February 7, 2026

JOHOR BAHRU, 15 Jun — Pusat Penyelidikan Aeronautik Universiti Teknologi Malaysia (UTM Aerolab) terus memperkukuh kedudukan sebagai aset strategik negara apabila menjadi satu-satunya fasiliti terowong angin subsonik di Malaysia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, selain aktif menjalin kerjasama penyelidikan dengan institusi dan industri global.

UTM Aerolab merupakan ahli penuh Subsonic Aerodynamic Testing Association (SATA) sejak 2002, menjadikannya satu-satunya terowong angin di Malaysia yang memiliki pengiktirafan tersebut, setaraf dengan kemudahan terowong angin milik organisasi antarabangsa seperti Boeng dan NASA.

Pengarah UTM Aerolab, Prof. Madya Ir. Dr. Shabudin Mat berkata pusat itu bukan sahaja menyokong pengajaran dan penyelidikan universiti, malah berperanan sebagai platform ujian, perundingan serta kolaborasi bersama rakan industri dan institusi penyelidikan dari dalam dan luar negara.

“Selain menyokong keperluan industri tempatan, UTM Aerolab turut menjalin kerjasama antarabangsa dalam penyelidikan aerodinamik, reka bentuk pesawat dan teknologi berkaitan, termasuk dengan institusi penyelidikan di Eropah, Asia Barat dan Asia Tenggara,” katanya

 

(Dari kiri ke kanan) Pengarah UTM Aerolab, Prof. Madya Ir. Dr. Shabudin Mat, bersama Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Prof. Ir. Ts. Dr. Zaini Ahmad, Pengerusi Penyelidikan Bersekutu, Prof. Dr. Mohd Farid bin Muhamad Said dan Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim

 

Antara kerjasama antarabangsa yang dijalinkan termasuk dengan Indonesian Low Speed Wind Tunnel (ILST), institusi kejuruteraan aeroangkasa di Perancis serta universiti teknikal di Turkiye, melibatkan penyelidikan bersama, pertukaran kepakaran dan pembangunan teknologi aeronautik.

Dengan keluasan fasiliti mencecah kira-kira 180 kaki x 75 kaki, terowong angin UTM Aerolab antara yang terbesar dan termoden di Asia Tenggara. Selain kemudahan terowong angin berskala besar, pusat ini turut menjalankan penyelidikan dalam bidang pesawat tanpa pemandu, sistem avionik, pembakaran enjin pesawat, reka bentuk dan struktur pesawat serta simulasi kejuruteraan berkomputer.

 

Terowong angin UTM Aerolab antara yang terbesar dan termoden di Asia Tenggara

 

Fasiliti terowong angin di UTM mencecah kira-kira 180 kaki x 75 kaki

 

Sepanjang tempoh penubuhannya, UTM Aerolab telah menerima pelbagai geran penyelidikan daripada kementerian, dana universiti serta industri, selain melaksanakan kerja perundingan bersama agensi dan syarikat kejuruteraan berprofil tinggi di peringkat nasional dan antarabangsa.

Makmal Aeronautik UTM telah dinaik taraf sebagai pusat penyelidikan pada Disember 2020 dan seterusnya diiktiraf sebagai Pusat Kecemerlangan Penyelidikan (Centre of Excellence, COE) pada tahun 2026, sejajar dengan usaha memperkukuh peranan Malaysia dalam ekosistem penyelidikan aeronautik dan aeroangkasa serantau. Penubuhan dan pembangunan UTM Aerolab juga selari dengan sejarah UTM sebagai universiti pertama di Malaysia yang menawarkan program pengajian aeronautik sejak tahun 1981.

Explore More

UTM Open Day