JOHOR BAHRU, 31 Dis – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meraikan pelantikan pentadbir, kenaikan pangkat staf dan graduasi staf dalam Majlis Konvokesyen ke-69 melalui Sesi Engagement Naib Canselor UTM yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM Johor Bahru, hari ini.
Majlis Engagement Naib Canselor UTM bukan sekadar platform meraikan pencapaian individu, tetapi juga menjadi medium untuk memperkukuh semangat keterikatan antara warga universiti. Pengiktirafan terhadap staf yang menunjukkan prestasi cemerlang dan komitmen tinggi merupakan sebahagian daripada strategi UTM dalam membina budaya kerja berprestasi tinggi, selaras dengan objektif universiti untuk menghasilkan tenaga kerja yang berdedikasi dan berdaya saing di peringkat global.
Majlis disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, dan dihadiri oleh barisan pengurusan tertinggi universiti termasuk Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah Mat Darus, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam Mohamad, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof. Ts. Dr. Ali Selamat, serta Pendaftar UTM, Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah.
Dalam ucapannya, Prof. Dr. Mohd Shafry merakamkan tahniah kepada tiga staf yang dilantik ke jawatan utama universiti iaitu Prof. Dr. Fauziah Sh. Ahmad sebagai Ketua Kampus UTM Cawangan Kuala Lumpur, Prof. Dr. Ida Idayu Muhamad sebagai Ketua Kampus UTM Cawangan Pagoh, dan pelantikan semula Kamarudin Md. Yusof sebagai Penasihat Undang-Undang UTM.

Beliau turut mengumumkan bahawa seramai 49 warga UTM Johor Bahru dan UTM Pagoh menerima kenaikan pangkat, melibatkan 32 staf pentadbiran dan sokongan serta 17 staf akademik, di samping 25 pentadbir akademik baharu yang diberikan kepercayaan menerajui kepimpinan universiti.
Selain itu, UTM merakamkan penghargaan kepada 55 staf yang berjaya menamatkan pengajian dan bergraduasi dalam Majlis Konvokesyen ke-69 sebagai bukti iltizam berterusan dalam memperkukuh kecemerlangan diri dan keunggulan akademik universiti.
Menurut Prof. Dr. Mohd Shafry lagi, pelantikan dan kenaikan pangkat bukan sekadar penghargaan, malah merupakan amanah besar yang menuntut tanggungjawab, integriti dan kepimpinan berasaskan nilai dalam mendukung agenda pembangunan universiti.

Seiring cabaran landskap global dan perkembangan teknologi yang pesat, warga UTM diseru mengoptimumkan peranan masing-masing dengan menterjemahkan ilmu dan kemahiran kepada inovasi serta penambahbaikan berterusan di peringkat jabatan dan universiti.
Majlis ini menegaskan lagi komitmen UTM untuk memastikan pembangunan bakat, kecekapan, dan kepimpinan warga universiti selari dengan aspirasi universiti menjadi institusi pengajian tinggi bertaraf antarabangsa. Dengan memperkukuh hubungan antara kepimpinan universiti, staf akademik, pentadbiran, dan alumni, UTM bukan sahaja memacu kecemerlangan akademik, tetapi juga membentuk komuniti universiti yang harmoni, inovatif dan berdaya tahan menghadapi cabaran global.