UTM buktikan keberkesanan BESS dari makmal ke Grid Lestari Malaysia

📝 Ringkasan

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Fakulti Kejuruteraan Elektrik telah berjaya membuktikan keberkesanan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) dari makmal ke Grid Lestari Malaysia. Inovasi ini terbukti mampu mengurangkan permintaan maksimum elektrik bangunan sehingga 45% dan menyokong stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) menggunakan tenaga solar sepenuhnya. Usaha ini selari dengan sasaran negara untuk masa depan tenaga yang lebih bersih dan lestari.

JOHOR BAHRU, 13 Jan – Fakulti Kejuruteraan Elektrik Universiti Teknologi Malaysia (FKE UTM) mencatatkan satu lagi kejayaan penyelidikan apabila muncul sebagai peneraju aktif dalam membangunkan Proof of Concept (POC) bagi mengkaji keboleharapan Battery Energy Storage System (BESS) atau Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri untuk kegunaan pihak industri. Inovasi ini semakin mendapat tumpuan industri menerusi potensinya yang besar untuk menyokong peralihan tenaga negara.

Permintaan terhadap sistem BESS mula meningkat selepas Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim pada September 2023. Pelan tersebut mensasarkan peningkatan kapasiti tenaga solar negara daripada 12% pada 2025 kepada 58% menjelang 2030. Seiring dengan itu, penggunaan arang batu dalam penjanaan tenaga elektrik dijangka dikurangkan daripada 29% kepada 0%, sebagai komitmen Malaysia ke arah masa depan tenaga yang lebih bersih dan lestari.

BESS merupakan teknologi penyimpanan tenaga berasaskan bateri yang dilengkapi sistem kawalan pintar melalui Battery Monitoring System (BMS) dan Energy Management System (EMS). Keupayaan unik EMS membolehkan sistem ini menyumbang kepada kestabilan grid elektrik, menyokong pengembangan solar PV berskala besar, dan memudahkan pemasangan pengecas kenderaan elektrik (EV) tanpa memerlukan pengubahsuaian infrastruktur elektrik.

Selari dengan hasrat kerajaan, bermula Disember 2023, pasukan penyelidik UTM yang diketuai oleh Prof. Madya Ir. Dr. Jasrul Jamani Jamian dan Ts. Dr. Zulkarnain Noorden telah menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai syarikat dari dalam dan luar negara bagi mereka bentuk algoritma EMS yang bersesuaian dengan struktur tarif elektrik di Malaysia.

Sehingga kini, dua unit BESS telah berjaya dipasang di FKE UTM hasil tajaan industri, termasuk Enpro Energy Sdn Bhd (tempatan), Lei Shing Hong Energy (LHSE) dari China, dan NanoMalaysia.

Unit pertama POC BESS yang telah dipasang berfungsi mengurangkan Maximum Demand (MD) atau kehendak maksima bagi bangunan P19a FKE.

Dengan penghasilan algoritma EMS, hasil kerjasama dengan syarikat Enpro Energy Sdn Bhd serta LHSE, bangunan tersebut berjaya menurunkan penggunaan MD elektrik antara 35% hingga 45%, sekali gus menjimatkan bil elektrik bulanan sebanyak RM2,500 hingga RM2,800.00

Unit kedua BESS pula dibangunkan sebagai POC bagi stesen pengecas EV berkapasiti tinggi, dilengkapi pengecas laju 60 kW dan pengecas perlahan 22 kW. Uniknya, sistem ini beroperasi sepenuhnya menggunakan tenaga daripada panel solar PV (58 kWp) yang disimpan dalam BESS berkapasiti 215 kWh. Malah, stesen pengecas ini mampu berfungsi walaupun tanpa bekalan grid daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Penyelidikan dan pembangunan EMS BESS yang sesuai dengan konteks Malaysia ini membuktikan bahawa teknologi BESS mampu memberi impak positif yang signifikan ke arah pembangunan tenaga elektrik yang lebih mampan pada masa depan,” jelas Dr. Jasrul.

Beliau berkata demikian dalam temu bual bersama Pusat Pelestarian Kampus UTM (UTMCCS) sempena sambutan Hari Tenaga Bersih Antarabangsa 2025, yang disambut pada 26 Januari setiap tahun.

Menurut Dr. Jasrul, komponen teras kejayaan sistem BESS terletak pada algoritma EMS yang pintar. Setiap negara memerlukan pendekatan berbeza berdasarkan pola penggunaan, struktur tarif, dan potensi tenaga solar atau radiasi matahari tempatan. Atas kesedaran ini, FKE UTM mengambil inisiatif menjalankan POC menyeluruh sejak 2023 dan berkongsi hasilnya dengan industri. Sepanjang 2024–2025, lebih 30 program seperti kursus, seminar dan forum telah diadakan bagi menyebarkan maklumat mengenai teknologi BESS, penemuan UTM, dan kepentingan EMS yang disesuaikan.

Mengenai potensi pemasangan BESS secara berpusat di seluruh kampus UTM, Dr. Jasrul menyatakan bahawa ia masih dalam peringkat pertimbangan. “UTM kini sedang memberi tumpuan kepada pemasangan solar PV berskala besar. Pada masa yang sesuai, sistem BESS berpusat akan dicadangkan untuk mencapai penjimatan MD yang lebih menyeluruh,” jelas beliau.

“Inisiatif ini merupakan langkah konkrit UTM dan Malaysia dalam merealisasikan matlamat tenaga hijau menjelang 2030,” tambahnya.

Usaha penerokaan BESS di FKE UTM ini selari dengan pelaksanaan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) ke-7, iaitu ‘Tenaga Bersih dan Mampu Milik’, sekali gus menempatkan universiti sebagai salah satu penggerak utama transisi tenaga di negara ini.

Graf pengurangan Maximum Demand (MD) daripada 60 kW (hijau) kepada 20 kW (biru)
Dari kiri Dr. Ts. Dr. Zulkarnain Ahmad Noorden dan Prof. Madya Ir. Dr. Jasrul Jamani Jamian

Explore More

UTM Open Day