RZS-CASIS UTM Terima Watikah Pelantikan Pelaksana Program Ilham Seni Diraja

📝 Ringkasan

Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofiah (RZS CASIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menerima watikah pelantikan sebagai pelaksana Program Ilham Seni Diraja. Program ini bertujuan meningkatkan sahsiah dan pendedahan seni kepada murid-murid sekolah daripada kelompok B40. RZS CASIS UTM akan menerajui Kluster Penyelidikan dan Bimbingan Kaunseling untuk menangani isu kesejahteraan emosi dan kesunyian melalui bimbingan, kaunseling dan penyelidikan berteraskan nilai kemanusiaan dan kebudayaan.

KUALA LUMPUR, 29 Jan — Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofiah (RZS-CASIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini menerima watikah pelantikan sebagai pelaksana Program Ilham Seni Diraja yang berkuat kuasa sehingga 30 Januari 2029.

Watikah pelantikan tersebut diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah sempena Majlis Pelancaran Program Ilham Seni Diraja di Istana Negara, Kuala Lumpur, dan diterima oleh Pengarah RZS CASIS UTM, Dr. Mohd Hilmi Ramli, yang mewakili universiti.

Program Ilham Seni Diraja merupakan inisiatif aspirasi Seri Paduka Baginda yang memberi fokus kepada pembangunan sahsiah dan pendedahan seni kepada murid-murid sekolah daripada kelompok B40. Program ini bermula secara rintis di Kuala Lumpur sebelum diperluas ke seluruh negara di bawah penyelarasan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Di bawah pelantikan ini, RZS CASIS UTM akan menerajui Kluster Penyelidikan dan Bimbingan Kaunseling sebagai pendekatan holistik dalam menangani isu kesejahteraan emosi dan kesunyian dalam kalangan peserta melalui bimbingan, kaunseling dan penyelidikan berteraskan nilai kemanusiaan dan kebudayaan.

Menurut Dr. Mohd Hilmi, pelantikan tersebut selari dengan Pelan Strategik UTM ASCEND 2030 yang dilancarkan oleh Naib Canselor UTM, Profesor Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim tempoh hari yang menekankan pembangunan insan berteraskan nilai, kesejahteraan dan tanggungjawab sosial universiti kepada masyarakat.

“Program ini mencerminkan komitmen UTM untuk membina generasi muda yang seimbang dari sudut intelektual, emosi dan budaya. Pendekatan seni sebagai medium pembangunan sahsiah selaras dengan aspirasi ASCEND 2030 yang mengangkat nilai kemanusiaan, kesejahteraan dan impak sosial sebagai teras universiti,” katanya.

Untuk rekod, program ini merangkumi lima kluster utama iaitu Kluster Seni Suara dan Instrumen, Kluster Seni Tari, Kluster Produksi dan Pengurusan Pentas, Kluster Artistik serta Kluster Lakonan. Pelaksanaannya turut melibatkan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi seni dan kebudayaan negara termasuk Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Istana Budaya, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Balai Seni Negara, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia serta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Pelantikan ini mencerminkan pengiktirafan terhadap kepakaran UTM dalam bidang penyelidikan kemanusiaan dan pembangunan kesejahteraan sosial, selaras dengan aspirasi untuk memperkasa generasi muda melalui pendidikan berteraskan nilai, seni dan budaya.

 

Dr. Mohd Hilmi Ramli (kedua dari kiri) bersama Prof. Madya Dr. Khalif Muammar bin A Harris dan Professor Dr. Tatiana A. Denisova
Dr. Mohd Hilmi Ramli (kedua dari kiri) bersama Prof. Madya Dr. Khalif Muammar A Harris dan Professor Dr. Tatiana A. Denisova
Dr. Mohd Hilmi Ramli (kiri) bersama Yang Mulia (y.m.) Dr. Syed Redzuan Omar Alsagoff
Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofiah (RZS-CASIS), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) UTM

 

 

Explore More

UTM Open Day