📝 Ringkasan
Penglibatan wanita Malaysia dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menunjukkan trend yang positif, dengan lebih 50% melanjutkan pengajian dalam bidang ini. Walaupun begitu, cabaran utama kini adalah pengekalan wanita dalam kerjaya STEM jangka panjang disebabkan tanggungjawab keluarga. Kerajaan dan institusi pendidikan sedang giat melaksanakan program dan sokongan bagi memperkasakan wanita dalam bidang ini bagi pembangunan negara yang inklusif.
Setakat tahun 2025, perkembangan penglibatan wanita Malaysia dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menunjukkan trend yang memberangsangkan dan penuh harapan.
Walaupun cabaran seperti kekangan keluarga dan komitmen kehidupan masih menjadi halangan, statistik terkini memperlihatkan minat serta penyertaan akademik wanita dalam bidang ini semakin kukuh, sekali gus membuka ruang kepada potensi besar dalam pembangunan negara.
Ketua Jabatan Pendidikan Sains dan Matematik Inovatif, Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Nor Hasniza Ibrahim berkata, data menunjukkan lebih daripada 50 peratus wanita Malaysia yang melanjutkan pengajian memilih bidang STEM.
“Ini membuktikan minat yang tinggi dan bakat akademik yang kuat dalam kalangan wanita, sekali gus menafikan tanggapan bahawa bidang STEM didominasi oleh lelaki semata-mata. Minat ini memberi petanda positif bahawa generasi wanita Malaysia berpotensi menjadi tenaga kerja utama dalam sektor berteknologi tinggi dan inovasi,” katanya ketika ditemu bual oleh Pusat Kelestarian Kampus UTM (UTMCCS) sempena sambutan Hari Antarabangsa Wanita dalam Sains Antarabangsa yang diraikan pada 11 Februari setiap tahun.
Menurut beliau, cabaran utama kini bukan lagi pada peringkat kemasukan ke bidang STEM, sebaliknya tertumpu kepada aspek pengekalan wanita dalam kerjaya jangka panjang selepas tamat pengajian.
“Statistik menunjukkan hanya sebahagian kecil wanita mampu mengekalkan kerjaya dalam bidang STEM untuk tempoh yang panjang. Faktor utama ialah tanggungjawab keluarga dan kekangan kehidupan yang sering mengehadkan penglibatan berterusan wanita dalam sektor ini,” jelasnya.
Keadaan itu menyebabkan peratusan wanita dalam jawatan pengurusan kanan berkaitan STEM dijangka menurun kepada 36.2 peratus menjelang 2025. Situasi ini menandakan keperluan mendesak terhadap sokongan dasar, persekitaran kerja yang lebih fleksibel serta peluang kepimpinan yang lebih inklusif untuk wanita.
Dalam konteks pembangunan jangka panjang, Dr. Nor Hasniza menegaskan bahawa pemupukan minat terhadap STEM perlu bermula seawal peringkat sekolah dengan guru sebagai agen perubahan utama.
“Sehubungan itu, UTM komited melahirkan guru STEM wanita yang berwibawa dan berdaya saing bagi menyokong keperluan pendidikan masa hadapan negara.
“Guru STEM wanita berperanan sebagai nadi pencetus kehebatan pelajar melalui pedagogi inovatif serta menjadi suri teladan yang mampu memotivasikan pelajar, khususnya pelajar perempuan untuk berani meneroka dan cemerlang dalam bidang STEM, sekali gus membantu memecahkan stereotaip jantina dalam bidang tersebut,” katanya lagi.
Pada masa yang sama, usaha kerajaan dan pelbagai agensi memperlihatkan komitmen berterusan dalam memperkasakan wanita dalam STEM. Sehingga Oktober 2025, sebanyak 40 program berkaitan digital dan STEM telah dilaksanakan oleh Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), melibatkan lebih 6,000 wanita dari seluruh negara.
Program tersebut bukan sahaja meningkatkan kemahiran dan pengetahuan wanita dalam bidang teknologi, malah membantu membina keyakinan diri agar mereka terus berdaya tahan dan berdaya saing dalam kerjaya STEM.
Peranan tokoh wanita berpengaruh turut menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda. Profesor Emerita Datuk Dr. Asma Ismail dan Datuk Dr. Mazlan Othman merupakan antara contoh wanita yang mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang STEM.
“Kejayaan mereka bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa, malah menjadi motivasi kepada wanita muda untuk berani mengejar cita-cita serta menyumbang kepakaran dalam bidang sains dan teknologi. Perspektif wanita amat penting bagi memastikan pembangunan teknologi yang lebih inklusif dan mesra semua jantina,” katanya.
Menjelang 2025, fokus utama Malaysia adalah untuk meningkatkan pengekalan wanita dalam kerjaya STEM melalui sokongan kerjaya yang mampan serta persekitaran kerja yang lebih fleksibel. Pendekatan ini diharapkan dapat mengurangkan halangan yang dihadapi wanita dan memberi peluang yang lebih adil untuk mereka berkembang dalam kerjaya jangka panjang.
“Dapat disimpulkan bahawa walaupun masih terdapat cabaran yang perlu ditangani, trend penglibatan wanita dalam bidang STEM di Malaysia menunjukkan perkembangan yang positif dan memberangsangkan. Dengan sokongan berterusan daripada kerajaan, industri dan institusi pendidikan, saya yakin wanita Malaysia mampu menjadi pemain utama dalam membentuk masa depan teknologi dan inovasi negara,” ujarnya.
Inisiatif ini turut menyokong beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), khususnya SDG 4, Pendidikan Berkualiti, SDG 5, Kesaksamaan Gender, SDG 8, Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi serta SDG 9, Industri, Inovasi dan Infrastruktur.
Secara keseluruhan, usaha memperkukuh pendidikan STEM, memperkasakan peranan wanita dan melahirkan guru STEM wanita yang berkaliber merupakan antara tonggak penting dalam menyokong pembangunan teknologi yang inklusif dan mampan demi masa depan negara.
