February 17, 2026

Program High Tea WANGI UTM perkukuh jaringan dan aspirasi wanita universiti

📝 Ringkasan

Program High Tea oleh Persatuan Wanita Teknologi (WANGI) UTM telah berjaya memperkukuh jaringan dan sokongan komuniti wanita universiti. Program ini yang dihadiri seramai 70 orang wanita dari pelbagai peringkat universiti, termasuk Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, telah melancarkan logo baharu WANGI sebagai simbol transformasi dan pemerkasaan wanita universiti. Program ini juga menyediakan ruang untuk berkongsi pengalaman, idea dan aspirasi berkaitan pembangunan wanita, kepimpinan, kesejahteraan holistik dan keseimbangan kerjaya serta keluarga dalam konteks komuniti universiti.

JOHOR BAHRU, 11 Feb – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh jaringan dan sokongan komuniti wanita universiti melalui penganjuran Program High Tea oleh Persatuan Wanita Teknologi (WANGI) UTM yang berlangsung dalam suasana penuh bermakna di kediaman rasmi Naib Canselor UTM. Program ini menghimpunkan seramai 70 orang wanita yang terdiri daripada ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JPU) Wanita, Ketua Kampus Cawangan Kuala Lumpur, Ketua Kampus UTM Cawangan Pagoh, Ahli Senat Wanita, isteri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), isteri Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), isteri dekan, ketua-ketua wanita, wakil persatuan di UTM serta mantan Pendaftar UTM, Nor Azizah Ismail.

Kemuncak program ini ialah pelancaran logo baharu WANGI yang telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim bersama Penaung WANGI, Rozita Abdul, Pengerusi WANGI, Prof. Madya Ir. Dr. Mimi Haryani Hassim serta Timbalan Pengerusi WANGI UTM Cawangan Kuala Lumpur, Ts. ChM. Dr. Rozzeta Dolah. Pelancaran ini melambangkan nafas baharu WANGI dalam memperkukuh peranan dan hala tuju persatuan sebagai platform strategik pemerkasaan wanita di universiti.

Naib Canselor UTM menyempurnakan pelancaran logo baharu WANGI sebagai simbol transformasi dan pemerkasaan wanita universiti

Penganjuran program ini selari dengan objektif utama WANGI untuk mengukuhkan jaringan profesional antara ahli WANGI, ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Wanita, Ahli JPU Wanita, dekan wanita serta isteri pemimpin universiti. Jaringan ini berperanan sebagai ekosistem sokongan yang memperkukuh kolaborasi strategik dan perkongsian kepakaran.

Selain itu, program ini turut menyediakan ruang untuk berkongsi pengalaman, idea dan aspirasi berkaitan pembangunan wanita, kepimpinan, kesejahteraan holistik dan keseimbangan kerjaya serta keluarga dalam konteks komuniti universiti.

Antara tetamu jemputan wanita yang hadir memeriahkan Program High Tea WANGI di perkarangan kediaman Naib Canselor

Inisiatif ini juga menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke-5, iaitu Kesaksamaan Jantina, melalui usaha memperkasakan penyertaan dan kepimpinan wanita secara lebih sistematik dan berstruktur.

Semasa sesi dialog santai, Naib Canselor menyuarakan hasrat agar WANGI berperanan sebagai platform utama dalam memperkasa pembangunan dan kebajikan wanita di UTM. Beliau turut mencadangkan agar kursus dan taklimat khusus diperkenalkan bagi menyokong kesinambungan kerjaya wanita, termasuk aspek pembangunan profesional dan keseimbangan kehidupan. Di samping itu, perhatian turut diberikan kepada keperluan menyokong ibu muda, khususnya dalam aspek kemudahan penjagaan anak di tadika dan taska UTM. Usaha mengenal pasti keperluan ini secara menyeluruh dilihat penting bagi membantu staf wanita mengimbangi tanggungjawab kerjaya dan keluarga dengan lebih berkesan.

Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim berkongsi pandangan semasa sesi dialog santai bersama ahli WANGI
Suasana mesra sesi interaksi dan perkongsian aspirasi antara kepimpinan universiti dan ahli WANGI

Program ini turut mendapat sokongan melalui tajaan produk hasil penyelidikan dan inovasi warga UTM, antaranya produk Famelain oleh Prof. Ir. Ts. Dr. Rosnani Hasham @ Hisam, dari Institut Pembangunan Bioproduk (IBD), Essential Oil oleh Prof. Madya Dr. Harisun Yaakob (IBD Wellness) serta Mini Pouch hasil kraf tangan Dr. Norfhairna Baharulrazi daripada Kraf Hibiscus. Sokongan ini mencerminkan keupayaan warga UTM, khususnya wanita, dalam menghasilkan inovasi yang memberi nilai tambah kepada kesejahteraan komuniti.

Secara keseluruhannya, Program High Tea WANGI ini bukan sahaja menjadi platform pengukuhan silaturahim, malah mencerminkan komitmen berterusan UTM dalam memperkasa peranan wanita sebagai pemimpin, penyumbang kepakaran dan agen perubahan dalam komuniti universiti. Pelancaran logo baharu WANGI turut menjadi simbol transformasi persatuan ke arah peranan yang lebih dinamik dan strategik dalam menyokong pembangunan wanita secara holistik.

Program ini diharap dapat diteruskan secara konsisten pada masa hadapan sebagai inisiatif memperkukuh jaringan, memperkasa kepimpinan serta menyokong kesejahteraan wanita di UTM, selaras dengan aspirasi universiti untuk membina komuniti yang inklusif, progresif dan berdaya saing di peringkat global.

Ahli WANGI dan jemputan yang hadir mengikuti program dalam suasana penuh harmoni di ruang kediaman Naib Canselor

Explore More

UTM Open Day