February 15, 2026

‘Sehari di Taman Syurga’ perkasa semangat kebersamaan komuniti Pontian

📝 Ringkasan

Program ‘Sehari di Taman Syurga’ di Kampung Sungai Bunyi Pontian telah meningkatkan semangat kebersamaan antara institusi pengajian tinggi, agensi keselamatan dan komuniti setempat. Program ini melibatkan 64 peserta yang membersihkan kawasan masjid dan tanah perkuburan Islam kampung. Usaha ini menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) seperti menjadikan penempatan manusia inklusif, selamat, berdaya tahan dan mampan serta meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pembangunan mampan.

PONTIAN, 10 Feb – Semangat kesukarelawanan dan kebersamaan jelas terpancar menerusi Program Khidmat Masyarakat Pembersihan Masjid dan Tanah Perkuburan ‘Sehari di Taman Syurga’ yang berlangsung di Kampung Sungai Bunyi, Pontian. Program anjuran Jabatan Bendahari, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ini menghimpunkan seramai 64 peserta terdiri daripada 40 staf Jabatan Bendahari UTM, 15 pelajar Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI) serta sembilan anggota Balai Polis Pontian.

Program bermula dengan ucapan pembukaan oleh Ketua Kampung Sungai Bunyi, Mohd Halif Kamaruddin. Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan atas komitmen pelbagai pihak dalam menjayakan program berbentuk keceriaan kampung seperti ini. Menurut beliau, penglibatan institusi pengajian tinggi dan agensi keselamatan bersama komuniti setempat mencerminkan semangat muafakat yang wajar terus diperkasakan.

Ketua Kampung Sungai Bunyi, Mohd Halif Kamaruddin menyampaikan ucapan aluan

“Program seperti ini bukan sahaja menceriakan kawasan masjid dan tanah perkuburan, malah memperkukuh hubungan silaturahim antara institusi dan masyarakat kampung,” katanya.

Selepas sesi taklimat keselamatan dan pembahagian tugas, peserta dibahagikan kepada enam kumpulan. Satu kumpulan ditugaskan membersihkan kawasan masjid, manakala lima kumpulan lagi memberi tumpuan kepada kerja pembersihan tanah perkuburan Islam kampung seperti memotong rumput, mengutip sampah sarap, memangkas dahan pokok serta mengindahkan semula kawasan pusara agar lebih kemas dan selesa diziarahi.

Sukarelawan menjalankan kerja memesin rumput di kawasan tanah perkuburan
Sukarelawan Jabatan Bendahari UTM bersama penduduk kampung bergotong-royong membersihkan kawasan

Pelaksanaan program ini secara langsung menyokong beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SG) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Antaranya ialah SDG 11, Bandar dan Komuniti Mampan yang menekankan kepentingan menjadikan penempatan manusia inklusif, selamat, berdaya tahan dan mampan. Usaha membersihkan serta menceriakan kawasan masjid dan tanah perkuburan membantu mewujudkan persekitaran komuniti yang lebih teratur, selamat dan kondusif.

Sukarelawan dari Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim turut sama mengindahkan kawasan pusara

Selain itu, program ini turut menyumbang kepada SDG 3, agenda Kesihatan Baik dan Kesejahteraan apabila aspek kebersihan persekitaran diberi perhatian. Kawasan yang bersih dan bebas daripada semak-samun dapat mengurangkan risiko pembiakan serangga perosak serta meningkatkan keselesaan penduduk setempat.

Penglibatan pelajar Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim juga menyokong SDG 4, Pendidikan Berkualiti, khususnya dalam aspek pembelajaran berasaskan pengalaman (experiental learning). Melalui penyertaan dalam aktiviti khidmat masyarakat, pelajar berpeluang memupuk nilai empati, tanggungjawab sosial dan kepimpinan yang tidak diperoleh sepenuhnya di dalam bilik kuliah.

Kebersihan ruang mimbar masjid turut diberi perhatian semasa proses pembersihan

Kolaborasi antara UTM, KUIJSI, pihak polis dan komuniti kampung turut mencerminkan semangat SDG 17, Perkongsian untuk Matlamat yang menekankan kepentingan kerjasama strategik dalam menjayakan agenda pembangunan mampan.

Program berakhir dengan sesi jamuan di dewan terbuka masjid dalam suasana mesra dan harmoni. Majlis turut disempurnakan dengan penyampaian sijil penghargaan sebagai simbol kerjasama antara wakil Jabatan Bendahari UTM, pihak KUIJSI dan Ketua Kampung Sungai Bunyi.

Penganjuran ‘Sehari di Taman Syurga’ bukan sahaja menceriakan persekitaran fizikal kampung, malah meninggalkan impak positif dari segi pengukuhan hubungan sosial dan peningkatan kesedaran terhadap kepentingan pembangunan mampan. Program seumpama ini diharap dapat diteruskan sebagai usaha berterusan membina komuniti yang harmoni, bersih dan sejahtera.

Explore More

UTM Open Day