Forum Suara Selatan, Aspirasi Negara perkukuh agenda Kepimpinan Muda IPTA

📝 Ringkasan

Forum “Suara Selatan, Aspirasi Negara” yang diadakan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memfokuskan peranan pemimpin muda Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dalam membentuk masa depan Malaysia. Forum ini menekankan kepentingan latihan sistematik, kepercayaan, peningkatan kemahiran berterusan, dan kesediaan pemimpin muda untuk mencari peluang di luar universiti. Selain itu, ia turut menyentuh keperluan institusi pendidikan untuk selari dengan keperluan industri dan pembangunan holistik pelajar melalui pembentukan nilai dan pemikiran kritis.

JOHOR BAHRU, 3 Mac – Para pemimpin muda Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) memainkan peranan yang signifikan dalam membentuk masa depan Malaysia yang lebih dinamik dan berdaya saing. Sehubungan itu, peranan strategik golongan ini menjadi fokus utama dalam “Forum Suara Selatan, Aspirasi Negara: Pemimpin Muda IPTA Membentuk Masa Depan Malaysia” yang dianjurkan sempena program Kembara Karisma Pemimpin Muda MADANI 2024 Zon Selatan. Forum tersebut berlangsung di Dewan Senat Ainuddin Wahid, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Turut berlangsung ceramah Kerangka Kepimpinan Pemimpin Muda MADANI: Integrasi 3H “Head, Heart dan Hand” serta sesi Townhall secara dalam talian bersama YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi. IPTA Zon Selatan yang hadir termasuk Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), serta Politeknik dan Kolej Komuniti.

Sebahagian hadirin yang terdiri daripada barisan kepimpinan muda mengikuti forum di Dewan Senat Ainuddin Wahid

Selain menghimpunkan barisan kepimpinan dari pelbagai IPTA, forum ini turut menampilkan panelis berpengalaman daripada pelbagai latar institusi dan industri. Antaranya ialah YBhg. Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah, Pendaftar UTM; Nazrul Aziz, Ketua Pegawai Strategi Kumpulan, Talent Corporation Malaysia Berhad; serta Dr. Mohd Hilmi Ramli, Pengarah Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofiah (RZS-Casis), UTM. Sementara itu, sesi forum dikendalikan oleh Ts. Dr. Mohd Khairil Anbia Chi Adam, Felo Muda Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT).

Ts. Dr. Mohd Khairil Anbia, moderator yang mengendalikan sesi Forum Suara Selatan

Menjawab persoalan mengenai bagaimana universiti dapat membuka ruang kepimpinan yang lebih bermakna kepada pemimpin muda tanpa menjejaskan kestabilan institusi, Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah menegaskan bahawa pihak universiti telah mengubah pendekatan bagi memastikan lebih banyak peluang diberikan kepada generasi pelapis untuk beraksi di pentas kepimpinan. Beliau yang dilantik sebagai Pendaftar UTM pada usia 45 tahun berkongsi bahawa suatu ketika dahulu, program bimbingan serta perkongsian pengalaman seperti yang dilaksanakan pada hari ini tidak wujud secara tersusun. Oleh itu, usaha memperkukuh ekosistem pembangunan kepimpinan muda kini dilihat sebagai satu keperluan strategik dan bukannya sekadar inisiatif sampingan.

Sehubungan itu, beliau menekankan beberapa aspek utama, iaitu komitmen universiti dalam menyediakan latihan yang sistematik dan berimpak tinggi, mewujudkan kepercayaan kepada pemimpin muda untuk membuat keputusan penting dengan bimbingan yang sewajarnya, serta penekanan terhadap peningkatan kemahiran secara berterusan agar mereka kekal relevan dalam landskap pendidikan tinggi yang dinamik.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan agar pemimpin muda tidak takut untuk menjalani latihan di luar universiti demi mendapatkan pendedahan antarabangsa dan memperluas jaringan profesional. Tambahnya lagi, keberanian serta kesediaan mengubah cara berfikir merupakan kunci utama untuk mencapai kejayaan yang lestari.

“Jangan tunggu orang tunjuk jalan, tetapi bermula daripada diri sendiri, cari sendiri dan reka sendiri. Kejayaan adalah dengan rekaan,” ujar beliau, sambil menegaskan bahawa kejayaan perlu dirancang secara sedar dan berstrategik.

Dato’ Dr. Mohd Sharil berkongsi pandangan mengenai keberanian institusi memberi ruang kepimpinan kepada generasi muda

Sementara itu, Nazrul Aziz menggariskan peranan signifikan ahli akademik dalam memastikan graduan yang dilahirkan bukan sahaja cemerlang di podium universiti, malah berupaya melaksanakan tugasan dengan berkesan serta bersedia menghadapi cabaran pasaran kerja. Menurut beliau, institusi pendidikan perlu dipacu oleh keperluan industri dan perkembangan ekonomi semasa agar kurikulum yang dirangka sentiasa relevan serta responsif terhadap perubahan.

Beliau menjelaskan bahawa perbincangan di peringkat industri kini lebih menumpukan kepada kemahiran sebenar yang dimiliki bakat berbanding kelayakan akademik semata-mata. Sehubungan dengan itu, universiti perlu memberi penekanan terhadap pembangunan kompetensi yang bersifat praktikal, adaptif dan sejajar dengan kehendak majikan.

“Satu perkara penting yang kami dapati daripada kajian ialah aspek paling utama yang perlu ada pada bakat masa hadapan ialah ketangkasan pembelajaran atau ”learning agility,” ujar beliau.

Nazrul Aziz menekankan kepentingan ketangkasan pembelajaran dan keselarasan institusi pendidikan dengan keperluan industri

Menurutnya lagi, keupayaan untuk belajar semula, menyesuaikan diri dan bergerak pantas dalam persekitaran baharu merupakan nilai tambah yang amat dihargai oleh industri.

Dari sudut keusahawanan pula, beliau menegaskan bahawa pembentukan usahawan tidak berlaku sepenuhnya dalam bilik darjah. Sebaliknya, ia memerlukan ekosistem yang menyokong, merangkumi jaringan industri, akses kepada pembiayaan, bimbingan mentor serta ruang eksperimen yang selamat untuk mencuba dan belajar daripada pengalaman.

Mnakala Dr. Mohd Hilmi Ramli pula mengupas peranan pemimpin muda IPTA dalam menyumbang kepada pembangunan pelajar secara holistik yang merangkumi pembentukan nilai, karakter dan kepimpinan masyarakat.

“Pembentukan idea serta pemikiran merupakan asas yang amat penting dalam membangunkan seseorang pemimpin muda yang berwibawa. Dalam hal ini, saya merujuk kepada tokoh ilmuwan seperti Syed Muhammad Naquib al-Attas yang gagasannya diiktiraf di peringkat antarabangsa dalam membentuk masyarakat beradab dan berteraskan ilmu,” ujar beliau.

Dr. Mohd Hilmi Ramli menghuraikan kepimpinan berteraskan ilmu, nilai dan tradisi dalam membentuk pemimpin muda berwibawa

Selain itu, beliau turut menyentuh konsep kepimpinan tradisi seperti  Rais yang membawa maksud ketua atau kepala, Imam yang berada di hadapan serta Amir yang bererti mengarah. Menurutnya, istilah-istilah ini mengandungi ciri kepimpinan yang telah lama berakar dalam tradisi dan tamadun setempat. Justeru, pemimpin muda perlu memahami bahawa pentadbiran hanyalah proses akhir yang mesti didahului oleh pemikiran, perancangan dan analisis yang mendalam.

Dalam konteks yang sama, beliau turut menekankan kepentingan budaya hormat-menghormati dalam ekosistem universiti yang melibatkan pensyarah, pentadbir dan pelajar kerana hubungan yang harmoni menjadi asas kepada kestabilan institusi dan kecemerlangan bersama.

Beliau juga berkongsi pandangan mengenai cabaran generasi muda dalam era transformasi digital. Dalam konteks ini, pemimpin muda perlu bersikap kritis dan analitis serta tidak sekadar menjadi pengguna pasif teknologi. Sebaliknya, teknologi wajar dimanfaatkan sebagai alat untuk memperkasa ilmu, memperluas pengaruh positif dan membina masyarakat yang berpengetahuan.

Secara keseluruhannya, forum ini dengan jelas menggariskan bahawa pembangunan pemimpin muda di IPTA perlu diperkukuh melalui pendedahan yang bermakna, keupayaan berfikir secara kritis, penguasaan kemahiran yang relevan dengan industri serta pembentukan nilai yang menyeluruh. Hal ini selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 yang menekankan kepentingan melahirkan pemimpin yang dipacu oleh matlamat bersama dan hala tuju yang jelas.

Explore More

UTM Open Day