Kesan sekatan ekonomi China-Jepun dari lensa institusi pengajian tinggi

📝 Ringkasan

Sekatan ekonomi China ke atas Jepun terhadap barangan dwi-guna memaksa Jepun untuk mempelbagaikan rantaian bekalan mereka. Ini memberi peluang kepada Malaysia, melalui institusi seperti MJIIT, untuk menjadi rakan strategik dalam inovasi, R&D, dan pembangunan bakat berkemahiran tinggi, bukan sekadar tapak pemasangan.

Sejak berpindah ke Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) pada 1 Disember 2025 selepas menamatkan tempoh tiga tahun peminjaman di sebuah agensi polisi penyelidikan di Kementerian Pengangkutan Malaysia, saya mula melihat MJIIT dari lensa berbeza. MJIIT merupakan simbol diplomasi ilmu dua negara yang bukan sekadar bersifat akademik, malah turut berada dalam kerangka hubungan geoekonomi antara Malaysia dan Jepun.

Apabila China mengumumkan larangan eksport barangan dwi-guna kepada Jepun pada 6 Januari 2026, ia perlu dilihat sebagai perubahan dalam ekosistem teknologi Jepun yang memberi implikasi kepada MJIIT. Barangan dwi-guna seperti cip semikonduktor, magnet nadir bumi, sensor optik, dan sistem kawalan pintar bukan lagi sekadar komponen teknikal yang digunakan di makmal, tetapi kini berubah menjadi instrumen penentuan kuasa global.

Dalam konteks ini, China mendominasi lebih 60% pengeluaran global unsur nadir bumi seperti neodymium, dysprosium, dan terbium, serta hampir 90% kapasiti pemprosesan nadir bumi dunia, yang merupakan sumber penting barangan dwi-guna. Jepun pula masih bergantung sekitar 60–70% kepada import nadir bumi China walaupun telah berusaha mengurangkan kebergantungan tersebut sejak krisis sekatan yang sama berlaku pada tahun 2010. Malah, pada tahun 2024 sahaja, dianggarkan 42% import Jepun dari China melibatkan US$ 68.4 bilion barangan dwi-guna dalam konteks perdagangan dua hala China–Jepun yang bernilai US$ 300–320 bilion setahun, dengan komponen perantaraan dan mesin dianggarkan US$ 80–100 bilion setahun.

Justeru, apabila eksport barangan dwi-guna ini disekat, mesej China adalah amat jelas, iaitu rantaian bekalan kini telah menjadi instrumen tekanan geoekonomi tanpa perlu melibatkan konflik bersenjata. Peralihan ini pasti akan mempengaruhi cara Jepun berfikir tentang pelaburan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), dan kerjasama teknologi serantau yang turut memberi implikasi kepada negara-negara yang terlibat dalam rantaian bekalan Asia Timur, termasuk Malaysia.

MJIIT bukan sekadar institusi yang menawarkan program kejuruteraan berorientasikan amalan terbaik dan teknologi Jepun, malah merupakan jambatan intelektual antara dua sistem teknologi, budaya kerja, dan pendekatan pembangunan industri yang berbeza, namun saling melengkapi.

Memandangkan Tokyo sedang menilai kebergantungan rantaian bekalan dwi-guna Beijing, MJIIT wajar bersedia menjadi sebahagian daripada penyelesaian berinovasi yang lestari bagi risiko tersebut, selari dengan tagline UTM, “Menginovasi Penyelesaian Lestari”. Malah, MJIIT berpeluang beralih daripada sekadar penerima manfaat kerjasama kepada rakan strategik dalam penstrukturan semula rantaian bekalan serantau ini.

Sekiranya Jepun mempercepat strategi diversifikasi “China+1”, iaitu pendekatan mempelbagaikan rantaian bekalan dan pelaburan ke negara alternatif bagi mengurangkan risiko kebergantungan berlebihan kepada China, Malaysia berpotensi muncul sebagai rakan yang lebih penting dalam ekosistem teknologi Jepun dan bukan sekadar sebagai tapak pemasangan peralatan teknologi yang menawarkan kos sederhana, tetapi sebagai hab reka bentuk, R&D bahan alternatif, dan pembangunan bakat berkemahiran tinggi. Dalam bidang semikonduktor misalnya, Malaysia menyumbang 13% daripada pasaran global bagi pemasangan, pengujian, dan pembungkusan semikonduktor dengan pengalaman industri melebihi 50 tahun, justeru meletakkan Malaysia dalam kedudukan unik untuk menyokong penstrukturan semula rantaian bekalan serantau yang lebih berdaya tahan.

Namun, hasrat ini hanya akan tercapai sekiranya Malaysia berani meningkatkan keupayaan R&D serta tidak selesa sekadar berada di zon penerbitan berindeks dan berimpak faktor semata-mata. Walaupun larangan eksport ini mungkin dilihat tidak akan memberi kesan serta-merta kepada R&D, tetapi dalam jangka panjang ia boleh mempengaruhi arah dana penyelidikan, fokus teknologi dan inovasi Jepun, serta strategi pelaburan syarikat-syarikat Jepun yang menjadi rakan industri universiti. Jepun berkemungkinan dalam tempoh 3 hingga 7 tahun akan mengurangkan kebergantungannya kepada China melalui pelaburan intensif dalam penyelidikan magnet bebas nadir bumi serta pembangunan sumber alternatif contohnya di Australia serta India.

Justeru, ruang ini wajar dimanfaatkan dengan memperkukuh kerjasama penyelidikan bersama Jepun dalam pembangunan bahan alternatif, kejuruteraan proses, inovasi hiliran, dan pembangunan bakat berkemahiran tinggi yang menyokong strategi diversifikasi rantaian bekalan Jepun ini. Pada masa yang sama, hubungan perdagangan dan pelaburan Malaysia–China perlu terus diperkukuh bagi memastikan kestabilan dan kesinambungan kerjasama. Langkah strategi Malaysia bukanlah untuk memilih blok, tetapi memperkukuh daya tahan domestik dalam persekitaran yang semakin kompetitif.

Tindakan Malaysia juga perlu bersandarkan kepada kedudukan Malaysia yang kompleks antara hubungan baik Malaysia–China dan Malaysia–Jepun. Perdagangan Malaysia–China misalnya mencecah RM450.84 bilion pada tahun 2023, iaitu 17% daripada jumlah perdagangan negara, dan China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009. Hubungan Malaysia–Jepun pula mencatatkan nilai perdagangan RM181 bilion dengan stok pelaburan Jepun melebihi RM100 bilion khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik, automotif serta jentera. Kedudukan ini menjadikan Malaysia berpotensi sebagai negara penimbal geoekonomi, namun pada masa yang sama berisiko terhimpit antara dua blok teknologi sekiranya tidak mempunyai strategi jelas.

Justeru, muncul persoalan sama ada MJIIT dan UTM amnya akan sekadar mengikuti arus kerjasama sedia ada atau bersedia mencadangkan bidang baharu yang selari dengan keperluan ketahanan teknologi Jepun dan Malaysia dalam suasana sekatan ekonomi ini.

Malah, Malaysia juga sewajarnya menyedari perubahan dalam rantaian bekalan Asia Timur berpotensi memberi kesan kepada laluan perdagangan strategik Selat Melaka yang dilalui lebih 90,000 kapal setiap tahun. Sebagai sebuah negara maritim yang bergantung kepada perdagangan global, gangguan terhadap ekosistem teknologi dan perindustrian Asia Timur bakal mempunyai implikasi ekonomi kepada Malaysia.

Oleh itu, ahli akademik perlu memahami bahawa penguasaan ilmu, keupayaan reka bentuk, dan kapasiti pemprosesan teknologi kritikal melalui R&D merupakan bentuk kedaulatan yang paling senyap tetapi paling berpengaruh dalam dunia global masa kini yang rapuh, merisaukan, tidak linear, dan sukar difahami (BANI) ini. Sekatan eksport barangan dwi-guna dalam konteks hubungan China–Jepun mungkin dilihat sebagai isu dua hala, namun bagi institusi seperti MJIIT yang berada di persimpangan kerjasama Malaysia–Jepun, ia adalah peringatan bahawa universiti turut berada dalam lanskap geopolitik Asia Timur. Dalam dunia yang semakin terbahagi kepada blok pencipta dan pengguna teknologi, peranan sebenar MJIIT bukan sekadar mendidik jurutera masa hadapan, tetapi membina generasi yang memahami bahawa kejuruteraan hari ini merupakan sebahagian daripada seni mempertahankan daya tahan dan kedaulatan ekonomi negara berteraskan kerangka dasar luar Malaysia yang menekankan penglibatan seimbang dan berkecuali.

Explore More

UTM Open Day