February 2, 2026

Program tanaman organik dan pengkomposan lestari perkasa murid Pendidikan Khas

📝 Ringkasan

Program Tanaman Organik dan Pengkomposan Lestari di Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 3 (SKPG3) telah berjaya memperkasakan murid Pendidikan Khas melalui amalan pertanian mampan. Program ini diketuai oleh Dr. Huszalina Hussin dan mendapat sokongan dari fasilitator, sukarelawan komuniti serta universiti. Murid-murid terlibat dalam aktiviti amali seperti penanaman organik menggunakan kaedah batas Hugel Culture dan proses penyediaan batas, pengasingan sisa dan pengkomposan. Program ini selari dengan beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) termasuk SDG 4 Pendidikan Berkualiti, SDG 10 Mengurangkan Ketidaksamaan dan SDG 12 Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab.

PASIR GUDANG, 28 Jan – Laman Lestari Pendidikan Khas Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 3 (SKPG3) menjadi tumpuan melalui penganjuran Program Tanaman Organik dan Pengkomposan Lestari, sebuah inisiatif berimpak tinggi yang bertujuan memperkasakan murid berkeperluan khas melalui amalan pertanian mampan.

Program yang diketuai oleh Dr. Huszalina Hussin, Pensyarah Kanan Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ini turut mendapat sokongan sembilan fasilitator dari Jabatan Bendahari UTM serta lima sukarelawan komuniti setempat.

Dr. Huszalina Hussin menyampaikan taklimat ringkas mengenai perjalanan program kepada para peserta

Untuk rekod, program ini merupakan kesinambungan siri bengkel kelestarian yang telah dimulakan dari 26 November hingga 15 Disember 2025. Dalam fasa awal tersebut, Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 2 (SKPG2) bertindak sebagai tuan rumah utama bagi memulakan gerakan rendah karbon ini.

Inisiatif yang menerima pembiayaan daripada Geran Sumbangan Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) ini turut melibatkan kolaborasi strategik Persatuan Alumni Biosains UTM (BIOSAS), universiti, serta penyertaan empat sekolah lain iaitu Sekolah Kebangsaan Taman Cendana, SeKolah Kebangsaan Seri Alam 2, Sekolah Kebangsaan Kota Masai 2 dan Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 3. Usaha ini diharapkan dapat terus memupuk budaya kelestarian demi kesejahteraan sosial secara menyeluruh.

Fasilitator dari Jabatan Bendahari UTM bersedia membantu bagi menjayakan program

Seramai 12 murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Disleksia SKPG3 terlibat dalam aktiviti amali bagi mendalami teknik penanaman organik menggunakan kaedah batas Hugel Culture. Teknik permakultur ini memanfaatkan sisa makanan, kayu reput dan bahan organik lain sebagai medium tanaman bagi meningkatkan kesuburan tanah secara semula jadi.

Murid-murid turut didedahkan kepada proses penyediaan batas, pengasingan sisa dan pengkomposan. Selain meningkatkan kefahaman tentang kelestarian, aktiviti berstruktur ini membantu pembangunan kemahiran motor halus, komunikasi dan keyakinan diri mereka.

Murid PPKI Disleksia SKPG3 bersama fasilitator mempraktikkan langkah pengkomposan sisa organik

Pelaksanaan program di bawah seliaan BIOSAS ini selari dengan beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), termasuk SDG 4 Pendidikan Berkualiti melalui penyediaan pendidikan inklusif yang memberi peluang pembelajaran bermakna kepada murid berkeperluan khas dalam persekitaran sebenar.

Inisiatif ini juga menyokong SDG 10 Mengurangkan Ketidaksamaan dengan memastikan golongan murid PPKI turut mendapat akses kepada pengalaman pendidikan berasaskan kemahiran hidup dan kelestarian alam sekitar.

Pada masa yang sama, amalan pengasingan sisa, pengkomposan dan penggunaan semula bahan organik yang diperkenalkan dalam program ini secara langsung menyumbang kepada SDG 12 Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab.

Pendekatan berteraskan alam semula jadi ini turut memperkukuh kesedaran terhadap SDG 13 Tindakan terhadap Perubahan Iklim melalui pendedahan kepada amalan rendah karbon dan pengurusan sisa lestari yang boleh diamalkan dalam kehidupan harian komuniti sekolah.

Sukarelawan komuniti turut membantu murid menjalankan proses pengkomposan

Melalui pemerkasaan Laman Lestari ini, pihak sekolah kini mempunyai ruang pembelajaran alternatif yang berterusan. Kolaborasi antara universiti, sekolah dan agensi seperti Majlis Bandaraya Pasir Gudang diharapkan dapat mewujudkan landskap tanaman komuniti yang berdaya tahan serta menyokong agenda kemandirian sumber makanan tempatan.

Inisiatif ini membuktikan bahawa keterbatasan fizikal atau pembelajaran bukanlah penghalang bagi murid PPKI untuk menyumbang secara bermakna kepada kesejahteraan alam sekitar.

Explore More

UTM Open Day