📝 Ringkasan
Program Anggun Upcycled Mini Showcase 2.0 diadakan di Sekolah Kebangsaan Sri Pulai Perdana untuk mempromosikan gaya hidup lestari dan meningkatkan kesedaran kelestarian dalam kalangan murid sekolah rendah. Program ini melibatkan 30 murid Tahun 5 dan 6 yang menyertai demonstrasi amali jahitan bantal, beg dan scrunchie daripada fabrik terpakai. Program ini juga membuktikan kejayaan melahirkan fasilitator komuniti yang kini mampu memimpin aktiviti dengan yakin dan sistematik.
JOHOR BAHRU, 7 Feb – Program Anggun Upcycled Mini Showcase 2.0 yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Pulai Perdana sempena Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) ke-14 serta Hari Kelestarian Sekolah berjaya menarik penyertaan aktif murid dan komuniti setempat dalam mempromosikan gaya hidup lestari melalui penghasilan produk kreatif berasaskan fabrik terpakai.
Program ini melibatkan 30 murid Tahun 5 dan 6 yang menyertai demonstrasi amali tiga modul utama, iaitu jahitan bantal, beg dan scrunchie. Modul tersebut merupakan sebahagian daripada latihan kompetensi yang dirangka menerusi projek Geran Komuniti Iskandar Puteri Rendah Karbon (IPRK) 5.0 bertajuk Smart Green Fashion Hub: Upcycling Waste Into Wearable Innovation. Geran komuniti yang diketuai oleh Dr. Nurul Aini Mohd. Ahyan ini menghimpunkan penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) dan SK Sri Pulai Perdana.

Anggun Upcycled Mini Showcase 2.0 merupakan kesinambungan kepada program Anggun Upcycled Showcase 1.0 yang telah dilaksanakan pada 4 Disember 2025. Program terdahulu membuka ruang awal kepada komuniti ibu di Taman Sri Pulai Perdana untuk mengasah kemahiran dan membina keyakinan diri, sebelum mereka tampil memimpin secara berdikari dalam penganjuran showcase kali ini.
Peserta komuniti telah berjaya menamatkan siri latihan yang disusun di bawah geran projek, merangkumi Bengkel Jahitan Asas Fabrik Upcycled Siri 1 dan 2 serta Bengkel Intensif Jahitan Produk Upcycled. Mereka seterusnya diberi peluang berperanan sebagai fasilitator dalam demonstrasi jahitan produk upcycled daripada perca fabrik semasa program terdahulu. Hasil latihan ini membuktikan kejayaan melahirkan fasilitator komuniti yang kini mampu memimpin aktiviti dengan yakin dan sistematik.

“Saya tidak pernah terfikir saya sendiri boleh mengajar orang lain menjahit. Namun selepas menghadiri semua bengkel anjuran UTM, saya memperoleh keyakinan untuk berkongsi semula ilmu ini kepada murid,” ujar Noor Faseeha, salah seorang fasilitator komuniti yang juga ibu kepada murid sekolah tersebut.
Selain pemerkasaan komuniti, program ini turut memupuk kesedaran kelestarian dalam kalangan murid sekolah rendah. “Saya sangat suka kerana dapat belajar membuat bantal daripada kain lama. Selepas ini saya mahu cuba membuatnya untuk adik pula,” kata Naurah, murid Tahun 5 yang menunjukkan minat tinggi sepanjang demonstrasi dijalankan.


Di samping meningkatkan kesedaran terhadap kelestarian, program ini turut menggalakkan pembinaan sahsiah, kemahiran insaniah dan potensi keusahawanan. Pelaksanaan showcase ini disokong melalui sumbangan bahan kitar semula, tenaga fasilitator komuniti dan sokongan ibu bapa, sekali gus menjadikannya antara program rintis berimpak tinggi di peringkat sekolah rendah. Para peserta turut menerima sijil penyertaan dan cenderahati sebagai tanda penghargaan.
Kejayaan program ini menyumbang kepada usaha memperoleh penarafan lima bintang berdasarkan elemen perubahan amalan komuniti, bukti pemindahan inovasi serta penglibatan aktif peserta dalam aktiviti susulan. Inisiatif ini juga menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4 dan 12 serta mengukuhkan reputasi UTM sebagai institusi yang memacu perubahan melalui kolaborasi akar umbi.