soal jawab yang memberi peluang kepada peserta untuk mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai peluang kerjaya, cabaran profesional serta perkembangan semasa dalam bidang pengurusan tanah dan geospatial di Sarawak.
Penganjuran program seperti ini dilihat mampu memperkukuh hubungan antara institusi akademik dan agensi kerajaan, di samping memberi nilai tambah kepada pelajar dalam memahami aplikasi sebenar pengurusan tanah dan geospatial di peringkat industri dan pentadbiran negeri.