📝 Ringkasan
Pemasangan panel solar di Malaysia semakin popular, namun skim baharu Solar ATAP yang menggantikan NEM 3.0 akan memberikan kadar bayaran yang lebih rendah untuk tenaga solar yang dieksport ke grid berbanding harga yang dibeli. Oleh itu, sistem penyimpanan tenaga di rumah seperti bateri menjadi penting untuk menyimpan lebihan tenaga solar bagi kegunaan waktu malam, sekali gus memaksimumkan penjimatan dan mengurangkan kebergantungan kepada grid.
Minat rakyat Malaysia terhadap pemasangan panel solar di atas bumbung rumah semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Peningkatan bil elektrik, kesedaran terhadap kepentingan tenaga bersih serta sokongan dasar kerajaan telah menjadikan tenaga solar sebagai pilihan yang semakin diterima masyarakat.
Sebelum ini, menerusi skim Net Energy Metering (NEM) 3.0, tenaga solar yang dijana oleh pengguna dan dieksport ke grid dinilai secara satu-ke-satu (1:1). Ini bermakna setiap unit tenaga yang dihantar ke grid boleh digunakan semula untuk mengimbangi penggunaan elektrik daripada grid pada masa lain, termasuk pada waktu malam. Dalam keadaan tersebut, pengguna solar dapat mengurangkan bil elektrik dengan lebih berkesan tanpa perlu terlalu mengambil kira corak penggunaan harian.
Walau bagaimanapun, dalam sistem solar kediaman, corak penggunaan elektrik sebenarnya memainkan peranan penting. Sekiranya penggunaan elektrik tinggi pada waktu siang, sebahagian besar tenaga solar yang dijana akan digunakan terus oleh penghuni rumah. Sebaliknya, jika kebanyakan penggunaan berlaku pada waktu malam, lebihan tenaga solar yang dijana pada siang hari akan dieksport ke grid. Di bawah skim NEM sebelum ini, keadaan ini tidak menjadi isu besar kerana tenaga yang dieksport masih boleh ditebus semula secara 1:1.
Keadaan ini mula berubah dengan pengenalan skim baharu, iaitu Program Solar Accelerated Transition Action Programme (Solar ATAP) yang dilaksanakan mulai 1 Januari 2026. Di bawah skim ini, tenaga solar yang dieksport ke grid tidak lagi dikreditkan secara 1:!. Sebaliknya, ia dibayar berdasarkan kadar caj tenaga sahaja, iaitu sekitar 27.03 sen bagi setiap kilowatt-jam (kWj). Apabila pengguna mengambil elektrik daripada grid, kadar caj yang dikenakan adalah lebih tinggi, iaitu sekitar 44.43 sen bagi setiap kWj bagi penggunaan sehingga 1,500 kWj kerana ia turut merangkumi caj rangkaian dan caj kapasiti.
Secara ringkas, harga tenaga yang dijual ke grid adalah lebih rendah berbanding harga tenaga yang dibeli daripada grid. Perbezaan ini berpunca daripada struktur tarif elektrik. Apabila elektrik dibeli daripada grid, pengguna membayar dua komponen utama, iaitu kos penjanaan tenaga dan kos rangkaian yang meliputi penghantaran serta penyelenggaraan sistem. Sebagai analogi mudah, keadaan ini seumpama urus niaga dalam talian. Apabila membeli sesuatu barang, pembeli membayar harga barang serta kos penghantaran. Namun apabila menjual barang, pendapatan yang diterima lazimnya hanya harga barang, manakala kos penghantaran perlu ditanggung secara berasingan.
Oleh itu, harga beli kebiasaannya lebih tinggi daripada harga jual kerana melibatkan kos tambahan. Dalam konteks elektrik, apabila tenaga solar dieksport ke grid, bayaran yang diterima hanya melibatkan komponen tenaga. Sebaliknya, apabila elektrik diambil daripada grid, pengguna membayar kedua dua kos penjanaan dan rangkaian. Maka, jika penggunaan elektrik lebih tinggi pada waktu malam, pengguna mungkin mengeksport tenaga pada kadar lebih rendah pada siang hari sebelum membelinya semula pada kadar lebih tinggi pada waktu malam.
Di sinilah kepentingan sistem penyimpanan tenaga di rumah menjadi semakin jelas. Daripada mengeksport lebihan tenaga solar ke grid, pengguna boleh menyimpan tenaga tersebut dalam sistem penyimpanan tenaga untuk digunakan sendiri pada waktu malam ketika sistem solar tidak lagi menjana elektrik. Pendekatan ini membolehkan pengguna memaksimumkan nilai setiap unit tenaga solar yang dijana, di samping mengurangkan kebergantungan kepada grid. Rajah di bawah memaparkan perbezaan mudah antara “Solar Sahaja” dan “Solar + Bateri”, menunjukkan bagaimana bateri membolehkan lebihan tenaga disimpan dan digunakan sendiri, berbanding dijual ke grid pada kadar lebih rendah.

Selain membantu penjimatan bil elektrik, sistem penyimpanan tenaga di rumah turut meningkatkan daya tahan bekalan, khususnya ketika gangguan elektrik atau ketidakstabilan grid. Dari perspektif sistem tenaga negara, penggunaan penyimpanan tenaga secara meluas dapat membantu mengurangkan beban grid pada waktu puncak serta menyokong integrasi sumber tenaga boleh diperbaharui yang semakin meningkat.
Dalam dunia akademik dan penyelidikan tenaga, konsep yang lebih maju turut diterokai, termasuk potensi tenaga yang disimpan di rumah untuk dijual atau dikongsi dengan pengguna lain melalui sistem perdagangan tenaga secara sesama pengguna atau (peer-to-peer, P2P). Selain itu, pendekatan penyimpanan tenaga di peringkat komuniti (Community Energy Storage) juga dilihat berpotensi meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga dan kebolehpercayaan bekalan. Kedua dua konsep ini membolehkan pengguna menjadi penyumbang aktif dalam sistem tenaga, bukan sekadar pengguna pasif, sekali gus membuka peluang ekonomi baharu dalam ekosistem tenaga masa hadapan.
Buat masa ini, kos bateri masih menjadi halangan utama kepada penggunaan sistem penyimpanan tenaga di peringkat isi rumah. Namun demikian, seperti teknologi solar suatu ketika dahulu, kos penyimpanan tenaga dijangka terus menurun selari dengan kemajuan teknologi dan peningkatan skala pemasangan. Oleh itu, perancangan jangka panjang negara perlu memberi penekanan bukan sahaja kepada pemasangan panel solar, tetapi juga kepada pembangunan ekosistem penyimpanan tenaga yang menyokongnya, termasuk dari aspek dasar, piawaian dan insentif yang bersesuaian.
Kesimpulannya, sistem penyimpanan tenaga di rumah bukan sekadar satu pilihan teknologi, sebaliknya merupakan komponen penting dalam masa hadapan tenaga Malaysia. Panel solar di atas bumbung ialah langkah pertama, manakala sistem penyimpanan tenaga sama ada di peringkat rumah atau komuniti merupakan langkah seterusnya. Dengan perancangan yang rapi, dasar yang tepat dan kesedaran pengguna yang berterusan, Malaysia berpotensi membangunkan sistem tenaga yang lebih pintar, mampan dan berdaya tahan demi generasi akan datang.