📝 Ringkasan
112 pelajar Sekolah Agama Tunjuk Laut, Kota Tinggi menyertai Program STEM Dr Solar yang dianjurkan oleh UTM CCS Cawangan Kuala Lumpur. Program ini bertujuan memperkenalkan konsep asas tenaga solar melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman dan meningkatkan kesedaran pelajar terhadap teknologi tenaga boleh baharu. Pelajar membina model sistem solar berskala kecil secara berkumpulan dalam aktiviti amali pemasangan dan pengujian Solar STEM Kit. Program ini disokong oleh rakan strategik industri dan korporat, termasuk Yayasan MR. DIY dan Yayasan JCorp.
KOTA TINGGI, 10 Feb – Seramai 112 pelajar Sekolah Agama Tunjuk Laut, Kota Tinggi menyertai Program STEM Dr Solar, satu inisiatif pendidikan berteraskan sains, teknologi dan kelestarian tenaga yang dianjurkan oleh Pusat Pelestarian Kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM CCS) Cawangan Kuala Lumpur. Program ini merupakan kesinambungan kepada kejayaan The Future Powered Project yang sebelum ini menunjukkan impak positif dalam meningkatkan kesedaran dan pemahaman pelajar terhadap teknologi tenaga boleh baharu.
Program ini direka khusus untuk memperkenalkan konsep asas tenaga solar melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiental learning). Sepanjang sesi, pelajar didedahkan kepada prinsip asas penjanaan elektrik menggunakan tenaga suria, komponen utama sistem fotovolta serta peranan tenaga boleh baharu dalam menangani perubahan iklim dan menjamin kelestarian alam sekitar.
Kemuncak program ialah aktiviti amali pemasangan dan pengujian Solar STEM Kit, yang memberi peluang kepada pelajar membina model sistem solar berskala kecil secara berkumpulan. Pendekatan ini bukan sahaja merangsang pemikiran kritis dan kreativiti, malah memupuk minat awal terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dalam kalangan pelajar sekolah agama, selari dengan aspirasi pendidikan inklusif negara.

Program ini turut disokong oleh rakan strategik industri dan korporat. Yayasan MR. DIY menaja sepenuhnya set Solar STEM Kit yang digunakan sepanjang program, manakala Yayasan JCorp menyalurkan sumbangan melalui penajaan sistem solar fotovolta berkapasiti 5.6 kilowatt-peak (kWp) puncak di sekolah tersebut. Selain pemasangan sistem solar, Yayasan JCorp turut menaja aktiviti pendidikan dan kelestarian sepanjang tahun 2026, menjadikan program ini berimpak jangka panjang dan berterusan.
Menurut penganjur, pelaksanaan Program STEM Dr Solar bukan sekadar aktiviti sekali sahaja, sebaliknya sebahagian daripada strategi jangka panjang UTM dalam memperluas pendidikan tenaga mampan di peringkat akar umbi, khususnya di sekolah komuniti. Inisiatif ini secara langsung menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu SDG 4, Pendidikan Berkualiti, SDG 7, Tenaga Bersih dan Mampu Milik serta SDG 17, Perkongsian untuk Mencapai Matlamat.
Pihak sekolah menyambut baik pelaksanaan program ini dan menyatakan komitmen untuk memanfaatkan sistem solar yang dipasang sebagai makmal pembelajaran sebenar (living lab) bagi pelajar, di samping menyumbang kepada pengurangan kos elektrik dan pelepasan karbon sekolah.

Kejayaan penganjuran Program STEM Dr Solar di Sekolah Agama Tunjuk Laut ini memperkukuh peranan UTM sebagai universiti yang bukan sahaja menjana ilmu, malah menterjemahkan kepakaran akademik kepada impak sosial dan kelestarian sebenar, selaras dengan agenda universiti mampan di peringkat nasional dan global.