JOHOR BAHRU, 17 Feb – Dua pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dipilih sebagai Imam Tarawih di Osaka, Jepun, sepanjang Ramadan ini sekali gus mengangkat nama institusi di pentas dakwah antarabangsa

Dua pelajar yang berlepas ke Osaka malam tadi, Muhammad Danish Arman Shah, merupakan pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Pembangunan Sumber Manusia) dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan manakala Iman Solehin Zulyadi, Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal.

Kedua-duanya menerima jemputan rasmi daripada Japan Da’wah Centre untuk berkhidmat sebagai Imam Tarawih bermula 17 Februari hingga 23 Mac ini di Osaka.

Danish (empat dari kanan) dan Iman (tengah) bersama keluarga sebelum berlepas ke Osaka, Jepun malam tadi.

Pemilihan itu dilihat sebagai pengiktirafan terhadap pendekatan pendidikan holistik UTM yang menekankan keseimbangan antara kecemerlangan akademik, kekuatan rohani dan pembentukan sahsiah mahasiswa.

Sebagai antara graduan terbaik 5 Excellence Track Programme (5ETP) – Teras TeknoHafiz, kedua-dua mereka dibentuk melalui platform strategik universiti yang menyepadukan penguasaan ilmu profesional, penghayatan al-Quran dan pembangunan keperibadian berteraskan adab. Pendekatan itu memastikan mahasiswa bukan sahaja kompeten dalam bidang kepakaran masing-masing, malah memiliki disiplin diri, integriti serta kefahaman tanggungjawab sosial yang tinggi.

Penglibatan di Jepun juga selari dengan aspirasi UTM ASCEND 2030 yang menekankan pembangunan graduan berilmu, beradab dan berwawasan global. Melalui kerangka ini, universiti memberi penekanan terhadap nilai hormat, amanah, tanggungjawab, kesederhanaan serta keupayaan berinteraksi secara profesional dalam persekitaran pelbagai budaya.

Dalam konteks masyarakat minoriti Muslim di Jepun, peranan sebagai imam bukan sekadar memimpin solat sunat Tarawih, malah menuntut kepimpinan rohani yang berhemah, komunikasi antara budaya yang berkesan serta akhlak terpuji dalam setiap interaksi.

Penglibatan ini turut mencerminkan komitmen UTM melahirkan graduan yang mampu berperanan sebagai duta ilmu, budaya dan nilai sejagat di peringkat antarabangsa. Selain memimpin ibadah sepanjang Ramadan, kedua-dua graduan berkenaan dijangka menjadi contoh sahsiah dan disiplin yang mencerminkan imej Islam serta reputasi Universiti sebagai institusi pendidikan tinggi yang membina insan seimbang.

UTM dalam satu kenyataan memaklumkan Universiti ini sentiasa menyokong inisiatif yang memperkukuh peranan graduan sebagai khalifah yang membawa manfaat kepada masyarakat dan kemanusiaan sejagat, selari dengan pelaksanaan agenda UTM ASCEND 2030.

Amanah ini diharapkan dapat digalas dengan baik sekali gus mengharumkan nama UTM di persada antarabangsa.

Explore More

UTM Open Day