Bengkel GM dan EM UTM perkukuh agenda kelestarian kampus

📝 Ringkasan

Bengkel GM dan EM UTM telah berlangsung di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan hadirnya 35 orang Pengurus Hijau dan Pengurus Tenaga dari tiga kampus utama UTM. Bengkel ini bertujuan memperkukuh usaha kelestarian universiti dan menyelaras aktiviti kelestarian bagi tahun 2026. Pengarah UTMCCS, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Fadhil Md. Din berkata bengkel ini akan merangka strategi kelestarian bagi tahun 2026 dan melihat kembali kesemua program yang telah dijalankan sepanjang tahun 2025.

JOHOR BAHRU, 16 Mac – Seramai 35 orang Pengurus Hijau (Green Managers – GM) dan Pengurus Tenaga (Energy Managers – EM) dari pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) seluruh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah hadir ke Bengkel GM dan EM 2026 anjuran Pusat Pelestarian Kampus UTM (UTMCCS).

Program yang berlangsung selama sehari ini menyaksikan kehadiran GM dan EM dari tiga kampus utama UTM iaitu Johor Bahru, Kuala Lumpur dan Pagoh.

Pengarah UTMCCS, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Fadhil Md. Din berkata bengkel ini bertujuan memperkukuhkan lagi usaha kelestarian universiti serta menyelaras aktiviti dan program yang akan dijalankan sepanjang tahun 2026.

Pengarah UTMCCS, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Fadhil Md. Din memimpin GM dan EM yang hadir untuk menyusun aktiviti kelestarian bagi PTJ masing-masing bagi tahun 2026

“Antara agenda utama dalam bengkel ini adalah untuk merangka strategi kelestarian bagi tahun 2026 di samping melihat kembali kesemua program yang telah dijalankan sepanjang tahun 2025 untuk proses penilaian semula dan memperkemaskan pelan tindakan yang akan dilaksanakan.

“Ia merupakan satu usaha strategik untuk memastikan sebarang aktiviti kelestarian yang berjalan di universiti berada dalam landasan yang tepat, sejajar dengan visi dan misi universiti untuk mencapai kecemerlangan global,” katanya.

Prof. Fadhil berkata demikian ketika ditemui selepas selesai program ini yang berlangsung di Bilik Seminar Kenanga, Institut Pembangunan Bioproduk (IBD) UTM Johor Bahru.

Para peserta tekun mendengar penerangan sepanjang Bengkel GM dan EM 2026

Menurut Prof. Fadhil lagi, bengkel ini juga mampu untuk menjadi platform berkesan bagi menyelaraskan aktiviti kelestarian yang akan menyokong aspirasi UTM ASCEND 2030, pelan strategik yang digubal untuk meningkatkan kebitaraan institusi.

“Antara matlamat besar pelan ini adalah untuk memastikan UTM kekal dalam kalangan universiti teratas dunia termasuk mencapai kedudukan dalam Top 100 QS World University Rankings dan menarik minat 300,000 pelajar dari seluruh dunia.

“Pelan ini juga menekankan falsafah universiti ‘Kerana Tuhan untuk Manusia’ yang menyeimbangkan kecemerlangan akademik dengan tanggungjawab sosial dan kemanusiaan,” katanya lagi.

Prof. Fadhil juga turut menyampaikan pesanan penting kepada peserta bengkel agar sentiasa mengikuti perancangan yang telah disusun di samping mengamalkan sikap bantu-membantu dalam merealisasikan agenda kelestarian universiti yang lebih besar.

“Melalui pendekatan yang bersepadu dan sistematik, UTM berharap dapat mencapai sasaran-sasaran strategik yang telah ditetapkan dalam pelan UTM ASCEND 2030.

“Program ini diharapkan dapat menjadi platform bagi memperkukuh jalinan kerjasama antara semua pihak yang terlibat di samping memastikan pelaksanaan aktiviti kelestarian berjalan lancar dan berkesan sepanjang tahun 2026,” katanya lagi.

Inisiatif mengadakan Bengkel untuk GM dan EM ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang berkaitan seperti SDG 13, Tindakan terhadap Perubahan Iklim, SDG 7, Tenaga Bersih dan Boleh Dicapai, di samping SDG 12, Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab, dan juga SDG 17, Kerjasama untuk Mencapai Matlamat.

Timbalan Pengarah UTMCCS, LAr. Dr. Zanariah Jasmani juga hadir sebagai fasilitator dalam program ini
Penolong Pendaftar Kanan UTMCCS, Kiflee Jimpi memberikan penerangan kepada peserta bengkel

Explore More

UTM Open Day