📝 Ringkasan
Busy Book-Iskandar Puteri Kesayanganku, sebuah buku aktiviti interaktif, dilancarkan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) Haji Hasrin Kamal Hashim. Buku ini direka bagi melibatkan kanak-kanak dalam pembelajaran bebas skrin melalui permainan sentuhan dan mengandungi aktiviti yang direka khas untuk kanak-kanak prasekolah berasaskan konteks tempatan. Buku ini turut menampilkan elemen pendidikan alam sekitar dan membantu kanak-kanak mengembangkan kemahiran motor halus, penguasaan ejaan dan kesedaran terhadap kepentingan menjaga alam sekitar.
ISKANDAR PUTERI, 5 Mac – Busy Book – Iskandar Puteri Kesayanganku, yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah dari Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), telah dilancarkan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Haji Hasrin Kamal Hashim pada 5 Mac 2026 di Auditorium MBIP. Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri oleh Dekan FEST, Prof. Dr. Noraffandy Yahaya.
Busy book atau dalam bahasa Melayu dikenali sebagai buku senyap merupakan buku aktiviti interaktif dan praktikal yang direka bagi melibatkan kanak-kanak dalam pembelajaran bebas skrin melalui permainan sentuhan.
Buku ini menampilkan pelbagai halaman dengan tugasan seperti melekatkan dan memadankan gambar yang membantu mengembangkan kemahiran motor halus serta kebolehan kognitif kanak-kanak.
Dalam konteks Busy Book – Iskandar Puteri Kesayanganku, buku ini mengandungi pelbagai aktiviti yang direka khas untuk kanak-kanak prasekolah berasaskan konteks tempatan, khususnya kawasan di bawah pentadbiran MBIP.
Buku ini dirangka dengan menerapkan elemen pendidikan alam sekitar yang berlatarbelakangkan lokasi ikonik di Iskandar Puteri. Aktiviti yang disediakan menyokong perkembangan kemahiran motor halus, penguasaan ejaan berasaskan suku kata serta pembinaan kesedaran terhadap kepentingan menjaga alam sekitar.

Dari aspek memupuk kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar, aktiviti melekat dan memadan dalam buku ini memaparkan pelbagai situasi kehidupan harian. Antaranya termasuk aktiviti menyiram pokok bunga dan mengasingkan bahan kitar semula dengan latar belakang Kota Iskandar. Terdapat juga aktiviti menutup pili air serta mematikan suis lampu dan kipas dengan latar belakang Masjid Kota Iskandar.
Selain itu, aktiviti melakukan senaman dan membawa bekas makanan sendiri dipaparkan dengan latar belakang Universiti Teknologi Malaysia. Buku ini turut menampilkan aktiviti menanam pokok bakau dan mengutip sampah dengan latar belakang Kampung Sungai Melayu, serta aktiviti menunggang basikal dan membuang sampah dengan latar belakang Taman Tema Legoland Malaysia.
Di samping itu, busy book ini turut mengandungi kod respons pantas (QR) yang membolehkan kanak-kanak menonton video berkaitan setiap lokasi ikonik tersebut serta animasi yang menggambarkan tindakan menjaga alam sekitar di kawasan berkenaan.
Busy Book – Iskandar Puteri Kesayanganku ini juga membantu kanak-kanak mengembangkan kemahiran mengeja mengikut suku kata dengan rujukan kepada Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) oleh ahli kumpulan projek.
Kod QR disertakan bagi paparan animasi dan video
Antara animasi yang terkandung dalam Busy Book
Antara manfaat utama aktiviti dalam busy book ini ialah pengukuhan kemahiran motor halus. Aktiviti seperti mencabut watak dan melekatkannya semula sambil diberi penerangan oleh guru memerlukan pergerakan otot yang tepat pada jari dan pergelangan tangan, kemahiran yang penting dalam proses menulis.
Berbeza dengan penggunaan masa skrin yang pasif, pengalaman sentuhan melalui aktiviti ini membolehkan kanak-kanak meneroka tekstur dan bentuk secara fizikal. Proses ini secara tidak langsung meningkatkan koordinasi mata dan tangan serta kesedaran terhadap ruang.
Kajian juga menunjukkan bahawa kanak-kanak mampu mengekalkan sehingga 75 peratus daripada perkara yang dipelajari melalui aktiviti melakukan, berbanding hanya sekitar 10 peratus melalui pembacaan semata-mata.
Kemasukan kod QR menjadikan busy book ini sebagai alat pembelajaran multimedia interaktif. Melalui imbasan kod tersebut, kanak-kanak boleh mengakses animasi dan video yang memberikan maklum balas visual serta auditori secara segera.
Pendekatan ini menyokong perkembangan kemahiran visual kanak-kanak serta meningkatkan motivasi pembelajaran secara keseluruhan. Penggunaan teknologi ini pula dipandu oleh guru bagi memastikan masa skrin berfungsi untuk memperkayakan pengalaman permainan fizikal dan bukannya menggantikannya.
Aktiviti ejaan yang disediakan dalam buku ini juga menjadi asas penting kepada kejayaan akademik jangka panjang. Latihan ejaan secara eksplisit membantu kanak-kanak prasekolah memahami hubungan antara huruf dan bunyi (fonik), sekali gus meningkatkan kefasihan membaca serta pemerolehan perbendaharaan kata.
Apabila kanak-kanak berinteraksi dengan huruf untuk membentuk perkataan, mereka turut membangunkan kemahiran kognitif seperti pengecaman corak, ingatan serta pemikiran logik.
Selain itu, penguasaan ejaan secara automatik membolehkan kanak-kanak menumpukan tenaga mental kepada ekspresi kreatif dan penceritaan tanpa terlalu bergelut dengan pembinaan perkataan asas.
Video Kampung Sungai Melayu yang boleh ditonton melalui imbasan kod QR
Sebagai rumusan, gabungan aktiviti dalam busy book ini berupaya meningkatkan kesedaran kanak-kanak terhadap kepentingan menjaga alam sekitar. Busy Book – Iskandar Puteri Kesayanganku membuktikan bahawa bahan pembelajaran berasaskan konteks tempatan mampu menyokong perkembangan awal kanak-kanak secara lebih holistik.
Penggabungan elemen budaya, persekitaran dan aktiviti amali bukan sahaja merangsang perkembangan kognitif serta kemahiran motor halus, malah memupuk rasa kasih dan identiti terhadap tempat tinggal sejak usia awal.
Inisiatif ini juga berpotensi diperluaskan sebagai model pembelajaran komuniti yang relevan, bermakna dan dekat dengan dunia kanak-kanak.
Pada kesempatan ini, penulis turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli penyelidikan yang terlibat, iaitu Dr. Mohamad Ikram Zakaria, Prof. Madya Dr. Zakiah Mohamad Ashari, Prof. Madya Dr. Nurul Farhana Jumaat, Dr. Abdul Hakim Abd Jalil, Nurain Nadhirah Mohamad, Mohd Helmy Daud dan Siti Noraini Mohd Zali dari FEST UTM; Dr. Umar Haiyat Abdul Kohar dari Fakulti Pengurusan UTM; Kamaruzaman Abdullah dari Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru; serta guru-guru prasekolah dari beberapa buah sekolah di Iskandar Puteri atas kerjasama yang telah diberikan dalam menjayakan projek ini.

