📝 Ringkasan
Karnival STEM Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama Sekolah Kebangsaan Padang Tembak 2 telah berjaya meningkatkan minat sains di kalangan murid seawal usia. Karnival ini menampilkan pelbagai aktiviti STEM yang menyeronokkan dan interaktif, termasuk Oobleck, Elephant Toothpaste, Bridge Competition dan Parachute Competition. Penglibatan ibu bapa dan guru sekolah serta pelajar UTM sebagai pembimbing telah meningkatkan penglibatan aktif murid dan memupuk keyakinan diri mereka terhadap pembelajaran STEM.
KUALA LUMPUR, 31 Jan – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Tembak 2 telah berjaya menganjurkan Karnival STEM STEM untuk Semua, Kelestarian Masa Depan, sempena peluncuran inisiatif STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) bagi pembukaan tahun 2026.
Majlis peluncuran inisiatif STEM SK Padang Tembak 2 telah disempurnakan oleh Guru Besar SK Padang Tembak 2, Hj. Muhammad Nazri Musa, sekali gus menandakan komitmen berterusan pihak sekolah dalam memperkasa pendidikan STEM secara holistik dan berimpak tinggi.
Menurut beliau, pelaksanaan Karnival STEM ini menjadi titik permulaan penting dalam membudayakan pembelajaran STEM di SK Padang Tembak 2. Sokongan ibu bapa dan kolaborasi bersama pihak UTM amat bermakna dalam melahirkan murid yang berfikiran kreatif, kritis dan berdaya saing.

Karnival ini mendapat sambutan amat menggalakkan dengan kehadiran ibu bapa bersama anak-anak, sekali gus mencerminkan sokongan padu komuniti terhadap agenda STEM sekolah. Kehadiran ibu bapa bukan sahaja mengeratkan hubungan kekeluargaan, malah memberi peluang meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak melalui pelbagai aktiviti STEM yang menyeronokkan dan interaktif. Penglibatan ini turut menyumbang kepada peningkatan keyakinan diri, rasa dihargai serta minat murid terhadap pembelajaran STEM.
Pendekatan bermain sambil belajar melalui pelbagai aktiviti berbentuk pembelajaran luar bilik darjah yang diterapkan sepanjang karnival ini berjaya mewujudkan suasana pembelajaran yang ceria, inklusif dan menyeronokkan. Murid diberi peluang meneroka konsep STEM melalui aktiviti hands-on, kerja berpasukan dan permainan berstruktur, sekali gus membantu mereka memahami konsep sains dan kejuruteraan secara lebih semula jadi. Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan penglibatan aktif murid, malah memupuk keyakinan diri, kemahiran sosial serta minat berterusan terhadap pembelajaran STEM.

Antara aktiviti STEM yang dipamerkan ialah Oobleck (Non-Newtonian Fluid) dan Elephant Toothpaste di bawah projek Fluid Fun yang memperkenalkan konsep sifat bendalir serta tindak balas kimia secara visual dan menyeronokkan. Aktiviti Paper Plane pula menguji konsep asas aerodinamik, manakala Bridge Competition dan Parachute Competition mencabar murid mengaplikasikan elemen kejuruteraan, kreativiti serta kerja berpasukan dalam membina struktur kukuh dan reka bentuk jatuhan selamat menggunakan bahan terhad.
Selain itu, aktiviti Water Filtration mendidik murid tentang penapisan air dan kelestarian alam sekitar, manakala Canva Design memperkenalkan elemen kreativiti digital dan multimedia. Pelajar jurusan Sains dan Komuniti UTM berperanan sebagai pembimbing yang membantu murid SK Padang Tembak 2 melalui pendekatan pembelajaran luar bilik darjah yang mesra, interaktif dan menyeronokkan.

Suasana karnival turut dimeriahkan dengan gerai jualan makanan yang diusahakan oleh ibu bapa dan guru, sekali gus menyemarakkan semangat kebersamaan komuniti sekolah. Kehadiran maskot sekolah kegemaran murid menambahkan lagi keceriaan dan keterujaan sepanjang program berlangsung.
Karnival STEM ini turut melibatkan barisan guru SK Padang Tembak 2 yang komited dan sentiasa memberikan sokongan kepada kejayaan program, antaranya Hj. Muhammad Nazri Musa, Noraziza Abd Hamid, Mohd Fauzan Omar, Siti Nurdiana Ariffin, Ahmad Nasaruddin Salam, Nor Maslianee Abd Shukor, Norsuriati Rusdi, Nur Fajrina Hasbullah, Nur Suhailah Salim dan Wan Muhamad Aqiel Wan Azmi.

Pengarah Program Karnival STEM, Puteri Durra Nisrina Mohamad Yusnizam, menyatakan bahawa penganjuran karnival ini memberi pengalaman berharga kepada semua pihak yang terlibat. Menurut beliau, karnival ini memberi ruang kepada murid untuk belajar dalam suasana menyeronokkan, di samping memberi peluang kepada pihak penganjur mempraktikkan ilmu, kemahiran kepimpinan dan kerja berpasukan melalui penglibatan secara langsung bersama komuniti sekolah.

Penasihat Karnival STEM Kursus Sains dan Komuniti UTM, Dr. Muhammad Aizi Mat Salim, turut menzahirkan penghargaan terhadap komitmen semua pihak. Menurut beliau, program ini bukan sahaja memberi pengalaman pembelajaran bermakna kepada murid sekolah, malah menjadi platform pembelajaran berasaskan komuniti yang sangat bernilai buat pelajar UTM dalam mempraktikkan ilmu, kemahiran komunikasi dan kepimpinan.
Secara keseluruhan, penganjuran Karnival STEM 2026 berjaya mencapai objektif sebagai medium pemerkasaan pembelajaran STEM berasaskan komuniti, di samping mengukuhkan kolaborasi strategik antara sekolah dan universiti. Usaha ini selari dengan aspirasi UTM dalam memasyarakatkan ilmu dan memperluas impak pendidikan tinggi kepada komuniti setempat.