February 7, 2026

UTM komited terajui masa depan teknologi pengimejan secara beretika

JOHOR BAHRU, 1 Jan – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh peranannya sebagai pusat kecemerlangan ilmu dan inovasi menerusi penganjuran Professional Inaugural Lecture Series ke-123 yang disampaikan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, bertempat di Dewan Senat Ainuddin Wahid, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM, hari ini.

Siri syarahan tersebut menghimpunkan warga universiti yang merangkumi staf akademik, staf bukan akademik serta para pelajar, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan UTM dalam menyemarakkan budaya keilmuan dan wacana intelektual yang berimpak tinggi.

Dalam syarahannya yang bertajuk The Technological Evolution and Ethical Imperatives of Digital Imaging, Prof. Dr. Mohd Shafry menelusuri evolusi teknologi pengimejan digital yang bermula daripada pendekatan visual asas sebelum berkembang kepada aplikasi kecerdasan buatan yang semakin kompleks dan canggih.

Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim menyampaikan Professional Inaugural Lecture Series ke-123 di Dewan Senat Ainuddin Wahid

“Teknologi pengimejan bukan sekadar bersifat artistik, sebaliknya merupakan gabungan sains dan teknologi yang berupaya membentuk masa depan yang lebih baik apabila dimanfaatkan secara bertanggungjawab,” ujar Prof. Dr. Mohd Shafry ketika membuka syarahan.

Beliau seterusnya menyentuh perbezaan antara penglihatan manusia dan penglihatan komputer, dengan menjelaskan bahawa teknologi membolehkan manusia melihat serta menganalisis perkara yang tidak dapat dikesan secara langsung oleh deria penglihatan, termasuk struktur halus dan tersembunyi melalui pemprosesan imej pintar.

Selain itu, beliau mengupas perkembangan teknologi kamera dan sistem pengimbasan, di samping cabaran dalam pemprosesan imej seperti kepelbagaian jenis imej, variasi warna dan pencahayaan serta kewujudan objek tidak relevan.

“Pada peringkat yang lebih maju, penggunaan kecerdasan buatan generatif dan pemprosesan imej pintar diketengahkan sebagai alat penting dalam pelbagai bidang kritikal, termasuk diagnostik perubatan, pengesanan kerosakan struktur, penyingkiran kabus secara visual dan aplikasi keselamatan,” jelas beliau.

Dalam masa yang sama, Prof. Dr. Mohd Shafry menegaskan keperluan mendesak untuk membangunkan kerangka etika yang kukuh selari dengan kepesatan kemajuan teknologi.

“Isu berkaitan hak asasi manusia, privasi data, keadilan sosial, impak psikologi serta penggunaan tenaga yang tinggi perlu ditangani secara seimbang agar pembangunan teknologi tidak menjejaskan nilai kemanusiaan dan tanggungjawab global,” ujar beliau sebelum menutup syarahan.

Sebahagian sidang hadirin yang menghadiri Professional Inaugural Lecture Series ke-123 di Dewan Senat Ainuddin Wahid, UTM

Penganjuran siri syarahan ini turut mencerminkan usaha UTM dalam menghubungkan penyelidikan akademik dengan keperluan industri dan masyarakat. Penglibatan rakan strategik industri seperti Billion Prima Sdn. Bhd. memperlihatkan pendekatan kolaboratif universiti dalam menterjemahkan hasil penyelidikan kepada penyelesaian praktikal yang memberi impak kepada sektor keselamatan, pertanian dan ekonomi berasaskan teknologi tinggi.

Siri syarahan ini turut menampilkan pelancaran Mesin Pengimbas Bagasi Mini, sebuah inovasi berasaskan teknologi pengimejan hasil projek penyelidikan yang diterajui oleh Prof. Dr. Mohd Shafry dengan kerjasama rakan strategik industri, Billion Prima Sdn. Bhd. Teknologi ini diadaptasi daripada sistem pengimbasan keselamatan lapangan terbang dan diubah suai bagi tujuan pemeriksaan hasil pertanian, khususnya buah durian, tanpa merosakkan struktur fizikalnya.

Naib Canselor UTM bersama wakil Billion Prima Sdn. Bhd., Lee Yuh Jiunn menyempurnakan pelancaran Mesin Pengimbas Bagasi Mini hasil penyelidikan bersama universiti dan industri

Mesin tersebut menggunakan teknologi sinar-X berasaskan karbon nanotube yang membolehkan pengambilan imej dari pelbagai sudut secara pantas. Berbanding mesin CT perubatan konvensional yang memerlukan komponen berputar pada kelajuan tinggi, sistem ini bersaiz lebih kecil, lebih stabil dan sesuai digunakan dalam persekitaran penyelidikan makmal. Proses pengimbasan melibatkan dua tahap tenaga sinar-X, iaitu tenaga rendah dan tenaga tinggi, bagi meningkatkan kejelasan struktur dalaman buah.

Setiap proses pengimbasan menghasilkan imej tiga dimensi yang lengkap dalam tempoh kira-kira 30 saat, merangkumi pengimejan dan pembinaan semula imej. Imej ini kemudiannya digunakan untuk menganalisis struktur dalaman durian seperti bilangan dan saiz biji tanpa menjejaskan keadaan fizikal buah. Kajian ini membuktikan bahawa teknologi pengimbas keselamatan berpotensi dimanfaatkan sebagai kaedah tidak merosakkan dalam penyelidikan pertanian dan jaminan kualiti.

Proses pengimbasan durian menggunakan Mesin Pengimbas Bagasi Mini bersama pengusaha ladang durian, Abd Hadi Ahmad Sani
Hasil imbasan struktur dalaman durian menggunakan teknologi pengimejan berasaskan sinar-X

Selain menyokong penyelidikan dan inovasi universiti, pembangunan Mesin Pengimbas Bagasi Mini ini turut dilihat berpotensi menangani isu penolakan durian eksport yang sering dihadapi pengusaha tempatan, khususnya bagi pasaran berkeperluan ketat seperti China. Teknologi ini membolehkan pematuhan spesifikasi kualiti dilakukan lebih awal sebelum penghantaran, sekali gus mengurangkan risiko kerugian kewangan dan meningkatkan kecekapan rantaian eksport hasil pertanian negara. Usaha untuk mendapatkan pengiktirafan pihak berkuasa berkaitan juga sedang dirangka bagi memastikan teknologi ini dapat digunakan secara rasmi dalam proses pensijilan eksport.

Dari sudut industri, inovasi ini memberi keyakinan baharu kepada pengusaha durian tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa secara lebih mampan. Keupayaan mengenal pasti kecacatan dalaman dan kualiti buah tanpa merosakkannya bukan sahaja menjimatkan kos, malah meningkatkan kebolehpercayaan produk Malaysia di peringkat global. Pendekatan ini memperlihatkan peranan universiti awam dalam menyumbang penyelesaian berasaskan teknologi kepada sektor agromakanan dan keterjaminan makanan negara.

Sebahagian alumni UTM dari Fakulti Komputeran yang kini bekerja di Billion Prima. Dari kiri: Wong Yie Chee, Phang Seng Soon, Lim Shi Kai, dan Siew Chin Yip

Penganjuran Professional Inaugural Lecture Series ke-123 ini bukan sahaja bertujuan memperkaya wacana intelektual, malah turut memperkukuh budaya penyelidikan serta menyokong aspirasi universiti sebagai peneraju inovasi dan kecemerlangan akademik di peringkat nasional dan global. Usaha ini mengukuhkan lagi kedudukan UTM sebagai institusi pendidikan tinggi yang bukan sahaja memacu kemajuan teknologi, malah menitikberatkan nilai kemanusiaan dan etika dalam pembangunan ilmu demi kesejahteraan sejagat.

Explore More

UTM Open Day