PONTIAN, 3 Jan – Usaha memperkukuh hubungan universiti dan masyarakat diterjemahkan secara langsung menerusi Program Cakna Ilmu Tanah: Perkongsian UTM dan Komuniti Desa yang dianjurkan Universiti Teknologi Malaysia melalui Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) dengan kerjasama Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS). Program yang berlangsung selama tiga hari bermula 2 hingga 4 Januari 2026 itu diadakan di Kampung Parit Dato’ Onn, Ayer Baloi dan menjadi wadah pemindahan ilmu yang memberi manfaat terus kepada penduduk setempat.

Program berteraskan agenda Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) ini bertujuan merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dengan realiti kehidupan masyarakat desa khususnya dalam aspek pengurusan dan pemilikan tanah. Pendekatan turun padang yang digerakkan mahasiswa UTM membolehkan ilmu perundangan dan pentadbiran tanah yang dipelajari di universiti diterjemahkan dalam bentuk khidmat nasihat, pendedahan serta interaksi dua hala bersama komuniti.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Pontian, Yang Berhormat Datuk Seri Haji Dr. Ahmad Maslan, yang menyifatkan program seumpama ini sebagai langkah praktikal dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan mengurus tanah secara berhemah dan berdaya maju. Beliau turut menekankan keperluan memanfaatkan tanah terbiar sebagai sumber ekonomi melalui pendekatan komuniti yang tersusun dan sokongan dasar kerajaan, selari dengan inisiatif pembangunan desa dan kesejahteraan ekonomi setempat.
Menurut beliau, tanah bukan sekadar aset warisan tetapi perlu diusahakan secara produktif agar memberi pulangan jangka panjang kepada pemilik dan komuniti. Sehubungan itu, penglibatan institusi pengajian tinggi seperti UTM dilihat mampu membantu masyarakat memahami aspek perundangan, potensi ekonomi serta kaedah pengurusan tanah yang lebih mampan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM, Prof. Ts. Dr. Ali Selamat, berkata program ini merupakan platform penting dalam melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja mahir dari sudut teknikal dan akademik, malah mempunyai empati sosial yang tinggi. Beliau menjelaskan bahawa melalui SULAM, mahasiswa didedahkan kepada isu sebenar yang dihadapi masyarakat luar bandar dan dilatih untuk menyumbang penyelesaian berdasarkan kepakaran yang dipelajari.
Beliau turut memaklumkan bahawa mahasiswa yang terlibat ditempatkan bersama keluarga angkat bagi membolehkan perkongsian ilmu berlaku secara lebih dekat dan bermakna. Pendekatan ini memberi ruang kepada penduduk kampung untuk memahami isu seperti pindah milik tanah, pengurusan wakaf, harta pusaka serta proses berkaitan urus niaga dan pendaftaran tanah, selain membentuk kesedaran tentang kepentingan tanah sebagai asas kelangsungan komuniti.

Sepanjang program, beberapa pengisian utama dilaksanakan termasuk sesi bual bicara yang menampilkan panel berautoriti daripada kalangan peguam, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Pejabat Tanah Daerah Pontian. Sesi ini memberi penjelasan terus terhadap isu tanah yang sering menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat. Selain itu, inisiatif Laman Desa Lestari diketengahkan bagi menunjukkan potensi tanah terbiar untuk dimajukan sebagai aset produktif yang mampu meningkatkan pendapatan komuniti secara mampan.

Program ini turut diserikan dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti pemeriksaan kesihatan percuma, kempen derma darah serta usaha menggalakkan amalan kelestarian melalui kutipan minyak masak terpakai dan sisa elektronik. Kesemua aktiviti ini mencerminkan pendekatan menyeluruh UTM dalam membangunkan komuniti melalui ilmu, kesedaran sosial dan kelestarian alam sekitar.

Penganjuran Program Cakna Ilmu Tanah turut mendapat sokongan Kolej Tun Fatimah UTM serta Kelab Pentadbiran dan Pembangunan Tanah yang menjadi penggerak utama mahasiswa. Kerjasama erat dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Parit Dato’ Onn menjadikan program ini contoh sinergi berkesan antara universiti dan masyarakat desa.

Melalui program ini, UTM menzahirkan komitmen berterusan dalam menyumbang kepakaran akademik demi kesejahteraan komuniti, sekali gus memperkukuh peranan universiti sebagai ejen pembangunan sosial dan ekonomi di peringkat akar umbi.